SEJAUHMANA ASPEK KESENIAN ISLAM: FOKUS SENIBINA TAJ MAHAL- disediakan oleh SITI SALWA BINTI ABDUL MAJID (A 117582)

Tue, Apr 6 2010 09:05pm MYT 1
SITI SALWA ABDUL MAJID
SITI SALWA ABDUL MAJID
12 Posts

SEJAUHMANA ASPEK KESENIAN ISLAM: FOKUS SENIBINA TAJ MAHAL

disediakan oleh: SITI SALWA BINTI ABDUL MAJID (A 117582)
Pensyarah: PROF. MADYA DR. SAMSU ADABI BIN MAMAT

1.0
PENDAHULUAN

Seni merupakan istilah yang sukar ditakrifkan memandangkan perkataan ini boleh digunakan mengikut bidang masing-masing dengan makna yang lain. Dalam istilah bahasa, seni bermaksud halus, cantik dan teknik. Kesenian Islam merupakan sesuatu perkara yang sangat penting dan kita akan dapat hayati apabila kita dapat memahami kesenian itu sendiri (Thames & Hudson, 1975: 7). Ia boleh dilihat melalui pancaindera seperti mata dan telinga. Dalam pengertian yang lebih jelas, ia membawa maksud nilai halus, indah, baik dan suci, berguna dan bermanfaat serta mempunyai fungsi dan nilai sosial kepada manusia kerana seni merangkumi setiap aspek kehidupan manusia.

Dalam era moden ini, seni juga melibatkan sesuatu yang kreatif dan inovatif. Ia merupakan bidang yang berupaya untuk menghasilkan dan menciptakan sesuatu karya dan ciptaan untuk manusia semata-mata tetapi untuk keindahan ataupun sesuatu fungsi kegunaan yang tertentu. Jadi, seni adalah ilmu yang terhasil daripada budaya dan agama dalam menghasilkan sesuatu untuk tujuan pemujaan Tuhan, menyebarkan nilai-nilai budaya seperti pakaian, dan sebagainya. Seni juga terhasil daripada industri yang bertujuan untuk menghasil sesuatu yang berorientasikan keuntungan dan bercirikan komersil melalui penciptaan barang yang berguna dalam kehidupan harian. Seni juga boleh dipandang dari segi nilainya. Sesuatu yang indah tidak boleh dinilai dalam sebutan harga, walaupun masih ada yang menjualkannya pada harga yang melambung tinggi.

2.0 KERAJAAN MOGHUL DI INDIA

Kerajaan Moghul merupakan salah satu kerajaan yang menjadi kebanggaan dan kemegahan umat Islam. Moghul, Mughul (Muhyidin Hj.Yahaya, 1988: 1325), Mogul (Francois Barnier, 1972: 55) dan kadang-kadang dipanggil Mughal (M.TH Wencinck, 1987: 626) merupakan sebuah kerajaan atau dinasti terbesar di India dari abad ke-16 (1526M) hingga abad ke 19 (1857M). Kerajaan Mughal berpusat di India dan bertahan selama tiga setengah abad dan berjaya menguasai wilayah yang majoriti penduduknya beragama Hindu (Thames & Hudson, 1975: 113).

Islam mula berkembang di India bermula daripada kejayaan Muhammad ibn Qassim pada zaman Khalifah al-Walid daripada pemerintah Bani Umayyah di Dimasqh. Kemudian muncul kerajaan-kerajaan lain seperti Kerjaaan Ghaznawi, Kerajaan Khalji, Kerajaan Tughlaq dan Kerjaan Lodhi. Kerajaan Moghul adalah kerajaan Islam yang terakhir di India sebelum diperintah oleh penjajah Inggeris. Kerajaan Moghul di India diasaskan oleh Zahiruddin Barbur daripada keturunan Timurlang dan seterusnya telah diperintah oleh 29 orang sultan Moghul (http://www.ilim.gov.my/ILIM/images/stories/ulasan/farizan.pdf.31/1/2010)

Unsur Islam dan Hindu banyak diterapkan dalam seni ketamadunan India kerana majoriti penduduk India masih kekal beragama Hindu walaupun pemerintahnya beragama Islam. Selama empat abad tersebut kerajaan Moghul di India dikagumi sebagai pencorak dan pengharum ketamadunan Islam yang unik dan unggul di benua India. Etnik Moghul ini berketurunan Jenghis Khan (Thames & Hudson, 1975: 113). Kerajaan Moghul di India telah melahirkan ramai pemerintah yang begitu agung seiring dengan kelahiran pemimpin di bahagian Tanah Arab (http://www.ilim.gov.my/ILIM/images/stories/ulasan/farizan.pdf.31/1/2010)

Antara pemimpin yang agung Kerajaan Moghul ialah pemerintahan Abdul Muzaffar Syihabuddin Muhammad Shah Jahan Padshah Ghazi (Ismail Bakar, 2000: 232) yang hidup selama 74 tahun iaitu 1592M/1000H hingga 1666M/1076H. Shah Jahan dikatakan dan dianggap mengamalkan ajaran separuh Hindu pada awalnya berikutan ibunya adalah Hindu Muslim. Walaubagaimanapun, beliau kembali semula kepada ajaran Islam yang sebenar dan mengikut ajaran Sunni agar dapat menjadi muslim sejati (David Carooll, 1972: 71).

