Muhammad Abduh
1. Biografi Muhammad ‘Abduh
Muhammad ‘Abduh merupakan seorang tokoh pemikir dan reformis terkemuka Islami dari Mesir pada akhir abad ke-19 Masihi. Beliau digelar sebagai pelopor modenisme Sunni Islam dan dianggap juga oleh sesetengah penulis sebagai titik tolak pemikiran Salafiyyah. Walaubagaimanapun, perbincangan ini hanya akan dibataskan kepada beberapa aspek pemikiran beliau tentang politik pada umumnya berdasarkan makalah-makalah yang tersiar dalam al-Urwah al-Wuthqa. Jurnal ini telah diasaskan oleh Jamal al-Din al-Aghani, tokoh pelopor kesarwajagatan Islam (Pan-Islamisme), bersama-sama ‘Abduh, di Paris, pada tahun 1883, setelah ‘Abduh diusir dari Mesir pada akhir 1882 kerana terlibat dalam pemberontakan pimpinan Ahmad Urabi menentang penyalahgunaan kausa pemerintah dan campur tangan asing. Al-Afghani bertindak sebagai pengurus jurnal tersebut manakala ‘Abduh sebagai editornya, dengan mereka berdua dikira sebagai bertanggungjawab ke atasnya.
Mesir pada awal abad ke-19 diperintah oleh Muhammad ‘Ali, seorang wakil kerajaan Turki Uthmaniyyah yang telah melantik dirinya sebagai gabenor Mesir ketika timbul konflik kekuasaan yang disebabkan oleh kemasukan Perancis ke wilayah tersebut. Muhammad ‘Ali yang datang bersama tentera Turki untuk berhadapan dengan Perancis berjaya mendapat sokongan penduduk setempat. Beliau mengangkat dirinya sebagai gabenor dan membentuk sekumpulan pemerintah yang terdiri daripada bangsa Turki, pasukan dan pegawai-pegawai elit yang terpelajar yang digunakannya untuk mengurus pentadbiran negara dan mengutip cukai di seluruh Mesir. Pemerintahan Muhammad ‘Ali dari tahun 1805 hingga ke 1848 adalah permulaan kepada sebuah dinasti yang memerintah Mesir.
Pentadbiran ekonomi yang teruk dan sikap tamak pemerintah yang menaikkan cukai sesuka hati mereka membawa kemelaratan kepada rakyat Mesir, terutamanya golongan petani yang miskin. Salah seorang dari mereka ialah ‘Abduh Hassan Khairallah, ayah kepada Muhammad ‘Abduh, yang merasai akibat buruk dari dasar yang dijalankan oleh pemerintah, seperti memiliknegarakan tanah dan kerahan tenaga. Pada lewat penggal pemerintahan Muhammad ‘Ali, ‘Abduh Hassan Khairallah terpaksa keluar dari kampungnya di Mahallat Nasr, di wilayah Buhairah, sebuah kawasan delta di pinggir Sungai Nil untuk melarikan diri daripada pegawai dan pengutip cukai yang zalim.
‘Abduh Hassan Khairallah terpaksa meninggalkan sebidang kecil tanah di kampungnya dan merantau ke beberapa buah kampung di sekitar wilayah Gharbiyah. Pada ketika itu, beliau berkahwin dengan seorang janda yang bernama Junainah, seorang wanita dari keluarga yang terhormat di wilayah tersebut. Pada tahun 1849, Muhammad ‘Abduh dilahirkan. Setelah hampir 15 tahun di wilayah tersebut, ‘Abduh Hassan Khairallah membawa isterinya dan anaknya Muhammad ‘Abduh pulang ke Mahallat Nasr. Bapa ‘Abduh kemudiannya berkahwin dengan seorang lagi wanita. Pengalaman hidup di dalam sebuah keluarga yang kepalanya mengamalkan poligami telah membuatkan ‘Abduh kemudiannya kritikal dengan perkara yang berkaitan dengan hak wanita.
‘Abduh membesar seperti kanak-kanak lain yang berada dalam keluarga petani. Semenjak kecil lagi beliau telah terdedah dengan kisah-kisah derita yang terpaksa ditempuhi ayahnya dan golongan petani yang lain di bawah ‘Abbas I (1848-54). Petani-petani terpaksa membayar cukai yang tinggi dan akan dicambuk dengan rotan jika terlambat membayar.
‘Abduh belajar membaca dan menulis di rumah dari ahli keluarganya. Beliau Berjaya menghafal Al-Quran pada umur 12 tahun. Ketika berumur 13 tahun, ‘Abduh dihantar ke sebuah sekolah di Masjid Ahmadi di Tanta pada tahun 1862 untuk mempelajari Al-Quran. Di sini ‘Abduh diperkenalkan dengan ilmu nahu (tatabahasa) Arab klasik. Kaedah pengajaran yang digunakan di masjid itu merupakan warisan turun-temurun yang mementingkan hafalan dan tidak banyak perbincangan dalam memahami sesuatu ilmu. Menurut ‘Abduh, perbincangan yang dibuat hanya berkaitan soal bahasa dan hal-hal remeh yang tidak membawa kepada ilmu pengetahuan yang sebenar. Beliau berasa begitu berat sekali untuk menghafal syarh (syarah/ulasan) Al-Kafrawi terhadap Matan Ajrumiyah (buku tatabahasa Arab) sedangkan beliau tidak memahami sepenuhnya teks asal itu dan juga syarahannya.
