TRADISI DAN REVOLUSI TEKSTIL ISLAM DI ASIA TENGGARA

Tue, Apr 6 2010 05:20pm MYT 1
ruzainim zelani
ruzainim zelani
2 Posts
DISEDIAKAN OLEH RUZAINIM BINTI MOHD ZELANI (A119542)

PENDAHULUAN

Kebanyakan tekstil di Asia Tenggara yang paling indah mempunyai hubungan dengan istana-istana Islam di rantau ini. Di negeri-negeri yang terletak di kedudukan yang strategik, raja-raja yang memerintah dapat menggunakan berbagai sumber untuk mencipta suasana istana yang sesuai dengan peranan mereka sebagai penghubung di antara dunia tradisi nenek moyang dengan alam perdagangan. Pada masa yang sama, para pedagang Eropah diterima oleh pemerintah-pemerintah Islam tempatan, adat istiadat istana yang gilang-gemilang dengan budayanya yang tersendiri. Walaupun para pelawat mungkin sudah biasa dengan pakaian-pakaian istana di tempat mereka, mereka tetap terpesona dengan kekayaan pakaian serta kemewahan di istana khususnya di Asia Tenggara.

Tekstil istana di Asia Tenggara terdiri daripada kain-kain buatan tempatan dan kain-kain import yang kebiasaannya mahal serta diperolehi dari negara jiran dan tempat-tempat yang lebih jauh lagi. Jenis tekstil yang digunakan lampau tidak jelas diketahui. Sumber-sumber visual tekstil dari kurun awal kehadiran Islam di rantau ini agak sedikit jika dibandingkan dengan hiasan candi Hindu Buddha. Namun begitu, imej-imej tersebut membuktikan adanya warisan tradisi tekstil yang telah diterima oleh pemerintah-pemerintah Islam. Revolusi beberapa tradisi tekstil rantau ini boleh dikesan dari penggambaraan pakaian dan reka bentuk kain pada boneka wayang kulit pusaka di dalam simpanan istana-istana di Pulau Jawa (Forge, 1989).

Di seluruh dunia melayu tekstil yang paling terkenal dalam pakaian adat istiadat di raja ialah kain songket iaitu kain broked dengan bunga-bunga benang pakan yang berapungan. Dalam teknik tenunan ini, bunga-bunganya timbul sebagai gugusun benang emas pada permukaan atau tanah kain sutera bewarna merah tua. Kain sutera, benang bersalut emas dan lak daripada rembesan serangga yang digunakan untuk mendapatkan celup merah yang yang terang dan tahan warna, biasanya diperolehi melalui perdagangan dari Negara India, Cina, India, Thailand juga Perancis yang membuat benang emas. Songket yang indah adalah bukti visual peranan dominan negeri-negeri melayu dalam perdagangan antarabangsa (Selvanayagam 1990: Galeri Petronas 1999)

PENGARUH DAN PENGGUNAAN TEKSTIL

Kegunaan dan kepentingan tekstil sebagai bahan pertukaran dan perdagangan telah digambarkan oleh Shellabear (1977). Beliau turut menceritakan bagaimana sultan Melayu sering membuat tempahan fabrik dari India mengikut citarasanya. Dalam masa yang sama pedagang Eropah semenjak abad ke-16 telah membawa kain dari India untuk ditukar dengan rempah (Irwan dan Hall, 1971).

Fabrik patola yang dikenali dengan nama cindai di Semenanjung Tanah Melayu yang menjadi barang dagangan di alam melayu telah menjadi inspirasi kepada keebanyakan penenun di Asia Tenggara (Pepin,1993). Selain pengaruh Dong-son di Alam Melayu, pemerintahan Srivijaya turut menyumbangkan pengaruhnya.

Selepas Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Majapahit pula mengembangkan pengaruhnya di beberapa tempat seperti Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Bali. Ketika pemerintahan Majapahit inilah Islam mula berkembang dan pada masa itu juga mendorong pedagang Arab dan India (Muslim) untuk datang ke Sumatera (Iwan dan Hall,1971) dan Alam Melayu yang lain.

Kedatangan pedagang Islam ke kepulauan Melayu ini telah memberi sumbangan dalam memperkaya budaya tempatan yang lebih bercorak Islam dan meninggalkan segala amalan yang bercanggah dengan Islam. Pada tahun 1225, Masihi, sumber China Chau Ju-Kua mendapati Negeri Selatan Langkasuka iaitu Kelantan dan Terengganu merupakan negeri yang sering menerima kunjungan pedagang Arab.

