Sejarah Menteri Besar Kelantan dahulu hingga Kini.

Thu, Apr 28 2011 09:52pm MYT 1
fawwaz fathanah
fawwaz fathanah
1 Posts

HNS 2013

KENEGARAAN

SEJARAH MENTERI BESAR NEGERI KELANTAN

FAWWAZ FATHANAH BINTI MADZLAN

D20101039056

IJAZAH SARJANA MUDA BAHASA ARAB DENGAN PENDIDIKAN

(AT 49)

KUMPULAN I

DR.SAMSUL ADABI

PENDAHULUAN

Menteri Besar merupakan gelaran bagi Ketua Eksekutif bagi kerajaan negeri di Malaysia yang mempunyai Raja atau Sultan iaitu Perlis, Johor, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja atau Sultan, gelaran bagi Ketua Eksekutif bagi kerajaan negeri ialah Ketua Menteri.

Gelaran jawatan ini diwujudkan oleh Kerajaan British pada tahun 1948 ketika Persekutuan Tanah Melayu mula dibentuk tetapi semasa kesultanan Melayu dahulu jawatan yang seumpama dengannya dikenali sebagai Bendahara. Tetapi bagi sesetengah negeri seperi Johor, jawatan Menteri Besar telah lama wujud sebagaimana tertakluk di dalam Undang-undang Tubuh Negeri Johor, iaitu sebelum Persekutuan Tanah Melayu diperkenalkan dan dilantik sendiri oleh Sultan terdiri daripada pegawai tertinggi kerajaan negeri.

Nama jawatan Menteri Besar adalah mengambil nama yang digunakan di negeri Johor bagi tujuan penyeragaman. Sebelum itu pelbagai nama telah digunakan seperti Perdana Menteri Malaysia di negeri Kelantan.Selepas merdeka, jawatan Menteri Besar dipilih daripada parti yang mendapat majoriti bagi kerusi Dewan Undangan Negeri selepas setiap kali Pilihanraya diadakan.

Kelantan bergabung ke dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, dan mendapat kemerdekaan sama dengan negeri-negeri lain pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, Kelantan secara rasminya menjadi salah satu negeri dalam Malaysia.
Sultan Negeri Kelantan merupakan Ketua Perlembagaan Negeri. Di bawah perlembagaan negeri, kuasa perundangan dipunyai oleh Dewan Undangan Negeri. Dewan ini melantikkan ahli Dewan untuk membentukkan Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO).

EXCO, yang diketuai oleh Menteri Besar, memegang kuasa eksekutif dan merupakan badan yang membuat dasar kerajaan negeri. Menteri Besar yang dilantik oleh Sultan adalah daripada parti politik yang memenangi kerusi yang terbanyak di dalam Dewan Undangan.

Menteri Besar Kelantan sekarang ialah Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga merupakan Mursyidul Am kepada parti yang memerintah negeri Kelantan, Parti Islam Se-Malaysia(PAS).

Berikut merupakan senarai menteri besar yang telah mentadbir negeri kelantan bermula sebelum kemerdekaan sehingga sekarang.