Keadaan itu amat mengecewakan ‘Abduh dan melunturkan semangat beliau untuk belajar. ‘Abduh mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan pulang ke Mahallat Nasr dengan niat untuk terlibat dalam dunia pertanian. Pada tahun 1865, dalam usia 16 tahun beliau berkahwin. Tidak lama selepas perkahwinan itu, bapanya datang bertemu dan meminta beliau menyambung semula pelajaran yang ditinggalkan di Masjid Ahmadi. ‘Abduh kemudiannya keluar dari rumah bukan untuk ke Masjid Ahmadi seperti yang diharapkan oleh bapanya, sebaliknya beliau menuju ke sebuah kampung di daerah Shubrakhit di mana terdapat ramai saudara-mara di sebelah bapanya. Di sini ‘Abduh bertemu dengan Syeikh Darwish Qadir, bapa saudaranya, yang merupakan seorang sufi dari kumpulan Shadhili. Pertemuan ini walaupun singkat memberi kesan besar kepadanya dan merupakan titik perubahan dalam hidup ‘Abduh. Di dalam sebuah tulisannya ‘Abduh menulis tentang hal ini:
“Kehidupan dunia yang kelihatan hebat menjadi tidak bermakna dihadapanku. Perjalanan mencari makrifah dan penyucian jiwa untuk Tuhan yang dahulunya hal kecil bagiku kini menjadi suatu yang besar. Semua cita-cita dan keinginanku pudar, dan yang tinggal hanya satu cita-cita: untuk mencari kesempurnaan dalam pengetahuan dan juga penyucian jiwa. Namun aku tidak menemui guru yang dapat menunjukkan jalan untuk mencapai keinginan jiwaku ini kecuali Syeikh Qadir. Dalam hanya beberapa hari beliau melepaskan aku keluar dari penjara kejahilan untuk menghirup udara segar pengetahuan dan juga dari taqlid buta terhadap tradisi kepada kebebasan mistik…Beliau merupakan satu-satunya kunci kebahagiaan, jikalau aku mempunyainya di dalam hidupku ini.”
Syeikh Qadir memujuk Muhammad ‘Abduh untuk pulang ke Masjid Ahmadi dan meneruskan pengajian beliau di sana. Pada penghujung tahun 1865, ‘Abduh menyambung pelajarannya di Masjid Ahmadi dan sebulan kemudian, pada Februari 1866, beliau meninggalkan keluarga dan isterinya untuk belajar di Al-Azhar. Harapannya yang tinggi untuk menuntut ilmu dengan kaedah yang betul tidak juga kesampaian. Keadaan di Al-Azhar juga tidak memuaskan. Sistem yang digunakan amat tegar dan tidak memberi sebarang faedah yang amali. Guru-guru di sana menghabiskan masa bertahun-tahun membincangkan tentang syarah untuk sesuatu teks (atau dalam bahasa Arab, matan, iaitu teks utama sebuah kitab), hawashi (catatan atau ulasan di pinggir helaian kitab) kepada syarah dan keterangan kepada hawashi itu sendiri. Untuk menggambarkan hal ini ‘Abduh menulis:
“Pada masa itu aku mendengar apa yang diajarkan oleh guruku itu dan aku berfikir bahawa dia sedang bercakap dalam bahasa asing!”
Pada ketika itu di Al-Azhar terdapat dua kelompok ulama. Kelompok pertama yang agak konservatif terdiri dari Syeikh ‘Ulaysh, Al-Rifa’i dan beberapa orang yang lain. Kelompok yang kedua yang mempunyai kecenderungan kesufian, antara tokohnya ialah Syeikh Hasan Ridwan. Muhammad ‘Abduh lebih rapat dengan kelompok yang kedua kerana mereka tidak mencemuh seluruhnya kehidupan moden. Pun begitu kelompok itu juga tidak memenuhi kehausan ‘Abduh terhadap ilmu pengetahuan. ‘Abduh amat meminati tasawwuf, kerana itulah setiap kali bercuti beliau akan mengunjungi guru spiritualnya, Syeikh Darwish yang selalu memberi galakan kepadanya untuk mempelajari logika, matematik dan geometri yang tidak diajar di Al-Azhar. Apabila pulang ke Kaherah beliau akan berusaha mencari maklumat tentang ilmu-ilmu tersebut daripada para kenalannya.
Pada awal pengajian di Al-Azhar, ‘Abduh menumpukan sepenuh perhatian kepada tasawwuf dan menjalani kehidupan seorang sufi yang memisahkan diri dari hal-hal dunia. Amalan sufi yang keterlaluan itu dilihat oleh Syeikh Darwish, individu yang mula-mula memperkenalkan tasawwuf kepadanya, sebagai satu hal yang tidak baik. Oleh kerana itu, pada tahun 1871, ketika bertemu dengan ‘Abduh, beliau mendesak ‘Abduh untuk meninggalkan cara hidup sebegitu dan bergaul dengan orang lain supaya dapat membantu mereka ke jalan kebaikan.
Meskipun begitu, pertemun dengan Jamaluddin Afghani kemudiannya yang benar-benar mengeluarkan ‘Abduh dari kehidupan tasawwuf yang melampau. Pada tahun 1869, dalam perjalanan ke Istanbul, Al-Afghani singgah di Kaherah dan mengadakan pertemuannya yang pertama dengan para cendekiawan muda Mesir pada ketika itu, termasuk ‘Abduh. Pada tahun 1871, sekali lagi Al-Afghani singgah ke Kaherah dalam perjalanannya ke Istanbul. ‘Abduh menghadiri kuliah-kuliah Al-Afghani. Di bawah pengaruh Al-Afghani, beliau mula mempelajari falsafah terutamanya kitab Isharat Ibnu Sina dan tulisan-tulisan klasik lain yang diabaikan oleh Al-Azhar. Al-Afghani juga memperkenalkan kepada pelajar-pelajarnya pencapaian ilmu dan pemikiran Barat.