Kerajaan Moghul di India mengalami era kemunduran setelah zaman Aurungzeb. Antara faktor kejatuhannya ialah perebutan kuasa dalam keluarga, pemberontakan oleh penganut Hindu, serangan kerajaan kuar dan kelemahan ekonomi masyarakat. Campur tangan Inggeris dalam konflik antara penganut Islam dan Hindu akhirnya membawa kepada peristiwa pengusiran Sultan Bahadur dari Istana pada tahun 1858 dan secara rasminya India jatuh ke tangan Inggeris (http://www.ilim.gov.my/ILIM/images/stories/ulasan/farizan.pdf.31/1/2010)

3.0 KEMAJUAN DAN PENCAPAIAN KERAJAAN MOGHUL DI INDIA.

Sepanjang masa kekuasaan kerajaan Moghul, kerajaan Moghul telah mencatatkan kejayaan-kejayaan besar dalam pelbagai bidang. Antaranya dalam bidang (Ensiklopedia Islam 2004: 211-212):

3.1 Pembukaan Kota (Futuhat)

Kerajaan Moghul telah menguasai banyak daerah meliputi Kabul, Lahore, Multan, Delhi, Agra, Oud, Allahabad, Ajmer, Gujarat, Melwa, Bihar, Bengal, Khandes, Berar, Ahmadnagar, Ousra, Kashmir, Bajipur, Galkanda, Tajore dan Trichinopoli. Sistem pemerintahannya adalah sama dengan pemerintahan Abbasiyah di Bangdad, iaitu sistem hierarki.

3.2 Ekonomi

Kegiatan kerajaan Moghul pada ketika itu telah memajukan ekonomi Islam Moghul. Antara aktiviti ekonomi yang dijalankan ialah mengeksport kain ke Eropah, menghasilkan rempah-ratus, candu, gula, garam, minyak wangi dan lain-lain. Melihat tamaddun di India, aspek ekonomi juga memainkan peranan yang amat penting, ia mesti juga ditinjau bagi mendapatkan gambaran yang jelas tentang India. Sewaktu ini ekonomi India melambung naik. Di mana pertanian yang merupakan perusahaan utama India, terdapat juga perdagangan dalam negeri dan luar negeri yang aktif. Wilayah Sind dan Punjab merupakan wilayah-wilayah pertanian yang utama yang bukan sahaja menghasilkan tanaman makanan seperti gandum dan sekoi, tetapi juga menghasilkan tanaman wang seperti tebu dan kapas.

Kapas dan barangan kapas yang merupakan hasil eksport utama India masa itu banyak dikeluarkan dari ladang-ladang kapas di Dekan. Selain daripada mengeluarkan barangan-barangan kapas, India juga pada masa itu terkenal sebagai pengeksport kain sutera, gading gajah, wangi-wangian, lada hitam dan rempah ratus. Pedagang-pedagang asing yang banyak berdagang di India sewaktu itu sebahagian besarnya terdiri daripada orang Arab, Parsi dan China.

Bidang ekonomi juga jelas menampakan peningkatan pada zaman pemerintahan kerajaan ini. Bandar Lahore, Delhio, Agra dan Allahabad telah muncul sebagai bandar perdagangan yang penting. Perusahaan kapas, sutera, gading, tembaga dan wangi-wangian turut didagangkan. Sebahagian besar darinya adalah diusahakan oleh orang-orang Islam. Negara yang terlibat dalam perdagangan dengan kerajaan Moghul seperti China, Negara-negara Asia Tenggara, Tanah Arab, Parsi, Portugal dan England serta Belanda.

3.3 Pendidikan dan pengetahuan

Dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan Moghul juga mencapai prestasi cemerlang. Mereka telah membangunkan masjid-masjid, madrasah dan perpustakaan. Pengajaran logik, falsafah, geometri, geografi, sejarah, politik dan matematik digalakkan. Di madrasah, mata pelajaran utamanya ialah Ilmu Tafsir, Hadis dan Fikah.

Dalam bidang pendidikan, kerajaan merupakan penaung institusi-institusi pengajian tinggi. Ulama diberi gaji dan sekolah diberi bantuan. Di samping meneruskan pengajian di intitusi pendidikan yang dibina oleh pemerintah-pemerintah Kesultanan Delhi, pemerintah-pemerintah Moghul juga telah membina maktab dan madrasah mereka sendiri. Ditinjau dari aspek pendidikan pula, banyak madrasah telah ditubuhkan dan juga Zawiyah telah dibina oleh pihak pemerintah dan juga individu. Alaudin Khilji adalah antara tokoh yang terkemuka dalam pembinaan intitusi pendidikan di sini. Baginda membina banyak pusat pendidikan seperti maktab (kuttab) dan madrasah sebagai tempat belajar bagi anak-anak Islam.

Di samping itu masjid juga dibina bukan sahaja semata-mata untuk tempat beribadat tetapi juga sebagai tempat untuk menimba ilmu pengetahuan. Di samping itu memberikan pendidikan agama, intitusi pendidikan ini juga telah memeberikan pelajaran-pelajaran lain seperti perubatan, astronomi, matematik dan sebagainya. Terdapat juga bidang ilmu seperti ilmu kesusasteraan, seni bina, matematik dan astronomi yang dipelajari. Karya sastera terutamanya puisi dalam bahasa Parsi dan Urdu banyak diterbitkan.

Selain itu ilmu sejarah juga telah dititikberatkan. Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat beribadat tetapi juga sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan. Syah Jehan dan Aurengzeb memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Sewaktu perintahan Moghul pendidikan telah dibuka kepada bukan Islam. Astronomi merupakan bidang yang amat diminati pada zaman ini. Pada zaman Aurengzeb, Delhi dikatakan telah dikerumuni oleh ahli-ahli kaji bintang baik Islam mahupun Hindu.

