MASALAH CEMBURU!!!!
Menangani rasa cemburu
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’ adalah
bidalan Melayu yang membawa pengertian dalam mengharungi hidup
berumah tangga, khususnya dalam hubungan antara suami dan isteri,
perselisihan adalah satu kemestian.
Perselisihan adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan.
Namun, ia boleh diperbaiki, dengan menggunakan cara yang
bijaksana dan bertoleransi.
Banyak sebab yang menjadi punca perselisihan. Antaranya kerana
mentua, jiran, teman-teman, anak-anak, malah perkara asas dalam
kehidupan juga mampu mencetuskan pergaduhan dalam rumah tangga
sehingga lauk yang terlupa dimasukkan garam, atau air kopi yang
terlupa ditambah gula.
Paling meruncing ialah apabila masing-masing mula cemburu
terhadap satu sama lain, sama ada mereka mempunyai bukti nyata
atau hanya berupa prasangka sahaja.
Perkara sedemikian jika dibiarkan berterusan akan melarat
sehingga tercipta penceraian dalam rumahtangga.
Ada di kalangan masyarakat yang menganggap perselisihan rumah
tangga sebagai garam di dalam lauk. Tanpa perselisihan, rumah
tangga hambar dan tawar, umpama lauk tidak bergaram.
Namun, garam itu hendaklah diletak secara berpada-pada supaya
tidak terlalu banyak sehingga boleh merosakkan lauk
sebelanga.
Perkara inilah yang harus diperhatikan oleh setiap insan yang
bertekad mahu mendirikan rumah tangga. Ia juga perlu menjadi
renungan pasangan suami dan isteri yang menerajui bahtera hidup
berumah tangga.
Sesungguhnya, perkahwinan adalah satu cabaran yang harus dihadapi
oleh setiap kaum lelaki. Dalam perkahwinan, suami akan berkongsi
hidup dengan isteri.
Biarpun seburuk mana isteri namun seharusnya terimalah seadanya
seperti yang terungkap semasa akad.
Kata pujangga, perempuan bagaikan angin, lembutnya melenakan,
ributnya pula mampu menggusarkan.
Adakalanya mereka seperti ibu menyaji kasih, menghidang sayang
malah adakalanya mereka seperti anak yang ingin dibelai, minta
dimanjakan seperti anak kecil namun adakalanya mereka seperti
nenek yang sering berleter seadanya, merungut semahunya.
Namun, bahagia dan derita hanya kita yang mencorakkan sendiri.
Mendirikan sebuah rumah tangga biarpun untuk ke sekian kali namun
memerlukan kematangan dan kedewasaan fikiran dan perasaan.
Kematangan bererti kemampuan seseorang menahan marah dalam
suasana krisis dan perselisihan serta dapat menyelesaikan masalah
tanpa menggunakan kekerasan dan menjauhi segala cara yang boleh
membawa kepada keruntuhan perkahwinan itu.
Sebagai bukti kepada kematangannya, seseorang itu sanggup mengaku
salah apabila benar-benar bersalah dan tidak cuba menyalahkan
orang lain apabila berpeluang berbuat demikian.
Bagi Islam, rumah tangga perlu ditegakkan atas asas cinta dan
kasih sayang.
Perkara ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan di
antara keterangannya juga, bahawa ia menjadikan isteri bagimu
yang sebangsa dengan kamu, supaya kamu boleh diam bersama-sama
dengan dia, serta berkasih sayang dan cinta menyintai.” (Surah Ar
Rum, ayat 21).
Cinta dan kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah hasil daripada
cinta pandang pertama tetapi ia lahir daripada rasa tanggungjawab
mengikut amanah dan kepercayaan, serta tidak dipengaruhi oleh
kehendak kebendaan atau nafsu.
Rasa cinta sebegini boleh membawa suami sentiasa bersikap matang
dan sihat dalam segala layanannya terhadap isteri dan di kala
menghadapi krisis rumah tangga yang tidak dapat dielakkan.
Suasana rumah tangga akan menjadi lebih mesra dan ceria apabila
suami mengenali diri isterinya sebagai manusia yang mudah
tersinggung dan mudah terasa.
Suami jangan sekali-kali cuai dan lupa memberi penghargaan kepada
peranan isteri sebagai suri rumah tangga yang benar-benar
bertanggungjawab.
Sebenarnya, tidak susah bagi suami membisikkan kata-kata pujian
ke telinga isterinya setiap kali menikmati masakan atau
melihatnya berpakaian baru. Berilah hadiah, walaupun kecil,
sebagai tanda penghargaan suami terhadap isteri apabila menyambut
hari jadinya.
Termasuk dalam penghargaan juga ialah memberi sangkaan baik
terhadap tingkah laku isteri, tidak memperlihatkan apa-apa
kecurigaan terhadap kejujuran dan keikhlasan isteri, tidak cuba
mengintip gerak- gerinya kerana didorong rasa cemburu yang
melulu.
Sesungguhnya, rumah tangga yang bahagia dapat diwujudkan hasil
kerja keras, saling mengerti, tolong menolong dan persefahaman
antara suami dan isteri.
Dalam mengemudi bahtera sebuah rumah tangga, suami berperanan
sebagai nakhoda kapal yang bertanggungjawab mengendali dan
menjaga keselamatan seisi anak kapal.
Manakala isteri pula berperanan sebagai jurumudi yang mengawal
haluan bahtera. Paduan erat antara keduanya mampu menyelamatkan
bahtera dan seluruh isinya daripada tenggelam dilanda badai dan
gelora.
0 Comments
Click here to sign up now.