Tidak seperti syeikh-syeikh Al-Azhar yang lain, Afghani mengumpulkan kumpulan pelajar yang mempunyai minat yang mendalam untuk berbincang tentang teologi, undang-undang, falsafah, tasawwur, dan juga politik. Al-Afghani sering menekankan tentang pentingnya Mesir menjadi sebuah negara yang bebas dari campur tangan Eropah dan perlunya memandang semua kelompok Muslim sebagai satu umat. Kumpulan yang mengikuti Al-Afghani ini juga giat menghasilkan penulisan sastera, falsafah, dan agama. ‘Abduh sendiri, di dalam bukunya yang pertama, Risalah al-Waridah (1876), memuji Al-Afghani dengan istilah seperti “filasuf yang sempurna” dan “kebenaran yang pertama”. Pada tempoh ini ‘Abduh menghasilkan siri rencana secara mingguan di Al-Ahram yang membincangkan keadaan sosial dan politik. Pada tahun 1876 juga beliau menerbitkan karyanya yang kedua, Al-Ta’liqat ‘ala Syarh ‘i-Dawwani li ‘l-Aqa’id al-‘Adudiyah.
Pada tahun 1877, ‘Abduh hadir di hadapan badan penilai Al-Azhar untuk ijazah ‘Alim yang akan diterimanya. ‘Abduh mendapati majoriti syaeikh yang berada dalam badan itu curiga terhadapnya. Namun dengan campurtangan Syeikh Muhammad al-Abbasi, rektor Al-Azhar pada ketika itu, ‘Abduh dianugerahkan ijazah kelas kedua walaupun Al-Abbasi sendiri merasakan bahawa ‘Abduh layak untuk menerima ijazah kelas pertama. Dengan ijazah itu ‘Abduh mempunyai kelayakan untuk mengajar di Al-Azhar. Beliau memulakan pekerjaan yang diminatinya itu dengan mengajar usul I-din, mantiq dan etika. ‘Abduh juga mengadakan kelas sendiri di rumahnya dengan mengajar kitab Tahdhib al-Akhlaq, karya Ibn Miskawayh, dan buku Francois P. Guizot, History of the Civilization in Europe and in France, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh Ni’matullah Khuri.
Pada tempoh ini ‘Abduh menyertai pertubuhan “Bintang Timur” (Al-Kawkab al-Sharq) yang merupakan cawangan kepada Kumpulan Masonik di England. Cawangan ini mempunyai tiga ratus keahlian yang terdiri daripada individu-individu dari kelas elit yang bertujuan mewujudkan kerjasama dan wahana pertukaran idea dan pemikiran di kalangan mereka yang bekerja di belakang tabir politik semasa. Penyertaan ‘Abduh ke dalam pertubuhan ini boleh dilihat sebagai pengaruh daripada Al-Afghani yang cenderung untuk melaksanakan perubahan melalui jalan politik dengan strategi dan kaedah yang pelbagai. Al-Afghani pernah merancang untuk menggulingkan pemerintah Mesir, Khedive Ismail untuk digantikan dengan anak Ismail sendiri, Tawfiq Pasha. Namun, Tawfiq Pasha kemudiannya menaiki takhta pada tahun 1849 setelah menggulingkan Khedive Ismail dengan bantuan British dan Perancis.
Pada penghujung tahun 1878, dengan campurtangan Riyad Pasha, Perdana Menteri yang pro-British, ‘Abduh dilantik untuk menjadi guru sejarah di Darul Ulum. Di sekolah itu beliau menyampaikan kuliah pertamanya berkenaan Muqaddimah, karangan Ibnu Khaldun, yang tidak pernah diajar sebelum ini. ‘Abduh tidak terikat dengan teks kitab tersebut dan cuba untuk menyesuaikan idea-idea dalam kitab tersebut dengan keadaan semasa.
Menurut seorang penulis, pemilihan kitab dan buku yang digunakan ‘Abduh menunjukkan bagaimana pemikiran beliau bergerak: kitab Ibnu Miskawaih merupakan versi Islam bagi falsafah etika Yunani manakala Guizot dan Ibnu Khaldun masing-masing membincangkan kebangkitan dan kejatuhan tamadun-tamadun dari sudut yang berbeza. ‘Abduh juga menjadi pengajar bahasa Arab di sekolah bahasa milik Khedive. Di sini beliau berusaha untuk menimbulkan minat pelajar-pelajar di dalam bahasa Arab klasik.
Kerjayanya sebagai guru berakhir apabila Khedive Ismail terpaksa melepaskan takhta kepada anaknya Tawfiq Pasha. Al-Afghani dan ‘Abduh mempunyai hubungan yang baik dengan Tawfiq Pasha sebelum beliau menaiki takhta. Tawfiq Pasha juga pernah berjanji untuk melakukan reformasi apabila memegang tampuk pemerintahan. Apabila beliau menaiki takhta, ‘Abduh dan Al-Afghani menggesanya untuk memenuhi janji tersebut namun beliau berubah sikap terhadap mereka berdua. Akibatnya, pada tahun 1879, Al-Afghani yang terkenal dengan ceramah-ceramah anti British diusir dari Mesir dan dihantar ke Hyderabad, India. Manakala ‘Abduh pula dipecat dari Darul Ulum dan beliau ditahan di kampungnya Mahallat Nasr.
Pada waktu itu Perdana Menteri Riyad Pasha berada di luar negeri. Apabila beliau pulang ke Mesir, beliau segera membebaskan ‘Abduh dari sebarang tuduhan. Pada tahun 1880 ‘Abduh kembali ke Kaherah dan dilantik sebagai salah seorang editor untuk sebuah warta rasmi kerajaan, l-Waqa’I al-Misriyyah. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Editor. Jawatan itu membolehkan ‘Abduh mengkritik sebarang tindakan dan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan dan juga memantau semua akhbar yang diterbitkan di Mesir. Kedudukan beliau sebagai Ketua Editor sangat berpengaruh untuk membentuk pandangan awam.