3.4 Seni Bina

Melalui seni bina kita dapat lihat terdapatnya kubah dan juga menara ciptaan oleh orang Islam yang dibawa masuk ke India. Di antara beberapa contoh seni bina yang cantik di India pada masa ini ialah seperti seni bina Mesopotamia hingga ke Parsi (Islam) dan lain-lain lagi. Bangunan-bangunan yang indah dan sangat mengagumkan telah dibina di India. Antaranya ialah Benteng Merah, Masjid Jemek, istana yang megah di Delhi dan Lahore dan seni bina agong Taj Mahal.

Bidang seni sangat berkembang pesat pada zaman ini. Ia merupakan jalinan seni bina Mesopotamia atau Parsi dan India. Hasilnya jelas kelihatan pada taman hiburan, istana-istana dan masjid-masjid yang bertaburan di seluruh India. Orang Moghul terkenal dengan binaan kubah yang terdapat pada bangunan istana, masjid dan lain-lain. Manakala pada waktu Jahangir Mahal di Agra menampakkan penggabungan kedua-dua seni bina Hindu dengan seni bina orang-orang Islam.

3.5 Kehakiman

Jika ditinjau dari segi bidang kehakiman, pemerintah-pemerintah Moghul mempunyai taraf keadilan yang tinggi. Dalam hal-hal sekular, undang-undang yang digunakan biasanya sama sahaja antara orang Islam dengan bukan Islam. Para kadi dan mufti dilantik bagi menjalankan pengadilan bagi orang-orang Hindu dan Islam. Mereka juga diawasi oleh seorang Hakim Besar.

4.0 KERAJAAN MOGHUL INDIA DI BAWAH PIMPINAN SHAH JAHAN

Shah Jahan merupakan pemimpin kerajaan Moghul yang telah memerintah India selama 30 tahun iaitu sekitar tahun 1627M/1037H hingga 1658M/1069H. Nama sebenar beliau setelah bergelar Maharaja ialah Abdul Muzaffar Syihabuddin Muhammad Shah Jahan Padshah Ghazi (Ismail Bakar, 2000: 232). Beliau amat dikagumi kerana beliau sangat mengambil berat tentang rakyat sepanjang pemerintahannya. Beliau juga sangat menjaga keamanan dan ketenteraman kerajaannya dengan menubuhkan pasukan ketenteraan yang cekap semasa pemerintahannya. Zaman pemerintahannya juga terkenal dengan zaman keemasan kerajaan Moghul India (Ismail Bakar, 2000: 232).

Kerajaannya penuh dengan kemajuan kebudayaan dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang senibina, senilukis, muzik, ilmu pengetahuan dan sebagainya. Beliau juga merupakan pemimpin yang bijak, terpelajar, dan bercita-cita tinggi. Ramai sarjana sejarah yang kagum dengan beliau dan menganggap beliau cemerlang semasa pemerintahannya seiring dengan kejayaan datuknya, Akbar dan anaknya Aurengzeb (Vidya Dihar Mahajan, 1972:71).

Sebelum beliau memegang jawatan sebagai pemerintah kerajaan Moghul, beliau telah menempuhi pelbagai rintangan dari sudut dalaman dan luaran. Beliau terpaksa berdepan dengan ibu tirinya yang cuba merampas takhta kerajaan Mohgul dari tangannya. Namun Shah Jahan berjaya menumpaskan komplot untuk rampasan takhtanya itu. Ibu tirinya, Nor Jahan telah ditangkap oleh Shah Jahan namun telah dibebaskan kembali tanpa mengambil sebarang tindakan. Bahkan Shah Jahan telah menghadiahkan ibu tirinya 200,000 lakh setahun. Hal ini telah menyebabkan ibu tirinya menjadi malu dan menyesal dengan tindakannya (Ismail Bakar, 2000: 232).

Ibu tirinya telah mendermakan kekayaan dan hartanya kepada badan-badan kebajikan dan golongan miskin untuk menebus kembali kesalahannya sehingga beliau meninggal dunia pada 8 Disember 1654M. Shah Jahan juga telah melalui tentangan luaran dari kerajaan-kerajaan Hindu yang cuba menyerang kerajaan Moghul. Pemerintahan Shah Jahan sangat cemerlang meliputi ekonomi, politik, sosial, seni bina, kebudayaan dan sebagainya (Ismail Bakar, 2000: 232).

Setelah tiga abad memerintah dengan penuh cabaran, maka pada pertengahan bulan September 1657M, Shah Jahan telah jatuh sakit. Penyakitnya dikatakan begitu pelik hingga tidak terdaya diubati oleh para doktor istana. Berita Shah Jahan jatuh sakit telah tersebar kepada anak-anaknya. Mereka masing-masing telah bergegas pulang ke Agra untuk mengambil takhta kerajaan. Dalam pertarungan yang berlaku di antara anak-anak Shah Jahan, Awrangzeb telah memenangi pertempuran dan peperangan itu. Awrangzeb telah menjadi pemimpin kerajaan Moghul bagi menggantikan Shah Jahan. Shah Jahan telah mangkat pada 22hb Januari 1666, iaitu pada usia 74 tahun. Jenazahnya dikebumikan bersebelahan dengan makam isterinya, Mumtaz Jahan di bangunan Taj Mahal mengikut wasiatnya sendiri (Ismail Bakar, 2000: 233).