No

Nama

Tempoh perkhidmatan

1

Long Jaafar

1775 - 1794

2

Wan Mahmud bin Ibrahim

1800 - 1835

3

Tuan Besar bin Tuan Ismail

1835 - 1839

4

Engku Sri bin Long Abdul Ghafar

1839 - 1851

5

Nik Abdul Majid bin Nik Yusoff

1851 - 1885

6

Nik Yusof bin Nik Abdul Majid

1886 - 1890

7

Saad bin Ngah

1890 - 1894

8

Nik Yusof bin Nik Abdul Majid

1894 - 1900

9

Hassan bin Mohd Salleh

1900 - 1920

10

Nik Mahmud bin Nik Ismail

1921 - 1944

11

Nik Ahmad Kamil bin Nik Mahmud

1944 - 1953

12

Tengku Mohd Hamzah bin Tengku Zainal Abidin

1953 - 1959

13

Ishak Lotfi bin Omar

1959 - 1964

14

Mohd Asri bin Muda

1964 - 1973

15

Muhamed bin Nasir

1973 - 1978

16

Mohamed Yaacob

1978 - 1990

17

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

1990 – kini

Long Jaafar @ Gaffar merupakan salah seorang Putera Raja Reman di Ulu Perak . Beliau bersama Long Yunus bertempur untuk mengalahkan pemerinyah kelantan ketika itu iaitu Long Muhammad yang memerintah secara kejam. Dengan tertumpasnya Long Muhammad pada tahun 1762 dalam Perang Kota Kubang Labu II Long Yunus telah ditabalkan sebagai Raja di Kelantan. Sementara Long Jaafar diberi ‘Engku Seri Maharajah Perdana Menteri’ dengan kuasa memerintah kawasan Jeram sehingga ke Pasir Tumboh (sungai). Beliau telah menjadi Perdana Menteri Pertama di Kelantan bermula tahun 1775 sehingga 1794. Long Jaafar kemudian mangkat pada tahun 1797 dan dimakamkan di Limbat.

Pemerintahan keturunan Long Gaffar di Kelantan berakhir selepas peristiwa pemberontakan Tok Janggut pada tahun 1915 iaitu semasa pemerintahan Tengku Besar Jeram iaitu Tengku Besar Tuan Ahmad yang memerintah di Jeram, Pasir Puteh. Peristiwa yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan keturunan Long Gaffar ini dipercayai mempunyai kaitan dengan keengganan mengiktiraf pengaruh Inggeris dan Siam di negeri Kelantan. Akibat mainan politik penjajah Inggeris dan Siam, para keturunan Long Yunus kemudiannya diiktiraf sebagai pemerintah Kelantan.

Selepas berakhirnya pemerintahan Long Jaafar pada tahun 1974, lahirlah kepimpinan seterusnya yang mentadbir kelantan juga merupakan keturunan beliau sendiri antaranya ialah Wan Mahmud bin Ibrahim bermula pada tahun 1800 sehingga 1835 dan memerintah selama 35 tahun. Seterusnya pemerintahan disambung oleh Tuan Besar bin Tuan Ismail pada tahun 1835 hingga tahun 1839. Beliau hanya sempat memerintah selama 4 tahun sahaja, kemudian disambung oleh Engku Sri bin Long Abdul Ghafar selama 12 tahun pada tahun 1839 sehingga 1851.

Nik Abdul Majid bin Nik Yusoff pula menjadi pentadbir Negeri Kelantan seterusnya pada tahun 1851 sehingga 1885 selama iaitu selama 34 tahun. Kemudian diambil alih oleh anak beliau Nik Yusof bin Nik Abdul Majid selaku Menteri Besar Kelantan yang ke-6 bermula tahun 1886 sehingga 1890. Pada tahun 1890, kuasa mentadbir negeri telah dirampas oleh Dato’ Maha Menteri, Cik Ha’ (Saad) bin Penghulu Ngah. Beliau telah mermpaskan kuasa itu dan menjadi menteri besar pada tahun tersebut sehingga tahun 1894. Setelah 4 tahun mentadbir, jawatan itu telah diambil semula oleh Nik Yusof yang merupakan Menteri Besar ke-6, dan telah mentadbir Negeri Kelantan selama 6 tahun sehingga tahun 1900.

Selepas itu, Hassan bin Mohd Salleh pula mentadbir selama 20 tahun dan bermulalah pentadbiran diambil oleh seorang yang amat disegani hingga sekarang iaitu Dato’ Nik Mahmud bin Nik Ismail pada tahun 1921 sehingga 1944.