‘Abduh turut menjemput teman-temannya yang pernah dilatih dalam kewartawanan oleh Al-Afghani. Mereka ialah Syeikh Abdul Karim Salman yang merupakan teman rapatnya; Syeikh Sa’ad Zaghlul, pada ketika itu merupakan seorang pelajar Al-Azhar dan kemudiannya menjadi pemimpin terkenal Parti Wafd yang menuntut kemerdekaan dari British dan menjadi Perdana Menteri pada tahu 1924; seorang lagi ialah Syeikh Ibrahim al-Hilbawi yang kemudiannya menjadi peguam yang terkenal.
Salah satu bahagian dari akhbar itu diperuntukkan untuk ‘Abduh dan rakan-rakannya menulis artikel yang menyentuh isu-isu sosial dan pendidikan. Sebagai editor ‘Abduh menggunakan kedudukannya untuk mengkritik dan membentuk pandangan umum masyarakat Mesir dalam semua aspek kehidupan. Salah satu kritikan beliau terhadap sistem pendidikan Mesir di dalam Al-Waqa’i menyebabkan sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk menjalankan reformasi dalam bidang pendidikan.
‘Abduh juga mula terdedah kepada pelbagai kaedah dan strategi yang dilakukan oleh pemimpin politik dan tentera di Mesir. Keadaan Mesir pada waktu itu semakin teruk disebabkan pengurusan ekonomi yang lemah dan pemerintahan yang korup. Ketika pemerintahan Khedive Ismail, Mesir menanggung banyak hutang dengan bank-bank Eropah. Hutang-hutang tersebut tidak mampu diselesaikan oleh Khedive Ismail. Pada tahun 1882, akhbar yang dipimpin oleh ‘Abduh terpaksa ditutup apabila meletus pemberontakan Urabi Pasha.
Beliau memilih untuk menyertai Parti Nasionalis pimpinan ‘Urabi dan terlibat dalam dalam pemberontakan itu apabila melihat bahaya ancaman dari Britain. Campurtangan Britain memepercepatkan lagi kekalahan di pihak ‘Urabi. Kolonel Urabi dan pengikutnya dijatuhkan hukuman buang negeri seumur hidup ke Sri Lanka. ‘Abduh yang turut dibicarakan bersama dengan pimpinan tentera dijatuhi hukuman buang negeri ke Syria tetapi kemudiannya, pada tahun 1884, ‘Abduh meninggalkan Syria dan menuju ke Paris untuk menemui Al-Afghani.
Di Paris, Al-Afghani dan ‘Abduh menubuhkan pertubuhan rahsia yang bernama Jami’at al-urwah al-wuthaqa’ yang bertujuan menyatukan kaum Muslimin. Mereka menerbitkan akhbar mingguan dalam bahasa Arab yang diberi nama yang sama dengan pertubuhan tersebut. Akhbar tersebut, yang terbit sebanyak 18 isu dari 13 Mac 1884 hingga 10 Oktober 1884, telah membawa pengaruh yang besar kepada dunia Islam terutama sekali tentang bahayanya campurtangan dan penjajahan kuasa luar. ‘Abduh sendiri menyatakan bahawa penerbitan akhbar itu adalah bertujuan:
1) Mengenalpasti masalah-masalah yang menyebabkan umat Islam mundur
2) Menyemai semangat untuk berjaya di kalangan Muslim dan menghapuskan perasaan putus asa
3) Menyeru untuk berpegang kepada prinsip-prinsip salafussoleh generasi Muslim yang terawal, merujuk kepada Sahabat Nabi dan para pengikut mereka
4) Mempertahankan Muslim daripada tuduhan-tuduhan yang menyatakan bahawa mereka tidak akan maju jika selamanya berpegang kepada prinsip-prinsip Islam
5) Menyebarkan maklumat berkenaan peristiwa-peristiwa penting dalam politik
6) Mengeratkan hubungan antara negara-negara dan memperbaiki kemaslahatan awam
Kerajaan Britain berusaha untuk menekan jurnal Al-Urwah al-Wuthqa’, bahkan Khilafah Uthmaniyyah juga diminta untuk mengharamkan akhbar tersebut. Pengedarannya ke India, Sudan, dan Mesir juga telah diharamkan.
Pada awal tahun 1884, ‘Abduh mengunjungi England sebagai wakil ‘Urwah untuk menemui ahli politik Britain bagi membincangkan hal-hal berkaitan Mesir dan Saudan. ‘Abduh juga melawat Tunisia dan negara-negara lain. Selepas ‘Urwah diharamkan dan pergerakan yang dipimpin oleh Al-Afghani gagal, pada tahun 1885, beliau ke Beirut dan menjadi guru di Sekolah Sulmaniyya yang ditubuhkan oleh rakan-rakan Midhat Pasha. Selain menyampaikan kuliah, ‘Abduh juga memperkenalkan beberapa perubahan di dalam kurikulum.
Lord Cromer memujuk Khedive Tawfiq Pasha untuk memaafkan ‘Abduh. Setelah menetap hampir tiga tahun setengah di Beirut, beliau akhirnya pulang ke Mesir, pada penghujung tahun 1888, dan dilantik menjadi hakim di sebuah mahkamah daerah. Walaupun ‘Abduh memilih untuk menyambung mengajar di Darul Ulum tetapi Khedive bimbang jika peluang mengajar di Darul Ulum digunakan ‘Abduh untuk menyebarkan idea-idea reformasi politik dalam kalangan golongan muda.