.

5.0 CETUSAN IDEA SENI BINA TAJ MAHAL

.

Pada tahun itu 1631, Shah Jahan, telah menjadi maharaja agung bagi Dinasti Mughal. Walaubagaimanapun, beliau telah dilanda kesedihan apabila isteri ketiganya, Mumtaz Mahal, meninggal dunia semasa melahirkan anak keempat belas mereka, Gauhara Begum. Nama sebenar Mumtaz mahal ialah Arjumand Banu Begum tapi lebih digelar dan dikenali sebagai Mumtaz Mahal (Muni Lai, 1986: 99-100). Beliau lahir di Agra pada tahun 1593M dan berkahwin dengan Shah Jahan pada tahun 1612. Kemudian meninggal dunia pada 1631M di Burhanpur, Deccan (Mohd Zawawi Ahmad, 1998: 66). Pada ketika itu Shah Jahan dalam proses untuk memperluaskan tanah jajahannya (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010).

Pembinaan Taj Mahal bermula pada tahun 1632, iaitu setahun selepas kematian isterinya. Pengarang istana menggambarkan cerita cinta yang secara tradisi dianggap inspirasi kepada Taj Mahal mengenai kesedihan Shah Jahan (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010). Terdapat juga pandangan dan cerita yang menyatakan bahawa sebelum isteri Shah Jahan meninggal dunia, beliau telah berpesan agar tidak berkahwin lagi dan membuat permintaan agar dibina sebuah istana mahligai yang cantik dan hebat yang tiada tandingan di dunia. Permintaan itu telah ditunaikan oleh baginda. Maka lahirlah Taj Mahal (Mohd Zawawi Ahmad, 1998: 66).

Mausoleum utama disiapkan pada tahun 1648 dan bangunan sekeliling dan taman disiapkan lima tahun berikutnya. Senibina Taj Mahal ini mengambil masa selama 22 tahun untuk disiapkan iaitu sekitar tahun 1631 hingga 1653 (Mohd Zawawi Ahmad, 1998: 67). Maharaja Shah Jahan sendiri turut menggambarkan Taj Mahal dalam puisi beliau (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010). Taj Mahal ini juga telah dicadangkan oleh Ustaz Isa dari Turki yang menjadi penyelia bagi Taj Mahal. Akhirnya lahirlah sebuah senibina yang sangat cantik dan berjaya menarik perhatian umum (Mohd Zawawi Ahmad, 1998: 66).

Walaubagaimanapun, senibina Taj Mahal sebenarnya dikatakan mempunyai dua kisah romantis dalam pembentukannya. Kisahnya bermula apabila terdapatnya seorang arkitek yang berasal dari Turki (ada kalanya dikatakan dari Parsi) bekerja dengan Maharaja Shah Jahan. Beliau menjadi arkitek, pengukir, pemahat dan pencipta seni yang mahir. Beliau telah memahat Mahligai Diraja (Imperial Palace) bagi permaisuri Mumtaz Mahal semasa hidupnya. Kecantikan seniukir beliau telah menambat hati Naseem (gadis keluarga diraja Moghul). Walaubagaimanapun, terdapat seorang pegawai istana yang menyintai Naseem. Tetapi Naseem ingin berkahwin dengan Ustaz Isa dan telah menyatakan hasratnya kepada Mumtaz Mahal. Keluarga istana tidak membantah permintaan Naseem dan beliau telah berkahwin dengan Ustaz Isa. Ustaz Isa telah mencipta satu model istana dari tanah liat untuk melambangkan keluhuran cintanya kepada Naseem (Zainuddin Adam, 1971: 38-39).

Namun, pada tahun 1631, Mumtaz Mahal telah mangkat. Shah Jahan telah mengisytiharkan bahawa baginda ingin menciptakan sebuah istana kepada isterinya dan memberi peluang kepada arkitek-arkitek dalam dan luar negara untuk menunjukkan model-model bangunan yang indah kepada baginda. Walaubagaimanapun, semua model itu tidak mendapat perhatian Shah Jahan. Ketika Shah Jahan pergi ke rumah Ustaz Isa untuk meminta pandangan Ustaz Isa, baginda telah ternampak model istana yang begitu indah hasil ciptaan Ustaz Isa buat Naseem. Shah Jahan sangat berkenan dan menjadikan model itu sebagai bangunan untuk Mumtaz Mahal. Justeru, Ustaz Isa telah terpilih dan beliau begitu bangga bahawa keluhuran cintanya kepada isterinya, Naseem juga dapat disemadikan di Taj Mahal (Zainuddin Adam, 1971: 38-39).

6.0 KEINDAHAN SENIBINA TAJ MAHAL ZAMAN MUGHAL

Taj Mahal merupakan senibina yang terletaknya di tebing Sungai Jumna, berhampiran Agra, India. Ia merupakan makam yang dibina oleh Maharaja Shah Jahan (1614-1666) sebagai monumen peringatan untuk Mumtaz Mahal, isterinya yang ketiga. Taj Mahal ini mula dibina pada 1631 dan telah siap pada tahun 1653 (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010). Senibina Taj Mahal terletak di atas tapak batu marmar yang seluas 97,344 kaki persegi di dalam kawasan seluas 211,756 kaki persegi. Manakala tingginya pula adalah 22 kaki persegi. Pada dinding bangunan tersebut diukir dengan awan larat yang halus yang diperbuat daripada batu permata yang mahal di samping ayat-ayat al-Quran yang disusun cantik. Pintu gerbangnya juga dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran dari Parsi yang bertakhtakan permata (Mohd Zawawi Ahmad, 1998: 67-68).