Dato' Nik Mahmud Bin Nik Ismail merupakan seorang pembesar Negeri Kelantan yang mashor. Belau telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan pada masa Sultan Ibrahim. Beliau adalah satu-satunya yang telah dianugerahkan darjah kebesaran negeri iaitu Dato' Perdana Menteri. Dato’ Perdana Menteri Dato’ Haji Nik Mahmud

Nama Dato’ Perdana Menteri Nik Mahmud adalah nama yang tidak asing bagi masyarakat Kelantan khususnya dan Malaysia amnya. Ketokohan serta ketinggian ilmunya khususnya dalam bidang keagamaan memang diakui dan terkenal bukan sahaja semasa hayatnya, bahkan sehingga kini.

Nama sebenar Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja ialah Dato’ Haji Nik Mahmud bin Haji Nik Ismail. Beliau dilahirkan di Kota Bharu, dalam keluarga bangsawan Melayu Kelantan pada tahun 1880 Masihi. Ayahnya iaitu Haji Nik Wan Ismail Qadhi bin Haji Nik Wan Mahmud adalah sahabat Syeikh Ahmad al-Fathani. Kedua-duanya adalah ulama besar.

Sejak dari kecil lagi Nik Mahmud telah mendapat pendidikan awal daripada ayahnya sendiri di Kelantan.Setelah ayahnya wafat pada 1315 Hijrah/1898 Masihi, dalam tahun itu juga ibunya Wan Aisyah membawa Nik Mahmud dan tiga orang anaknya yang lain ke Mekah. Nik Mahmud diserahkan pengurusannya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

Oleh sebab ilmu-ilmu dalam bidang keislaman yang dipelajari oleh Nik Mahmud daripada ayahnya dipandang sudah memadai, maka al-Fathani hanya mendidik Nik Mahmud dalam bidang-bidang ilmu khusus, terutama ilmu pentadbiran dan siasah, serta diperlengkapkan lagi dengan ilmu pertahanan diri.

Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmud Nik Ismail, pada tahun 1918

Sekembalinya dari Mekah, beliau bekerja sebagal kerani di pejabat Balai Besar, Kota Bharu pada tahun 1908. Beliau juga merupakan seorang cendikiawan negeri yang berjiwa mulia kerana khidmatnya yang jujur dan penuh taat setia, belian dikurniakan pangkat ‘Dato Bentara Setia’.Dato' Perdana Menteri Paduka Raja Haji Nik Mahmud Nik Ismail sewaktu bergelar Dato’ Bentara Setia, bersama-sama Tok Kenali dan Haji Muhammad bin Haji Muhammad Sa’id, berhasil menubuhkan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan majlis pengisytiharannya disempurnakan oleh Sultan Muhammad IV di Istana Balai Besar pada 24 Disember 1915.

Nik Mahmud secara rasmi telah dilantik sebagai pentadbir dan diplomat tertinggi Kelantan mulai 29 April 1921, dengan gelar Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja. Beliau menggantikan Che Hassan bin Mohd. Salleh yang memegang jawatan Dato’ Menteri Kelantan yang meninggal dunia pada 22 Januari 1921. Datuk Nik Mahmud meletak jawatan pada 27 Disember 1945, diganti oleh anaknya Nik Ahmad Kamil hingga tahun 1953. Istilah yang digunakan setelah terbentuk Persekutuan Tanah Melayu tidak lagi memakai Perdana Menteri, diganti dengan Menteri Besar.

Dato Haji Nik Mahmud bukan saja terkenal sebagai pegawai pentadbir yang cekap malahan beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu yang masih kekal sehingga kehari ini. Setelah beliau menjadi Menteri Besar tanggungjawab yang dipikul terhadap negeri dan rakyat bertambah besar tetapi beliau rnenggunakan segala kebijaksanaannya telah berjaya mengatasi segala kesulitan setiap rnasalah yang dihadapi.