2. Penyebarluasan Pemikiran Muhammad ‘Abduh
Walaupun Muhammad ‘Abduh tidak pernah menghasilkan sebuah tritis mengenai teori politik, namun menerusi tulisan-tulisannya yang dihasilkan pada peringkat awal ketika beliau masih aktif dalam gerakan politik, seperti dalam al-Waqa’ al-misriyyah dan al-‘Urwah al-wuthqa, dapat dikesan akan seruan beliau ke arah reformasi akhlak dan budaya. Tulisan-tulisannya yang dihasilkan selepas beliau meninggalkan kegiatan politik dikatakan hanya terbatas kepada isu-isu reformasi kemasyarakatan, pendidikan, dan perundangan Islam. Oleh hal yang demikian, dapatlah dikesan bahawa pemikiran ‘Abduh ini menerusi karya-karya yang dihasilkan oleh beliau telah secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan perkembangan pemikiran sosial dan politik di Malaysia. Hal ini demikian kerana pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, ramai penuntut daripada Tanah Melayu ketika itu telah pergi menuntut ilmu di negara-negara Timur Tengah, termasuklah di Mesir di mana terdapatnya institusi-institusi pengajian agama yang cukup terkenal seperti Universiti Al-Azhar. Antaranya seperti Sheikh Wan Ahmad Muhammad Zain (Sheikh Ahmad al-Fathani), Sheikh Tahir Jalaludin, Tengku Osman, Tengku Hassan, Tengku Adam, Nik Mahmud Kelantan, Dato’ Laksamana Kelantan, Mohamad Zain Ahmad Kelantan, Sheikh Ahmad Lampung, Haji Omar Jawa, dan lain-lain lagi. Tokoh-tokoh lain yang turut dihantar ke Mesir dengan pengaruh Sheikh Ahmad al-Fathani ialah Syed Sheikh al-Hadi, Kiyai Haji Hashim Asy’ari, dan lain-lain. Sebahagian ulama generasi ini telah diperkenalkan oleh Sheikh Ahmad dengan Muhammad ‘Abduh. Hasilnya, orang-orang Melayu mulai belajar di Mesir dan mewujudkan dua kesan utama iaitu tersebarnya pengaruh Syed Jamaluddin al-Afghani menerusi Muhammad ‘Abduh dan Sheikh Rasyid Ridha serta berkembangnya budaya organisasi dalam kalangan ulama Melayu yang aktif dalam Jam’iatul Khairiyah Mesir yang ditubuhkan pada 1923. Kemudiannya, para penuntut daripada Tanah Melayu ini telah terpengaruh dengan idea-idea Islah atau gerakan pembaikan atau pemulihan Islam sebagaimana yang dipelopori oleh ‘Abduh. Oleh hal yang demikian, apabila para penuntut ini pulang ke Tanah Melayu, mereka telah dilihat mengambil tanggungjawab untuk menggerakkan gerakan Islah di Tanah Melayu pada ketika itu. Hal ini demikian kerana para penuntut ini melihat dari segi sosial dan politik orang-orang Melayu pada ketika itu masih cukup terbelenggu dengan budaya khurafat dan juga syirik. Oleh hal yang demikian, golongan ini telah dikesan sebagai penggerak kepada usaha melaksanakan idea Islah melalui bidang kemasyarakatan seperti sosial, pendidikan, penerbitan, dan sebagainya yang secara jelasnya dimanifestasikan menerusi penubuhan Kaum Muda serta penerbitan majalah seperti al-Imam. Golongan pelajar ini juga telah bertindak menganjurkan reformasi pendidikan agama dengan tidak hanya menumpukan semata-mata kepada akhirat sahaja, tetapi juga penekanan kepada ilmu sains dan teknologi, dengan Al-Quran dan Sunnah sebagai asas pegangan. Golongan pelajar yang mendapat pengaruh daripada ‘Abduh kemudiannya telah menjadi asas bagi kebangkitan gerakan-gerakan agama di Tanah Melayu, teutamanya menerusi inspirasi politik dan pendidikan serta kemahiran organisasi yang mereka pelajari daripada ‘Abduh. Maka dapatlah dilihat bahawa kaitan antara Muhammad ‘Abduh dengan perkembangan pemikiran sosial dan politik di Malaysia begitu signifikan sekali.