Kadang kala Taj Mahal dipanggil dengan singkatan 'Taj' sahaja. Senibina Taj Mahal ini adalah contoh senibina terbaik Mughal yang menggabungkan senbina Parsi, Turki, India dan gaya senibina Islam. Arkitek utama bangunan ini ialah Ustaz Isa Ahmad Lahauri. Taj Mahal juga merupakan sebuah kompleks yang mempunyai bahagian makam, dewan, taman rekreasi, masjid, menara tinjau dan lain-lain. Pada tahun 1983, UNESCO telah mengisytiharkan Taj Mahal sebagai tapak warisan sedunia yang perlu dilindungi. Bangunan ini dikatakan 'permata senibina Islam' (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010).

Taj Mahal merupakan seni bina yang menggabungkan dan mengembangkan reka bentuk tradisi seni bina Persia dan seni bina awal Mughal. Seni bina Taj Mahal amat mengagumkan (Ensiklopedia Islam untuk pelajar, t.t: 17). Inspirasi khusus seni bina ini datangnya dari Dinasti Timurid dan bangunan Mughal termasuk Gur-e Amir (makam Timur, pengasas dinasti Mughal, di Samarkand), makam Humayun, Makam Itmad-Ud-Daulah (kadang-kala dikenali sebagai Bayi Taj), dan Masjid Jama, Delhi binaan Shah Jahan sendiri di Delhi. Sementara bangunan Mughal awal biasanya dibina dari batu pasir merah, Shah Jahan menganjurkan penggunaan marmar putih dihias dengan batu separa bernilai, dan bangunan di bawah naungannya mencapai tahap kehalusan baru (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010).

Shah Jahan telah memerintahkan Ustaz Isa membentuk bangunan ini. Ustaz Isa telah mengumpulkan 20,000 orang pekerja yang terdiri daripada tukang batu, tukang emas, dan pengukir yang termasyhur dari seluruh dunia. Bumbung, kubah dan menara yang diperbuat daripada marmar putih, serta seni mozek yang indah. Taj Mahal merupakan salah satu daripada tujuh benda ajaib di dunia. Sebanyak 43 jenis batu permata, termasuknya berlian, jed, kristal, topaz dan nilam telah digunakan. Pembinaan Taj Mahal telah menelan masa selama 22 tahun. Taman rekreasi telah dibina seluas 300 meter X 300 meter dengan, lorong-lorong hiasan bunga (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010).

Terdapat juga empat aliran air yang melambangkan empat sungai utama di India yang kononnya mengalir dari syurga. Di tengah-tengah taman tersebut pula dihiasi dengan sebuah kolam nunga teratai yang memanjang dan dilengkapi dengan air pancut. Di tepi-tepi pagar pula dihiasi dengan pohon-pohon siprus. Setiap hujung rumput yang indah ini pula dihiasi dengan cahaya-cahaya yang menyinari dinasti Moghul (Mohd Zawawi Ahmad, 1998: 66).

Taj Mahal juga telah dibina oleh sekumpulan penukang atau kontraktor dari seluruh dunia. Antaranya ialah arkitek Turki yang bernama Ustaz Isa dan Isa Muhammad Effendi yang mendapat latihan di Otoman, Turki. Beliau dikatakan pernah berguru dengan Koca Mimar Sinan Agha (Puru dari Benarus, Parsi (Iran). Kubah ataupun dom utama Taj Mahal telah direka oleh Ismail Khan dari Empayar Ottoman. Qazim Khan dari Lahore pula menghiasi kubah dengan emas. Chiranjilal iaitu seorang pakar dari Delhi telah ditugaskan sebagi ketua pengukir mozek. Manakala pemotong batu mozek atau marmar diambil dari Balochistan (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010).

Selain itu, Amanat Khan dari Shiraz, Iran pula ditugaskan sebagai ketua khat. Namanya turut terukir pada pintu laluan utama. Muhammad Hanif pula ditugaskan sebagai penyelia Mir Abdul Karim dan Mukkarimat Khan Shiraz, Iran dalam sudut kewangan dan pembelian barangan. Pengukir dari Bukhara turut digunakan dalam pembinaan Taj Mahal. Kaligrafi dari Syria dan Parsi telah menjadi imaginasi utama. Di samping itu, Shah Jahan turut mengambil Inlayer dari India Selatan sebagai salah seorang pereka Taj Mahal (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010).

Bahan binaan telah di bawa dari seluruh Asia dengan menggunakan 1000 ekor gajah. Marmar putih dari Rajasthan, permata dari Punjab, jed dan hablur dari China, firus dari Tibet, lazuardi dari Afghanistan, nilam dari Sri Lanka dan kamelian dari Arab. 28 jenis batu berharga telah digunakan untuk membina Taj Mahal itu. Kos pembinaannya adalah lebih 32 juta rupee. Kos ini dianggap tidak banyak perbelanjaannya ketika itu (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010).