Beliau telah berkhidmat dalam jawatan kerajaan Kelantan selama 38 tahun iaitu daripada permerintahan Almarhum Al Sultan Muhammad (IV), AI-Marhum Sultan Ismail sehingga Al-Marhurn DYMM Al-Sultan Ibrahim.Dalam hidup berkeluarga, beliau dikurniakan oleh Allah seramai tiga orang anak. Antaranya ialah Tan Sri Nik Ahmad Kamil iaitu bekas ahli Parlimen Kota Bharu Hilir yang juga bekas Menteri Besar Kelantan dan Dato’ Nik Mustapha Fadzil (Dato Sri Amar Diraja) bekas Dato’ Maharaja Lela, istana negeri Kuala Lurupur. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada tahun 1964 di rumahnya di jalan Atas Banggol, Kota Bharu sewaktu berusia 84 tahun. Kematian Datuk Perdana adalah misteri sehingga sekarang. Ada sumber menyatakan beliau disihir oleh pihak tertentu yang sangat tidak suka padanya.

Tan Sri Nik Ahmad Kamil Nik Mahmud, Menteri Besar Kelantan

Tan Sri Nik Ahmad Kamil bin Dato' Nik Mahmud (dilahirkan pada 7 Julai 1909 di kalangan bangsawan Kelantan) adalah Menteri Besar Kelantan ke-11, menggantikan bapanya Nik Mahmud bin Nik Ismail. Beliau juga merupakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat ke-4. Beliau merupakan salah seorang yang membantu Dato' Onn Jaafar untuk berunding dengan British.

Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah Muhammadiah, Kota Baru, dan menamatkan pendidikan menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Pada tahun 1926, beliau belayar keLondon bagi memulakan pendidikan universitinya, dengan itu menjadi pelajar Melayu pertama yang dihantar belajar ke luar negara.

Nik Ahmad Kamil belajar bidang Seni di Universiti Bristol dan menamatkan pengajian pendidikan di "Inns of Court" pada tahun 1929. Dia memasuki Bar Peguam pada 1930.

Apabila kembali ke Kelantan pada tahun 1931, dia menyertai perkhidmatan kerajaan Kelantan. Dia memegang pelbagai jawatan sehingga 1934 apabila dia dilantik pada jawatan Setiausaha Negeri ketika berusia 25, menggantikan bapa saudaranya Datuk Muhammad Tok Khatib Mohd Said.

Pada tahun 1938, dia dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar, dengan itu meletakkan bapa dan anak pada kedudukan tertinggi bagi orang Melayu sewaktu kolonial. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar pada 1942, jawatan yang dipegangnya sepanjang penjajahan Jepun, hingga 1953 iaitu Menteri Besar yang ke-11 selepas ayahnya yang berkhidmat dari 1921 hingga 1944.

Ketika perlaksanaan Malayan Union, beliau dilantik sebagai Timbalan Residen Komissioner di Kelantan dari 1946 hingga 1948.Beliau pernah menjadi Menteri Besar Kelantan dan memerintah dari 1944 hingga 1953 iaitu Menteri Besar yang ke-11 selepas ayahnya yang memerintah dari 1921 hingga 1944. Juga merupakan salah satu daripada ahli jawatan kuasa United Malays National Organization atau lebih dikenali sebagai UMNO.

Bantahan Malayan Union melonjak Nik Ahmad Kamil kebidang antarbangsa. Beliau memimpin Persatuan Melayu Kelantan (PKM) bersama Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK) membuat perarakan membantah Malayan Union.Beliau turut mewakili Persatuan Melayu Kelantan dalam persidangan Kongres Melayu di Kuala Lumpur.

Nik Ahmad Kamil juga merupakan jawatankuasa kerja bersama Datuk Onn Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang dari Perak, Datuk Hamzah Abdullah dari Selangor dan Zaaba, untuk melakar charter dan perlembagaan bagi parti Umno yang baru ditubuhkan, dengan persetujuan Kongres Melayu.