3. Perkara Utama dalam Falsafah Sosial dan Politik Muhammad ‘Abduh
Perkara utama yang terkandung dalam falsafah sosial Muhammad ‘Abduh ialah perlunya akan penekanan ke atas kesepaduan dan kesatuan yang menurut beliau boleh mencambahkan kekuatan dan kekuasaan yang amat diperlukan dalam pemerintahan. Hal ini selanjutnya telah diperjelaskan oleh beliau di mana lahirnya kesepaduan dan kesatuan ini ialah melalui rasa setiap anggota bahawa mereka berkongsi segala kebaikan dan kecelakaan yang menimpa masyarakat dan mereka berasa bertanggungjawab terhadap kebangkitan dan kejatuhannya, lalu mereka bukan sahaja berikir untuk kebaikan masyarakat, tetapi juga bekerja dan berusaha ke arah itu. Menurut ‘Abduh, bertindak berdasarkan semangat kesepaduan dan rasa kesatuan ini diistilahkan sebagai at-taassub, dan semangat serta rasa itu sendiri sebagai al-asabiyyah. Terdapat dua sumber bagi al-asabiyyah: pertama, ikatan darah keturunan, yang merupakan asas, dan ikatan aqedah atau anutan kepercayaan. Selama kedua-dua asabiyyah dan taassub ini bersifat sederhana, maka pemerintahan dan masyarakat akan berjalan dengan baik dan sempurna. Akan tetapi, sekiranya semangat tersebut lemah dan rendah, maka pemerintah akan turut runtuh dan masyarakat akan musnah. Begitu juga, sekiranya semangat berkenaan melampau batas kewajarannya, akan berlaku kezaliman dan pencabulan yang akan membawa kepada keruntuhan. Sungguhpun begitu, Muhammad ‘Abduh berpendapat bahawa asabiyyah dan taassub yang berlandaskan ikatan darah keturunan lebih mudah melampaui batas kewajaran dan terjerumus ke dalam kancah kezaliman menyebabkan timbulnya pertentangan dan perpecahan. Semangat kesepaduan seperti ini diistilahkan oleh beliau sebagai al-jinsiyyah, semangat kebangsaan atau perkauman, yang telah membawa porak-peranda kepada Dunia Islam. Sebaliknya, kesepaduan yang berasaskan ikatan kepercayaan, bagi ‘Abduh, lebih mantap sifatnya, lebih suci dan berfaedah. Dan dalam hal ini, beliau maksudkan semangat kesepaduan yang berasaskan agama Islam dan ajarannya, yang, sepanjang sejarah kecemerlangan Islam, hampir melenyapkan kesepaduan yang berasaskan keturunan. Hanya apabila semangat yang berasaskan kesatuan akidah ini bertukar kepada yang berasaskan pertalian darah mulalah Dunia Islam berpecah belah dan dikuasai kuasa asing (Herry 2006).
Perkara utama dalam falsafah politik ‘Abduh adalah berbeza dengan gagasan yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun di mana Muhammad ‘Abduh tidak menyatakan akan mengenai sistem khilafah sebagai kemuncak sistem pemerintahan. Sistem pemerintahan yang terbaik pada pandangan Muhammad ‘Abduh ialah pemerintahan yang berasaskan kepada Undang-undang Islam serta pelaksanaannya dan persetujuan ramai. Namun begitu, hal ini menurut Muhammad ‘Abduh, tidak bererti sistem pemerintahan Islam ditentukan melalui satu doktrin Islam yang khusus: sebaliknya ketentuannya diputuskan melalui perundingan dalam kalangan masyarakat Islam dari masa ke masa menurut keadaan. Oleh itu sistem pemerintahan Islam bukanlah sistem teokrasi Eropah yang menyatakan bahawa pemerintah menerima undang-undang secara langsung daripada Tuhan dan segala tindakannya dalam bentuk apa sekalipun bersifat agama dan undang-undang. Pemerintah yang demikian tidak boleh ditentang kerana ketaatan kepadanya merupakan sebahagian daripada kepercayaan agama. Hal ini adalah berlainan dengan Islam yang melihat pemerintah sebagai pemerintah sivil (awam) atau Hakim madani (civil ruler), yang pelantikannya ditentukan oleh orang ramai atau wakil-wakilnya yang juga bertindak mengawasi pemerintah dan berkuasa melucutkan jawatannya apabila dirasakan perlu. Oleh hal yang demikian, jelas bahawa sistem pemerintahan Islam adalah sebuah pemerintahan yang berasaskan undang-undang agama atau divine-law nomocracy, bukan teokrasi.
Muhammad ‘Abduh juga turut menyentuh mengenai syarat-syarat yang melayakkan seseorang menjadi pemerintah. Sebagaimana yang pernah disenaraikan oleh sarjana-sarjana pemikir politik klasik Islam, Muhammad ‘Abduh turut menyenaraikan kriteria seperti calon tersebut mestilah seorang Muslim dan juga memiliki keupayaan untuk melaksanakan Undang-undang Islam. Perkara yang membezakan antara kriteria yang dikemukakan oleh Muhammad ‘Abduh dengan kriteria-kriteria yang digariskan oleh pemikir politik Islam klasik adalah dari segi kriteria keutamaan keIslaman. Hal ini demikian kerana menurut Muhammad ‘Abduh, seseorang pemerintah mestilah seseorang yang paling patuh kepada kepada ajaran-ajaran Islam, yang bekerja keras mengawal dan mempertahankannya. Perkara ini adalah berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hujurat (49:13). Oleh hal yang demikian, bagi ‘Abduh, ketaatan rakyat kepada pemerintah tertakluk kepada kepatuhannya kepada hukum-hukum Allah dan sekaligus menolak sama sekali syarat yang menetapkan seseorang calon mestilah daripada keturunan Quraisy seperti yang telah ditetapkan oleh Al-Mawardi dan juga syarat memiliki asabiyyah jinsiyyah sebagaimana yang dicanangkan oleh Ibnu Khaldun. Hal ini demikian kerana menurut ‘Abduh, kekuasaan memerintah tidak sepatutnya diperoleh berdasarkan warisan atau keistimewaan keturunan bangsa, puak atau suku tertentu malah ‘Abduh menegaskan bahawa kesepaduan berasaskan keturunan inilah yang menjadi punca perpecahan umat Islam yang melemahkan mereka dan meruntuhkan pemerintahan mereka.
Muhammad ‘Abduh turut menyentuh satu aspek lain dalam pemikiran politik, iaitu berkaitan dengan perlucutan jawatan pemerintah. Menurut beliau, pemerintah yang yang bersifat autokrat dan membawa keburukan serta kemusnahan kepada rakyat dan negara hendaklah dilucutkan jawatannya. ‘Abduh dengan tegas menyatakan bahawa tanggungjawab ini hendaklah dipikul oleh apa yang dinamakannya ahl al-ra’y wa arbab al-himmah dalam kalangan masyarakat. Mereka ialah wakil-wakil masyarakat atau ummat, yang sebelumnya bertanggungjawab melucutkan jawatan pemerintah apabila keadaan mewajibkan mereka berbuat demikian demi kepentingan ummat atau masyarakat.