Apabila Taj Mahal siap dibina, Shah Jahan menjatuhkan hukuman pancung ke atas arkitek-arkiteknya. Di samping itu, kesemua penukang yang terlibat dalam pembinaan bangunan itu dipotong tangan mereka supaya mereka tidak dapat membina bangunan yang menandingi Taj Mahal. Namun dakwaan ini masih dipertikaikan kerana Shah Mahal seorang yang 'sentimental' dan tidak ada bukti kezalimannya. Setelah Taj Mahal siap dibina, Shah Jehan telah digulingkan oleh anak lelakinya Aurangzeb kerana Shah Jahan dikatakan mengalami penyakit yang sukar diubati. Shah Jehan telah ditahan di dalam rumah berdekatan Pelabuhan Agra. Dari sana beliau meninjau makam Taj Mahal. Setelah meninggal dunia, Aurangzeb mengkebumikan ayahnya di sebelah makam isterinya. Pada abad ke-19, banyak bahagian dan lapisan telah jatuh dan tidak diperbaiki. Ketika pemberontakan India 1857, tentera British telah menguasai Taj Mahal dan mencuri batu permata didindingnya (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010).

Hujung abad ke-19, George Nathaniel Curzon yang menjadi wizurai British di India mengarahkan pembaikan dilakukan dan siap pada 1908. Lampu-lampu besar chandeliar telah dipasang. Seni taman telah diubah mengikut gaya London. Ketika Perang Dunia II pada 1942 , dindingnya rosak akibat serangan udara dari tentera Jerman. Tentera Jepun juga menjadikannya sebagai sasaran serangan udara. Ketika Perang India-Pakistan 1965 dan 1971, Taj Mahal turut menerima padah dari serangan udara. Pencemaran udara terutama hujan asid dari kilang penapis minyak Mathura telah menjejaskan warna putih Taj Mahal. Sungai Jumna yang kotor dan tercemar turut menjejaskan keindahan Taj Mahal (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010).

Jutaan pelancong datang ke Agra, India semata-mata mahu melihat satu daripada 7 benada ajaib di dunia. Bandar kecil seperti Taj Ganji atau Mumtazabad dibina bagi pembinaan bazar dan pasar serta medan caravan. 2 hingga 3 juta pelancong datang setiap tahun dan 200,000 darinya pelancong asing terutama bulan Oktober, November dan Februari. Hon kereta tidak dibenarkan. Pelancong mestilah berjalan kaki dari tapak meletak kereta dan bas elektrik. Shah Jahan dikatakan mahu membina bangunan serupa yang di beri nama 'Taj Hitam' di seberang Sungai Jumna, Idea asalnya kononya daripada Jean-Baptiste Tavernier , seorang pengembara Eropah yang melawat bandar Agra pada 1665. Tetapi anaknya Aurangzeb menentang dan membuang marmar-marmar hitam ke dalam laut. Tetapi jejak eskavasi ke dalam Sungai Jumna pada 1990 hanya menemui marmar-marmar berwarna putih sahaja (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010).

7.0 SEJAUHMANA SENIBINA TAJ MAHAL DALAM ASPEK KESENIAN ISLAM

Pada bahagian ini kita akan membincangkan sejauhmana senibina Taj Mahal dalam aspek kesenian Islam. Jika dilihat dari tujuan pembinaan Taj Mahal ini adalah bertujuan untuk mengabdikan kenangan isteri kesayangan Shah Jahan, iaitu Mumtaz Mahal. Beliau membentuk senibina yang dapat menempatkan makam isterinya. Hal ini menunjukkan senibina ini mempunyai unsur peribadi bagi pemerintah (Mohammad Tajuddin, 2007: 40). Taj Mahal dilihat kelihatan seperti masjid, namun Taj Mahal bukanlah sebuah masjid kerana Taj Mahal merupakan sebuah makam bagi isteri Shah Jahan, Mumtaz Mahal (Gupta, Satish, 1995: 28 & 23)

Sekiranya dilihat Taj Mahal itu dari bentuk fizikal, kita sering menjadikannya aspirasi untuk membina sebuah masjid kerana kebanyakan masjid-masjid seakan-akan senibina itu. Namun, jika dianalisa tujuan pembentukan Taj Mahal, kita akan memahami bahawa pembentukannya bertujuan untuk dijadikan makam isterinya Shah Jahan. Ini jelas menunjukkan bahawa pembinaan Taj Mahal ini adalah berunsurkan peribadi dan tidak ada kena mengena tentang unsur perjuangan Islam (Mohammad Tajuddin, 2007: 41).

Walaubagaimanapun, jika dilihat dari kesenian Islam, Taj Mahal telah menjadikan ayat-ayat dari al Quran sebagai hiasan utama Taj Mahal. Huruf khat thuluth telah menjadi seni huruf utama. Juru khat yang bernama Amanat Khan telah dibawa dari Parsi. Antara surah yang menjadi hiasan dalam seni bina Taj Mahal ialah Surah 91 , Surah 112 , Surah 89 , Surah 93 , Surah 95 , Surah 94, Surah 36 , Surah 81 , Surah 82 , Surah 84 , Surah 98 , Surah 67 , Surah 48 , Surah 77 dan Surah 39 (http://ms.wikipedia.org/wiki/Taj_Mahal/30/1/2010). Hal ini menunjukkan Shah Jahan telah menggunakan juga pendekatan Islam dan kesenian Islam untuk membentuk sebinina agungnya itu. Namun, cara dan penggunaan bagi senibina itu tidak berlandaskan syarak. Sekiranya senibina secantik ini dijadikan masjid semata-mata dan tidak dijadikan makam di dalamnya, ia akan memberikan gambaran yang lebih mendalam lagi dari sudut kesenian Islam.