Kongres Melayu Pan-Malayan pada 11 Mei hingga 12 Mei, 1946, UMNO dilancarkan dengan Onn Jaafar sebagai presiden pertamanya di Johor Bharu. Pada ketika ini, Nik Ahmad Kamil mula terbabit dengan lebih banyak dengan politik kebangsaan bersama Dato Onn sebagai ahli jawatankuasa esekutif. Beliau mengikut Dato Onn menyertai ("Independence of Malaya Party - IMP") pada tahun 1951, dan mengikut Dato Onn kepada Party Negara pada tahun 1954.

Nik Ahmad Kamil bersara dari perkhidmatan kerajaan pada 1955 dan bertanding sebagai calon Parti Negara pada tahun itu di Kelantan. Kegagalannya meyakinkannya bahawa Party Negara bukan lagi kuasa politik dan beliau kembali menyertai Umno.

Beliau juga merupakan salah seorang dari empat yang mewakili Sultan dalam jawatankuasa kecil perundangan, berdasarkan latar belakangnya dalam undang-undang. Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Majlis Perundangan dan Esekutif kedudukan Ahli bagi Tanah, Perlombnongan dan Komunikasi pada tahun 1953 dan kemudian Ahli bagi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar.

Nik Ahmad Kamil kemudian mewakili sebagai salah seorang dari empat wakil Sultan ke Persidangan Perlembagaan Merdeka di London pada tahun 1956. Yang lai adalah Abdul Aziz Abdul Majid (Tun) dari Selangor, Datuk Panglima Bukit Gantang dari Perak dan Datuk Seth Mohd Said dari Johor.Beliau meninggal pada 20 Disember 1977.

Pentadbiran Kelantan seterusnya telah diambil alih oleh Tengku Hamzah pada tahun 1953 sehingga tahun 1959 iaitu selama 7 tahun.Tengku Mohd. Hamzah Ibni Al-Marhum Tengku Zainal Abidin (Tengku Seri Maharaja,DK,SPMK,PYGB,OBE). Beliau dilahirkan dalam tahun 1902. Antara jawatan-jawatan yang pernah disandang semasa hayatnya ialah:-Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang pertama (1937-1953), Menteri Besar Kelantan (1953-1959) merangkap Pengerusi atau Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri.

Beliau meninggal dunia pada 25hb. Februari 1962,semasa berusia 60 tahun.Hasil perkongsian hidup beliau dengan isterinya, Nik Zainab bt. Nik Ali telah memperolehi empat orang putera dan dua orang puteri iaitu Tengku Azizan,Tengku Razaleigh,Tengku Zain,Tengku Maziah, Tengku Abdul Aziz dan Tengku Robert.

Sewaktu PAS menguasai kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1959, Menteri Besarnya, Allahyarham Datuk Ishak Lotfi Omar, ialah seorang yang mendapat didikan agama di Tanah Suci Makkah dan beliau pernah bertugas sebagai seorang pegawat di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sebelum bertanding untuk kawasan Dewan Undangan Negeri Ketereh dalam pilihanraya umum tahun 1959. Beliau menjadi menteri besar kelantan bermula tahun 1959 sehingga 1964 iaitu selama 6 tahun sebelum jawatan menteri besar diambil alih oleh Asri Muda pada tahun 1964.

Tan Sri Datuk Dr. Haji Mohd Asri bin Haji Muda (10 Oktober 1923 - 28 Ogos 1992) merupakan bekas Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).Beliau dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal dalam bidang agama, bahasa Melayu dan Inggeris di Sekolah Majlis Ugama Islam, Kota Bharu. Beliau juga menerima pendidikan tidak formal di Pondok Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Pada tahun 1947, beliau mengajar di Madrasah Al-Ihya Asy-Syariff, Gunung Semanggol, Perak sebagai guru agama.

Beliau mula dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1959 hingga 1963. Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan dari tahun 1964 sehingga tahun 1972. Kemudian, beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah dari 1 Januari 1973 hingga 9 November 1977. Kemudian pada 14 November 1977 PAS telah dipecat sebagai parti komponen Barisan Nasional.