Muhammad ‘Abduh berada pada era di mana Khilafah Uthmaniyyah diasak oleh kuasa-kuasa imperialis Barat dengan Itali, Perancis, Jerman, Russia, dan Britain berlumba-lumba merampas dan membahagikan wilayah-wilayah Islam sesama mereka. Keadaan menjadi lebih runcing dengan Khalifah Uthmaniah pada ketika itu, iaitu Sultan Abdul Hamid II terpaksa berhadapan dengan persaingan daripada Kerajaan Safavit dari Parsi dan juga pemberontakan dalaman yang didalangi para nasionalis Arab dan juga perancangan golongan minoriti seperti Armenia, Greek, dan juga Yahudi di mana setiap pihak ini ingin memiliki wilayah pemerintahan tersendiri yang bebas daripada naungan Uthmaniyyah. Menerusi kaca mata Muhammad ‘Abduh, beliau tidak melihat Uthmaniyyah sebagai al-khilafah, sebaliknya adalah sebagai al-dawlah. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan satu kenyataan peribadi beliau pada tahun 1897 yang menjelaskan bahawa tidak mengakui dakwaan Sultan Abdul Hamid II sebagai khalifah kerana pada pandangan beliau Sultan Abdul Hamid II sendiri tidak memahami apakah konsep dan tugas khalifah yang sebenarnya. Oleh hal demikian, disebabkan institusi khalifah yang wujud pada ketika itu tidak menepati cirri yang sepatutnya dan sebaliknya dilihat menjadi suatu corak pemerintahan monarki yang autokratik dengan Khalifah dibayangi tindak-tanduk jeneral dan ketua-ketua tentera yang lebih berkuasa, maka Muhammad ‘Abduh dilihat tidak menyertai mentornya, iaitu Jamal al-Din al-Afghani yang berusaha menyemarakkan semangat Pan-Islamisme umat Islam di seluruh dunia agar bersatu di bawah satu payung, iaitu Khilafah Uthmaniyyah, sebaliknya beliau bertindak mengutamakan usaha reformasi agama dan pendidikan.
4. Persoalan Kepimpinan Mutlak
Keadaan ini adalah bertentangan dengan saranan Muhammad ‘Abduh yang berpegang pada konsep al-ra’y al-Amm, iaitu bererti pandangan umum yang menentukan sistem pemerintahan. Pandangan umum ini, menurut ‘Abduh, diperolehi hasil daripada perundingan (shura) di antara pihak-pihak yang mewakili pelbagai kepentingan. Oleh hal yang demikian, sistem pemerintahan yang dibayangkan oleh ‘Abduh ialah satu sistem pemerintahan berperwakilan (representative government). Dalam sistem ini, pandangan umum hasil perundingan memainkan peranan penting mengawal pemerintah. Sebarang keputusan sewajarnya dibuat selepas pemerintah melakukan perundingan atau shura terlebih dahulu dengan pelbagai pihak dan kalangan. ‘Abduh amat menekankan kepentingan shura atau perundingan dalam pemerintahan dan konsep ahl al-hall wa al-aqd yang ada dalam Islam telah diertikan oleh ‘Abduh sebagai ‘ahli-ahli parlimen’. ‘Abduh juga turut mengetengahkan ahl al-ra’y wa arbab al-himmah dalam kalangan masyarakat yang bertanggungjawab melantik dan juga melucutkan jawatan pemerintah apabila keadaan mewajibkan mereka berbuat demikian demi kepentingan umat atau masyarakat daripada terus dibelenggu pemerintahan yang zalim, bersifat autokrat dan membawa keburukan serta kemusnahan. Menerusi cara ini sahaja, ‘Abduh percaya bahawa satu sistem pemerintahan yang adil dan saksama dapat dilahirkan.
5. Persoalan Perundangan
Pandangan Muhammad ‘Abduh yang menyatakan dengan jelas bahawa sistem pemerintahan yang terbaik adalah berdasarkan kepada Undang-undang Islam serta pelaksanaannya dan persetujuan ramai. Oleh hal yang demikian, sebagai penaja devine-law nomocracy, ‘Abduh tidak melihat undang-undang itu sebagai suatu alat yang boleh dimanipulasi oleh golongan pemerintah untuk menjustifikasikan apa jua tindakan mereka. Sebaliknya, pemerintah sebagai pemerintah sivil (awam) atau Hakim madani (civil ruler) sebenarnya menurut ‘Abduh adalah tertakluk kepada kuasa yang ditentukan dalam lingkungan yang undang-undang berasaskan agama. Oleh hal yang demikian, mereka sepatutnya melaksanakan kuasa mereka dalam lingkungan undang-undang yang mereka sendiri tidak berkuasa untuk menggubalnya ataupun membuat tafsiran terhadapnya.
6. Corak Aliran Kuasa
‘Abduh yang juga secara tidak langsung telah menaja corak aliran kuasa ‘dari bawah ke atas’. Hal ini dapat diteliti menerusi konsep pandangan umum (al-ra’y al-Amm) yang menentukan sistem pemerintahan. Pandangan umum ini diperoleh hasil daripada perundingan (shura) sekaligus membawa kepada sistem pemerintahan berperwakilan (representative government). Oleh hal yang demikian, menerusi penegasan oleh ‘Abduh mengenai betapa pentingnya peranan pandangan umum ini yang mengawal pemerintah, maka dapatlah dikatakan bahawa pemerintah dalam sistem ini tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak tanpa mendapat persetujuan daripada rakyat terlebih dahulu dalam pembuatan keputusan bagi hal-hal yang kritikal dan sebagainya. Malah, dalam rangka yang dicadangkan oleh ‘Abduh, pemerintah turut tertakluk kepada undang-undang agama Islam.