Jika dilihat dari sudut penggunaan barangan untuk pembinaannya pula jelas menunjukkan bahawa pembinaan Taj Mahal menggunakan bahan-bahan yang begitu berharga dan tinggi nilainya. Ini menunjukkan bahawa senibina ini tidak mementingkan kesederhanaan dalam Islam (Mohammad Tajuddin, 2007: 42). Islam amat mementingkan kesederhanaan dalam kehidupan manusia. Sekiranya berlebih-lebihan dalam menjalani kehidupan seharian, ia akan memberi impak negatif kepada masyarakat itu sendiri.

Sebagaimana Hadith rasulullah s.a.w:

Ibn Said berkata, saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Seseorang yang membiarkan pakaiannya terjuntai selama solat dengan tujuan membohongkan diri, Allah S.W.T tidak akan mengampuni dan melindunginya dari neraka” (Sunan Abu Daud, Vol I: 167 dalam Mohammad Tajuddin, 2007: 42 ).

Hal ini menunjukkan bahawa Islam itu tidak suka kepada perkara yang bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk. Tambahan pula jika dilihat daripada tujuan pembentukannya adalah bertujuan untuk dijadikan makam (Mohammad Tajuddin, 2007: 42). Rasulullah s.a.w telah menegaskan juga di dalam hadithnya:

Abu Hayyaj al-Asadi ra berkata: “Ali ra berkata padaku bahawa aku dikirim kepadamu pada masa yang sama dengan Rasulullah s.a.w untuk menyatakan bahawa tidak sepatutnya saya meninggalkan kuburan yang tinggi tanpa meratakannya dan meninggalkan sebuah tanda tanpa menyederhanakannya” (Sunan Abu Daud, Vol II: 114-115 dalam Mohammad Tajuddin, 2007: 42)

Hal ini menunjukkan bahawa kita ditegah agar mendirikan sesuatu yang berunsurkan pembinaan di kubur umat Islam. Ia bertujuan untuk mengelakkan kuburan itu menjadi tempat pemujaan masyarakat Islam (Mohammad Tajuddin, 2007: 43).

Jika dilihat dari aspek lokasi dan senibina Taj Mahal di atas, jelas menunjukkan senibina Taj Mahal merupakan senibina yang agung yang menunjukkan kemegahannya berbanding dengan senibina lain. Arkiteknya telah dibunuh dan para penukangnya pula telah dipotong tangan oleh Shah Jahan untuk mengelakkan terdapatnya senibina agung lagi seperti Taj Mahal ini. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pembinnan Taj Mahal berunsurkan kemegahan dan keriakan. Unsur-unsur dan sikap-sikap seperti ini adalah ditegah dalam Islam (Mohammad Tajuddin, 2007: 45). Walaubagaimanapun, tindakan Shah Jahan ini adalah di luar perikemanusiaan dan mungkin beliau menghadapi tekanan perasaan berikutan sangat merindui dan menyayangi isterinya, Mumtaz Mahal.

Walaubagaimanapun, sebenarnya senibina Taj Mahal begitu berharga dan menjadi perkara yang ajaib di dunia. Senibina Taj Mahal juga merupakan salah satu daripada aspek senibina masjid seperti makan kerana terdapat makam isteri Shah Jahan. Justeru itu pelbagai pihak cuba untuk mengaku hak di atas kewujudannya. Terdapat juga tulisan ayat al-Quran, surah al-Fajr yang menghiasi pintu masuk Taj Mahal itu (Ensiklopedia Kesenian & Warisan, 2007: 72). Namun, apa yang pasti, Taj Mahal mempunyai sejarah tentang kisah Shah Jahan dan Mumtaz Mahal semasa pemerintahan kerajaan Islam Moghul. Ia akan menjadi kenangan yang abadi.

8.0 PENUTUP

Kesimpulannya, nilai kesenian itu terus diturunkan kepada generasi yang lain di mana ia menjadi satu sejarah atau pantulan yang mengisahkan tentang masa silam. Selain itu, keindahan adalah sesuatu yang wujud di luar diri manusia yang menikmati keindahan itu. Ia dapat dirasa, ditanggapi dan dihayati. Allah adalah sumber daya dan sumber pemikiran manusia manakala imaginasi dan keupayaan mencipta yang ada pada manusia adalah percikan dari daya kreatif Allah. Oleh itu, seni boleh dibahagikan kepada dua aspek iaitu seni ciptaan Allah dan seni ciptaan manusia. Kedua-dua aspek ini jika digabungkan akan menjadi lebih sempurna kerana seni ciptaan manusia memang amat memerlukan seni cintaan Allah untuk pembentukannya.

Nilai kesenian yang indah, suci dan murni ini perlu diterapkan dengan kesenian Islam, maka, ia akan menjadi lebih sempurna dan menepati citarasa semua pihak. Namun, sekiranya terdapat unsur-unsur yang tidak menunjukkan ciri-ciri kesenian Islam, ia akan memperlihatkan ketidaksempurnaan dalam sesuatu senibina itu sendiri. Semoga senibina Taj Mahal ini tidak disalah ertikan dan tidak dijadikan tempat pemujaan bagi pengunjung yang datang.

9.0 RUJUKAN

Bhabari Bhattachang. T.t. Glimpse of Indian history. New Delhi: Starling Publisher Pvt. Ltd.

David Carooll. 1972. The Taj Mahal. New York: Newsweek.

Francois Barnier. 1972. Travels in the Moghul Empire. New Delhi: S. Chand & Co.

Gupta, Satish. 1995. Our world in colour: Taj Mahal. Hong Kong: The Guidebook Company Ltd.

Hamka. 1994. Sejarah umat Islam. Singapura: Pustaka Nasional.