Mohd Asri bin Haji Muda

Beliau memangku jawatan Yang Di Pertua Agung semasa Dr Burhanuddin Al Helmy ditahan ISA. Beliau dilantik sebagai Yang Di-Pertua atau Presiden PAS pada 1969 setelah kematian Dr Burhanuddin Al Helmi. Mohd Asri adalah tokoh yang bertanggungjawab membawaPAS menyertai Barisan Nasional pada tahun 1973. Tetapi dalam tempoh tersebut beliau dikaitkan dengan pelbagai spekulasi dan masalah khususnya melibatkan PAS di Kelantan sehingga menyebabkan tercetusnya Krisis Kepimipinan PAS Kelantan 1977 timbul hasil ketidakpuasan hati terhadap Menteri Besar, Dato'Haji Muhammad Nasir.

Krisis ini membawa kepada undi tidak percaya kepada MB Kelantan pada Oktober 1977 dan berlaku rusuhan oleh penyokong Nasir di Kota Bharu. Pada November 1977, Parlimen meluluskan rang undang-undang darurat Kelantan yang meletakkan Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat. Dato'Haji Asri Haji Muda selaku Ketua Whip PAS di Parlimen mengarahkan Ahli Parlimen PAS menentang Rang Undang-Undang ini dan jika menyokong undang ini maka automatik dipecat daripada PAS. Susulan dari arahan ini, Timb. Yang DiPertua Agung PAS Haji Hassan Adli Arshad menyokong rang undang-undang ini dan beliau automatik dipecat daripada PAS.

Pilihan raya negeri Kelantan selepas Mageran pada Mac 1978 menyaksikan tumbangnya Kerajaan PAS Kelantan setelah berkuasa lebih 18 tahun ke tangan BN dan Berjasa. Sejak dari kejatuhan Kelantan pada PRU 1978, timbul pelbagai desakan dari parti supaya beliau berundur dari kerusi Yang Dipertua Agung PAS. Desakan ini semakin kuat selepas PRU 1982 yang mana PAS masih gagal menguasai semula Kelantan dan selepas berlakunya Revolusi Islam Iran yang mana ahli PAS melihat kepimpinan Dato' Asri sudah ketinggalan dengan zaman dan arus kesedaran dan kebangkitan Islam yang semakin kuat ketika itu.

Selain itu berlakunya perselisihan diantara Dato' Asri dan beberapa pimpinan PAS antaranya dengan Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (sekarang YAB Tuan Guru) selaku Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat mengenai calon Pilihanraya di Kelantan.

Maka beliau akhirnya mengumumkan perletakan jawatan sebagi Yang Dipertua Agung PAS pada 23 Oktober 1982 pada hari kedua Muktamar PAS ke-28 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Turut meletakkan jawatan juga ialah isteri beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Pusat, Datin Sakinah Joned.

Pada 23 Februari 1983, beliau secara rasmi keluar daripada PAS selepas keahliannya digantung oleh Jawatankuasa Disiplin PAS yang dipengerusikan oleh Pemangku Yang Dipertua Agung, Tuan Haji Yusof Rawa. Beliau kemudian menubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) pada 24 Mac 1983. Kemudian pada 2 Julai 1983, beliau dilantik sebagai Presiden HAMIM sebelum meletakkan jawatan pada 17 November 1988 dan menyertai UMNO pada 22 November 1988.Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1991.

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Sakinah Syeikh Juned pada 15 Ogos 1948 dan mempunyai 9 orang anak, 2 orang lelaki dan 7 orang perempuan, iaitu Noor Dianauli, Husni Zaim, Ratna Inzah, Mutia Sabihah, Naliyah, Khalidah, Nasibah, Najah dan Mohd Taqiuddin.Tiada ahli keluarga Tan Sri Asri yang mengikuti jejak langkah beliau di dalam politik. Beliau meninggal dunia pada 28 Ogos 1992 di Pusat Perubatan Tawakal pada 4.20 petang akibat sakit jantung.