Negeri Melayu ini telah mengimport emas, perak, tembaga, sutera dan pelbagai bahan makanan (Sheppard, 1972). Selain itu seni muzik, tarian, drama, kraftangan , logam,tenunan, dan ukiran kayu yang diwarisi dari Kemboja dan kerajaan Patani. Dipercayai pendatang dari Champa juga telah membawa seni tradisi Kelantan dan Terengganu setelah tanah airnya jatuh ke Vietnam pada tahun 1471 Masihi (Sheppard, 1972).

Maklumat tentang kegunaan dan kepentingan tekstil dapat dikesan dengan adanya catatan mengenai tekstil yang mulai ditulis setelah kedatangan orang Eropah dengan adanya pen,kertas bagi memudahkan penyimpanan maklumat. Sehubungan dengan itu, (Dames, 1921) telah membuat interepetasi catatan Barbosa tentang kain sarung yang menjadi pakaian orang Melayu digunakan untuk berbagai-bagai tujuan seperti kain tutup kepala, buaian, bungkusan, penutup mayat dan pakaian tidur. Mengikut beliau juga, kain merujuk kepada kain polos petak dan cop yang telah digunakan sebagai barang dagangan.

Di Asia Tenggara kain petak kebanyakannya digunakan di Semenanjung Pesisiran Sumatera, Jawa, Bali, Lombok, Pesisiran Borneo, Sulawesi, Maluku dan Timur Indonesia. Pengguanaan kain ini mempunyai kaitan dengan penyebaran agama Islam berdasarkan kain itu mempunyai persamaan dengan kain pelikat yang berasal dari sebuah Bandar di India, “Pulikat”, iaitu satu kawasan yang menerima kemasukan Islam yang terawal di India (Grosling, 1927). Kain berpetak yang dihasilkan oelh orang Melayu berbeza daripada “kain pelikat” terutama dari segi coraknya, hasil pengubahsuaian alat tenunan dan kepandaian orang Melayu mengolahnya mengikut citarasa tempatan.

Pada akhir abad ke-19 Semenanjung Tanah Melayu mulai diperkenalkan dengan alat menenun tekstil dari Eropah sedikit sebanyak telah member kesan terhadap perusahaan tenun dan penghasilan tekstil secara tradisional seperti kain limar, tenun dan songket serta batik yang memerlukan kemahiran dan ketekunan untuk menghasilkannya. Ini bermakna kedatangan Barat ke Alam melayu sedikit sebanyak telah membawa modernisasi. Kedatangan mereka juga telah menjadikan orang Melayu mencari alternatif kerana penghasilan ikat dan tenun seperti kain limar dan songket memerlukan masa yang agak lama untuk menyiapkannya. Keadaan ini menunjukkan bagaimana sejarah lampau telah menentukan corak seni dan estetik seni serta kraf tempatan.

REVOLUSI TEKSTIL

Sebelum Revolusi Perindustrian di Eropah, perusahaan kain bulu lebih penting daripada kain kapas. Eksport kain bulu merupakan satu aktiviti penting ekonomi Britain sehingga tahun 1746. Perusahaan kain bulu walaupun bernilai, tetapi telah dikendalikan secara kecil-kecilan di rumah. Dalam aktiviti ini, golongan pemodal atau kapitalis akan membeli bulu binatang yang belum diproses daripada penternak untuk dihantar kepada beberapa orang pemintal dan penenun bulu yang bekerja di rumah masing-masing.

Hasil tenunan seperti baju, stokin dan skarf kemudiannya dijual terus kepada para pemborong. Apabila mesin penenunan dan pemintalan mula diperkenalkan, para pengusaha kain kapas telah memberikan respon yang amat menggalakkan. Akibatnya, perusahaan kain bulu semakin ketinggalan dan tidak mampu berkembang.