Ismail Bakar. 2000. Sejarah dan tamadun Islam di India. Jilid I. Selangor: Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam, UKM, Bangi.

Mohd Zawawi bin Ahmad. 1998. Kerajaan Moghul di India-Zaman kegemilangan pemerintahan Shah Jahan. Bangi: Jabatan Pengajian Arab & Tamadun Islam.

Muhyiddin Hj. Yahaya. 1988. Ensiklopedia Sejarah Islam. Jilid III. Bangi: Penerbit UKM, Bangi.

Muhyiddin Hj. Yahaya. 1993. Sejarah Islam. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Muhammad Tajuddin Mohammad Rasdi. 2007. Pemikiran dan idea senibina Islam di Malaysia pada era moden (1950-2000). Johor: Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia, Johor.

Muni Lai. 1986. Shah Jahan. New Delhi: Vikes Publishing Houses Pvt. Ltd.

______________2004. Ensiklopedia Islam. Jilid 2. Jakarta: PT Ichtiar Van Hoeve.

_______________t.t. Ensiklopedia Islam untuk pelajar. Jilid 3. Jakarta: PT Ichtiar Van Hoeve.

_______________2004. Ensiklopedia kesenian & warisan Islam. Jilid 6. Kuala Lumpur: Anzagain. Sdn. Bhd.

M.Th.Wensinck. 1987. First Encyclopaedia of Islam.Vol. VI. Leiden: EJ Brill.

Vidya Dihar Mahajan. 1965. Muslim rule in India. New Delhi: S. Chand & Co.

Zainuddin Adam. 1971. Taj Mahal dan dua kisah romantik. Dlm Mastika. Bil 6. Kuala Lumpur: Utusan Melayu Sdn. Bhd.

Tue, Apr 6 2010 09:10pm MYT 2
SITI SALWA ABDUL MAJID
SITI SALWA ABDUL MAJID
12 Posts
SEMOGA SAHABAT2 DAPAT MENGAMBIL INPUT DARIPADA BAHAN YANG TELAH SAYA POST NIE.. GOOD LUCK DALAM EXAM.. MA KASIH KEPADA PROF.MADYA DR. SAMSU ADABI KERANA MNGAJR KAMI SUBJEK YANG BEGITU MENARIK NIE.. MAAF BANYAK2 JIKA DA SEBARANG KESILAPAN SAYA BUAT PROF.MADYA DR. DAN SAHABAT2 SEKELAS.. ADIK2 DIGALAKKAN MENGAMBIL SUBJEK INI.. Smile
SEMOGA DALAM LINDUNGAN ALLAH SELALU..
Tue, Apr 6 2010 09:31pm MYT 3
SITI SALWA ABDUL MAJID
SITI SALWA ABDUL MAJID
12 Posts
Taj Mahal YANG CANTIK.jpg
Tue, Apr 6 2010 09:35pm MYT 4
SITI SALWA ABDUL MAJID
SITI SALWA ABDUL MAJID
12 Posts
taj-mahal.jpg

KEDUA-DUA GAMBAR INI MERUPAKAN GAMBAR TAJ MAHAL YANG AGUNG DI INDIA..SENIBINA INI MENJADI TARIKAN PELANCONG DARI SELURUH NEGARA.
Tue, Apr 6 2010 09:43pm MYT 5
SITI SALWA ABDUL MAJID
SITI SALWA ABDUL MAJID
12 Posts
taj-mahal PUNYA DINDING.jpg
SENIBINA TAK MAHAL YANG MENGGUNAKAN PELBAGAI JENIS MOZEK ATAU MARMAL PUTIH YANG BERHARGA..
Tue, Apr 6 2010 09:47pm MYT 6
SITI SALWA ABDUL MAJID
SITI SALWA ABDUL MAJID
12 Posts
z__17_Feb__10_-__Kartupos_kuno_Taj_Mahal__06__res_150 MAKAM ISTERI DAN SHAH JAHAN.jpg

MAKAM SHAH JAHAN DAN MUMTAZ MAHAL..
Tue, Apr 6 2010 09:57pm MYT 7
SITI SALWA ABDUL MAJID
SITI SALWA ABDUL MAJID
12 Posts

PETA INDIA.jpg

PETA INDIA

TAJ MAHAL TERLETAK DI TEBING SUNGAI JUMNA, BERHAMPIRAN AGRA, INDIA..

Tue, Apr 6 2010 10:54pm MYT 8
SITI SALWA ABDUL MAJID
SITI SALWA ABDUL MAJID
12 Posts
calligraphy6.jpg
UKIRAN DAN AYAT-AYAT AL-QURAN YANG TERDAPAT PADA DINDING TAJ MAHAL
Tue, Apr 6 2010 10:56pm MYT 9
SITI SALWA ABDUL MAJID
SITI SALWA ABDUL MAJID
12 Posts
184684976_590852f2b3.jpg

the ceiling inside the taj mahal mosque. by mattlogelin.
Tue, Apr 6 2010 11:41pm MYT 10
SITI SALWA ABDUL MAJID
SITI SALWA ABDUL MAJID
12 Posts
GAMBAR MAKAM.bmptaj_panel1-UKIRAN TUMBUHAN.gif
ukiran pada dinding Taj Mahal.. berbentuk seni ukir tumbuh-tumbuhan.. sangat menarik.

Please login or sign up to post on this network.
Click here to sign up.

Meet New Friends. Add site Increase your website traffic with Attracta.com Active Search Results Contextual Links