Datuk Muhamed bin Nasir (Dato' Biji Sura) merupakan Menteri Besar Kelantan dari tahun 1973 - 1978.Beliau merupakan menteri dari Barisan Nasional - PAS. Perdana Menteri Malaysia ke-2, Tun Abdul Razak menjemput PAS menyertai Barisan Nasional Selepas

Peristiwa 13 Mei.Pada 1975, perjanjian ditandatangai antara kerajaan negeri Kelantan dengan Petronas Kelantan dwakili oleh Mohamed Nasir dan Petronas diwakili oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Menerusi Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), kerajaan negeri mendapat royalti wang tunai 5 % dan kerajaan persekutuan Malaysia mendapat 5 % . Kelantan memberi hak kepada Petronas mencarigali minyak yang di kawasan onshore dan offshore. Pada tahun 2009-2010, royalti minyak Kelantan menjadi isu besar kerana kerajaan persekutuan hanya setuju membayar wang ihsan melalui JPP, bukan royalti wang tunai.

Oktober 1977 merupakan kemuncak ramai pemimpin PAS tidak setuju penyertaan PAS dalam Barisan Nasional. PAS menang 22 kerusi dan UMNO menang 13 kerusi. Mohd Asri bin Haji Muda adalah tokoh yang bertanggungjawab membawa PAS menyertai Barisan Nasional pada tahun 1973.

PAS kemudiannya telah mengusulkan undi tidak percaya kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Muhammad Nasir. Antara sebabnya ialah Datuk Muhammad Nasir adalah pilihan BN dan bukan kehendak parti PAS. Muhammad Nasir tumbang dan berlaku rusuhan di Kota Bharu. Pada November 1977 darurat kemudiannya diisytiharkan apabila penyokong Nasir mengadakan rusuhan. Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Hussein Onn membuat keputusan menyingkirkan PAS dari BN. Datuk Muhammad Nasir pada tahun 1977 menubuhkan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) setelah dipecat dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

PAS mengusulkan nama baru untuk jawatan Menteri Besar. Cadangan PAS itu ditolak dan satu pilihan raya negeri dipanggil pada Mac 1978. Di dalam pilihan raya kecil Kelantan 1978, UMNO telah habis-habisan menggunakan isu pemberian kontrak balak sebagai bukti bahawa PAS cuba menggadaikan Negeri Kelantan. Keputusannya, PAS hanya tinggal 2 kerusi di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Bermulalah era pentadbiran Tan Sri Mohamed Yaacob menjadi Menteri Besar Kelantan yang baru (1978 - 1990).

Tan Sri Mohamed Yaacob merupakan ahli politik Malaysia berketurunan Melayu yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan dari tahun 1978 hingga 1990. Beliau menjadi menteri besar selama 12 tahun. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada pukul 5.50 pagi Selasa 8 September 2009 di Hospital Pantai, Kuala Lumpur. Beliau berkahwin dengan Nik Azizah Nik Ahmad.

Selepas berakhirnya pentadbiran Tan Sri Mohamed Yaacob pada tahun 1990. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat pula telah memegang jawatan tersebut selepas menang pada pilihan raya.Tahun 1991 bermulalah era pentadbiran seorang yang diagungi dan disanjung kerana ketokohannya sebagai ulama’ sehinggalah sekarang.


TUAN GURU DATO' BENTARA SETIA HJ NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat merupakan Menteri Besar Kelantan kini. Namun imej beliau lebih terserlah sebagai seorang ulama, di samping merupakan Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun. Pada tahun 2009, beliau diletakan diantara 50 tokoh Islam berpengaruh didunia dan disenaraikan dalam buku berjudul "The 500 Most Influential Muslims".

Dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, iaitu Tuan Sabariah Binti Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan). Kesemua anak-anaknya mengambil jurusan agama sebagai pilihan utama.