Antara alat-alat tenun dan pemintal kain kapas yang berjaya direkacipta termasuklah 'Flying Shuttle' yang dicipta oleh John Kay, 'Spinning Jenny' oleh James Hangreaves, 'Water Frame' oleh Sir Richard Arkwright dan 'Mule' oleh Samuel Crompton. Apabila mesin besar yang menggunakan tenaga hidraulik digunakan, saudagar kain yang kaya telah mendirikan kilang di tepi sungai untuk menempatkan mesin tersebut. Dengan itu penghasilan tekstil bertambah lebih banyak dan berlaku dengan sangat pesat. Maka, tidak hairanlah sekiranya pada peringkat awal Revolusi Perindustrian ia lebih dikenali sebagai Revolusi Tekstil.

Kreativiti dan kemahiran untuk menghasilkan tekstil yang diwarisi sejak turun temurun dipercayai mempunyai kaitan dengan sejarah kebudayaan silam. Idea dan seni motifnya pada keseluruhannya mempunyai persamaan dengan Asia Tenggara. Dengan itu, warisan dan perkembangan tekstil pada masa lalu dapat difahami dan memahami sejarah tekstil secara khusus (Rodgers, 1985).

PERALATAN DAN TEKNIK TENUNAN

Hampir semua teknik-teknik yang digunakan untuk menenun kain-kain yang indah ini dicipta di rantau Asia Tenggara sendiri. Kain-kain songket di kawasan Sumatera Selatan dan Aceh masih lagi ditenun dengan alat tenunan berpenegang belakang. Penenunnya duduk di atas lantai dan sambil membuka dan menutup loseng untuk memasukkan benang pakan, badannya menekan tali atau palang lengkung di belakangnya untuk menegangkan benang dan mengawal mutu kain yang dihasilkan. Corak-corak yang kompleks boleh dibentuk dengan memilih benang-benang yang kemudiannya digunakan oleh penenun sambil ia membuat kerjanya.

Walaubagaimanapun, kebanyakan tekstil istana kerajaan-kerajan Islam boleh dipakai oleh lelaki, sebaliknya bagi golongan wanita tidak boleh dipakai seperti keadaannya dalam masyarakat-masyarakat animis yang lebih terpencil di nusantara. Tidak kira sama ada kain sarung berpetak yang biasa dilihat di tanah Bugis atau kain soga bewarna coklat yang kelihatan kelam itu dan kain panjang batik bewarna biru nila dari jawa tengah, ketiga-tiga jenis kain ini dipakai oleh lelaki dan perempuan dan juga semua lapisan masyarakat.

Beberapa penemuan arkeologi taelah dapat mengesan kepentingan aktiviti ekstil di rantau ini. Antaranya, penemuan arkeologi di beberapa tempat seperti di Jawa, Sulawesi dan Sabah mendapati masyarakat di kawasan itu telah mempunyai aktiviti tenun berdasarkan penemuan bahan harvesting wild grain crops (urat tuaian tanaman) yang digunakan untuk menenun (Heine-Gelden, 1966). Selain itu di Ban Chiang di Thailand telah ditemui stone roller (penggelek batu) iaitu sejenis alat yang digunakan untuk menghasilkan corak (Frazer, 1966)

Berkenaan penggunaan perkakas tenun pula, dipercayai iaitu tenun pada a back tension atau back strap (regangan belakang) pada pekakas tenun yang berbentuk warp benang memanjang merupakan alat yang diperbuat daripada gangsa atau besi yang telah dibawa dari tempat lain ke alam Melayu. Alat tenun ini dipercayai berasala daripada kebudayaan Dong-Son berkembang antara 700-300 tahun sebelum Masihi. Alat tersebut merupakan di peringkat awal perkembangan art style di Asi Tenggara.

Terdapat dua ciri penting yang berkaitan dengan sejarah awal kawasan itu. Cirri pertama, terdapatnya perhubungan yang meluas di kalangan penduduknya dan kedua lahirnya kebudayaan baru di negeri itu. Masyarakat tersebut mengamalkan budaya material yang dikategotikan kepada dua bentuk iaitu monumen dan perhiasan. Dari segi monumen, ia mempunyai kaitan dengan kebudayaan megalitik. Berdasarkan tinggalan batu menhirs didapati masyarakat menggunakan hiasan yang berkaitan dengan kepercayaan animistik yang percaya kepada imej burung, binatang, matahari dan bulan yang member kesejahteraan kepada kehidupan dan juga nenek moyang mereka selepas kematian.