7. Kesimpulan
Pada tahun 1890, beliau dilantik menjadi penasihat kepada mahkamah rayuan di Kaherah. Dengan daya usaha dan bujukan Abduh, Khedive menubuhkan majlis penasihat Al-Azhar ditubuhkan pada tahun 1895. ‘Abduh menjadi anggota majlis itu selama 10 tahun. Pada 3 Jun 1899 beliau dilantik menjadi Mufti Besar Mesir, jawatan yang dipegangnya sehingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1905. Jawatan ini merupakan jawatan yang penting kerana sebagai Mufti Besar beliau mempunyai kuasa rasmi dalam memberi tafsiran kepada undang-undang syariah. Beliau menjadi rujukan pemerintah dan fatwanya merupakan fatwa fatwa yang paling autoritatif.
Antara fatwa beliau yang terkenal ialah orang Islam boleh mendepositkan wang mereka ke dalam bank dan menerima faedah (interest) dari deposit tersebut. Selain itu, beliau mengeluarkan fatwa yang orang Islam boleh memakan haiwan yang disembelih oleh orang Yahudi dan orang Kristian. Fatwa ini juga dikenali sebagai “Fatwa Transvaal” kerana ia merupakan jawapan kepada soalan yang ditanya oleh orang Islam Transvaal. Fatwa ini mencetuskan kontroversi dan menimbulkan kemarahan banyak pihak. Tetdapat banyak usaha yang dirancang untuk melucutkan jawatan beliau, termasuklah rancangan oleh Khedive Abbas. Para penentang ‘Abduh menyatakan bahawa beliau menyalahi syariah yang menganggap sembelihan orang-orang Yahudi dan Kristian sebagai haram. ‘Abduh sebenarnya cuba untuk menjawab soalan yang ditanya oleh golongan Muslim yang merupakan minoriti di Transvaal dengan ringkas. Muslim di tempat tersebut merupakan minoriti dalam kalangan masyarakat Kristian dan ‘Abduh melihat bahawa perlu pentafsiran hukum yang memudahkan kehidupan mereka.
Pada 25 Jun 1899, beliau dilantik menjadi anggota tetap Majlis Perundangan. ‘Abduh juga merupakan salah seorang pengasas Persatuan Kebajikan Islam yang ditubuhkan pada tahun 1892, bertujuan menghidupkan sekolah-sekolah persendirian. Beliau menulis beberapa rencana untuk menjawab kritikan bekas menteri luar dan sejarawan terkemuka Perancis M. Gabriel Hanotaux terhadap Islam dalam jurnal de Paris yang kemudian diterbitkan dalam Al-Muayyad. ‘Abduh juga menulis satu lagi bukunya yang cukup terkenal dan berpengaruh, iaitu Al-Islam wa ‘I-Nasraniyyah ma’a ‘I-‘ilm wa ‘il-Madaniyah (Islam dan Kristian serta hubungan kedua-duanya dengan sains dan tamadun) sebagai jawapan kepada rencana-rencana yang ditulis oleh sekularis Kristian dari Syria Farah Antun (editor majalah Al-Jami’ah). Pada penghujung kehidupannya beliau menumpukan usaha untuk menubuhkan Universiti Mesir. Dengan bantuan Ahmad al-Minsyawi Pasha, ‘Abduh Berjaya mendapatkan tanah untuk dijadikan tapak bagi universiti tersebut. Namun mereka menghembuskan nafas yang terakhir sebelum sempat melihat Universiti Kaherah yang ditubuhkan pada tahun1908. Universiti ini memainkan peranan penting dalam proses pemodenan Mesir dan menjadi satu-satunya pesaing bagi Universiti Al-Azhar.
‘Abduh, diperakui sebagai salah seorang reformis teragung dunia Islam, meninggal dunia akibat barah pada 11 Julai 1905 di Iskandariah, Mesir. Sejurus sebelum kemangkatannya, beliau telah meletak jawatan di Al-Azhar, dikatakan kecewa kerana gagal melakukan perubahan ke atas universiti tersebut. Begitupun, beliau meninggalkan sekumpulan besar murid-pewaris yang kemudiannya, tidak keterlaluan dikatakan, telah membentuk wajah Mesir. Agak menarik, para murid ‘abduh ini terbahagi kepada dua golongan besar: pertama, para pendukung gerakan salafiah, diketuai Rsyid Rida dan berkembang menjadi Ikhwanul Muslimin (bagaimanapun Afghani lebih berpengaruh ke atas golongan Islamis berbanding ‘Abduh). Kedua, golongan nasionalis seperti Ali Abdul Raziq, Lutfi Al-Sayyid dan Qasim Amin.
Rujukan
Eeman Mohamed Abbas. 2007. Tokoh-tokoh gerakan Islam dlm Sultan Abdul Hamid II dan Kejatuhan Khilafah Islamiah . Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Herry Mohammad. 2006. Tokoh-Tokoh Islam yang Berpengaruh Abad 20. Jakarta: Gema Insani.
Jafary Awang dan Kamaruddin Salleh. 2000. Pemikiran Islam dan Isu-Isu Semasa. Bangi: Penerbit UKM
Khairul Anam Che Mentri & 'Ammar Gazali. 2006. Al-ustadh al-imam Muhammad 'Abduh : riwayat hidup dan pemikiran. Kuala Lumpur : Middle-Eastern Graduates Centre
Sedgwick, M. 2010. Muhammad Abduh. Oxford: Oneworld Publisher
0 Comments
Click here to sign up now.