Nik Aziz sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, beliau sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban. Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya. Rumahnya pula hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumahnya tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.

Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah berkhidmat sebagai guru Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor, guru Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka, penyelia Kelas Dewasa (KEMAS) dan guru Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu yang kesemuanya terletak di Kelantan. Maka tidak hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran 'Tuan Guru' di kalangan rakyat Malaysia. Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada Solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.

Nik Aziz mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di kediamannya di Pulau Melaka. Beliau memiliki kelulusan dalam bidang Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti al-Azhar di Mesir. Ketika belajar, beliau pernah menjadi salah seorang saksi kepada Perang Arab-Israel.

Beliau juga pernah belajar di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat, Kelantan selama 3 bulan pada tahun 1936. Kemudian di Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian, Kelantan pada tahun yang sama dan Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas, Besut, Terengganu. Beliau meneruskan pengajian lebih tinggi di Universiti Deoband, India pada tahun 1952, seterusnya di Universiti Lahore, Pakistan pada tahun 1957, dan menyambung pengajiannya diUniversiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab. Beliau seterusnya menyambung pengajian di universiti yang sama iaitu Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Sarjana Perundangan Islam. Beliau mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Tamil.

Beliau telah menjawat selama 19 tahun sebagai ahli parlimen, 4 tahun sebagai ahli DUN. Hingga sekarang beliau telah berkhidmat sebagai Menteri Besar Kelantan selama 20 tahun dan beliau telah berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN dan Parlimen selama 43 Tahun. Berikut adalah sejarah beliau di dalam parti politik sebelum menjadi menteri besar Kelantan pada tahun 1991 sehingga sekarang.

1967 - Daftar sebagai ahli PAS.

1967-1969 - Pilihanraya Kecil – Ahli Parlimen Kelantan Hilir.

1969-1974 - Ahli Parlimen Kelantan Hilir.

1974-1978 - Ahli Parlimen Kelantan Hilir. (Kawasan ini ditukar nama kepada Parlimen Pengkalan Chepa).

1978-1982 - Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

1982-1986 - Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

1986-1990 - Ahli Dewan Undangan Negeri Semut Api Kelantan.

1990-Kini - Menteri Besar Kelantan.

PENUTUP

Sejarah Menteri Besar Kelantan bermula sebelum kedatangan penjajah lagi iaitu apabila Kelantan ditubuhkan menjadi sebuah negeri di Tanah Melayu. Menteri Besar Kelantan yang pertama iaitu Long Gaffar menjadi tunggak kepada pemerintahan kerajaan ini.

Sehingga kini negeri Kelantan ini telah melahirkan ramai pimpinan dan mempunayi pemimpin yang berwibawa dan berkaliber untuk membawa Kelantan ke arah yang lebih maju. Sehingga kini juga seramai tujuh belas orang menteri besar telah dilantik dan saling bertukar ganti bagi memastikan kelancaran pemerintahan dan pentadbiran di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.


BIBLIOGRAFI

Alias Muhammad (1978). Sejarah perjuangan parti Pas: satu dilemma. Kuala Lumpur:

Utusan Publications & Distributors.

Hassan Shuhaimi bin Nik abd.Rahman (Nik.) (2007). Kelantan zaman awal: kajian arkeologi

dan sejarah di Malaysia: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan 1987.

Mohd. Sayuti Omar (2004). Debaran pilihan raya ke-11. Kuala Lumpur: Tinta Merah.

Online. Diperoleh pada April 06, 2011 daripada

http://www.ms.wikipedia.org/wiki/Menteri_Besar_kelantan.

Online. Diperoleh pada April 06, 2011 daripada

http://www.kelantan.gov.my/

Online. Diperoleh pada April 06, 2011 daripada

http://www.pdfking.net/pdf/menteri-besar-kelantan.html

Please login or sign up to post on this network.
Click here to sign up.

Meet New Friends. Add site Increase your website traffic with Attracta.com Active Search Results Contextual Links