Penggunaan hiasan tersebut kemungkinannya dipengaruhi oleh hiasan pada gendang gangsa dan merupakan barang dagangan yang terpenting. Antara motif yang terbentuk pada gendang itu berbentuk pola pilin berselirat bentuk “S” dan “V” yang berulang, segi tiga dan bundar. Motif yang dihasilkan telah digunakan dalam kebanyakan bentuk kesenian termasuk tekstil Melayu. Terdapat juga motif seperti burung, rumah dan juga perahuyang mempunyai kaitan denga keadaan kehidupan dan juga kepercayaan masyarakat ketika itu.

Motif perahu yang dibuat berulang-ulang pada gendang juga dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti juga mempunyai kaitan dengan aktiviti perhubungan laut pada ketika itu merupakan cara perhubungan yang penting bagi pertukaran bahan dagangan. Kemahiran dalam ilmu pelayaran mengaitkannya dengan proses pengindiaan di Asia Tenggara kerana kemudahan hubungan laut ini telah menarik ramai pengembang agama seperti sami Buddha dan Hindu untuk ke Asia Tenggara sebelum tahun 300 Masihi. Kemudian perhubungan ini juga mendorong perhubungan antara Asia Tenggara, India dan Timur Tengah.

Perhubungan perdagangan antara kawasan di Asia Tenggara dapat dikesan dengan adanya persamaan hiasan fabrik yang seakan-akan batik yang ditemui di Mesir pada tahun 70 Masihi lagi (Mccabe-Elliot, 1984). Walaubagaimanapun fabric yang dihasilkan di Asia dipercayai berasal dari India, berdasarkan kain patola atau geringsing yang dibuat secara kaedah tenunan yang bercorak sisik. Penghasilan wayang kulit yang terdapata di Indonesia juga ada kaitannya dengan kesenian India, dan ini membuktikan adanya hubungan antara India dan Asia Tenggara.

PAKAIAN MENGIKUT KEDUDUKAN SOSIAL

Pada masa lampau terdapat pantang larang tentang pakaian yang berkait dengan kedudukan sosial dan keadaan. Kain tenun emas, kain sutera yang mahal, kain batik tenunan tangan yang sangat halus hanya boleh dipakai oleh golongan bangsawan yang berjawatan tinggi dan keluarga-keluarga kaya yang berkuasa.

Ciri-ciri yang membezakan ini telah timbul walaupun tidak begitu ketara. Maka, golongan bangsawan yang berkumpul dapat mengetahui kumpulan masing-masing dalam kumpulan tersebut. Umumnya, setiap lapisan masyarakat mempunyai peraturan-peraturan seperti cara golongan lelaki mengikat destar atau tengkolok yang direka membentuk kain empat segi. Golongan atasan bersaing dalam membentuk kain tengkolok untuk menghasilkan bentuk yang paling indah serta diberi nama yang menarik seperti Dendam Tak Sudah, Balung Ayam Jantan, Singa Menoleh dan Ayam Patah Kepak (Sheppard, 1972).

Setiap bentuk tengkolok ini telah dihubungkaitkan dengan sesuatu negeri dan taraf kedudukan pemakainya. Agak menghairankan juga bahawa kaum lelaki dan bukan kaum wanita yang memakai tudung kepala yang lebih terhias dan juga memakainya setiap kali mereka hadir untuk acara tertentu. Sungguhpun banyak hiasan dalam bentuk bunga dan juga keemasan yang dipakai oleh kaum wanita apabila menghadiri majlis keraian, hampir tidak ada kebudayaan yang mempunyai tradisi tudung kepala untuk wanita. Hanya di Minangkabau, Sumatera Barat sahaja kaum wanitanya mencipta tudung kepala yang menyerupai kain songket yang padat dengan bunga-bunga emas dan perak (Summerfield and Summerfield. 1999).

Dari abad ke-19, lebih awal lagi di setengah tempat telah berlaku perkembangan-perkembangan lain dari segi aspek pakaian. Larangan agama Islam serta sikap pemerintah Eropah yang tidak suka melihat tubuh yang terdedah telah menyebabkan penduduk tempatan memakai kain labuh, baju tunik dan lain-lain jenis pakaian untuk menutup anggota badan di seluruh Asia Tenggara. Bagi kaum lelaki menyebabkan mereka memakai baju yang terbuka atau jubah panjang. Kaum wanita pula memakai baju panjang yang menutup lutut (Zubaidah Syawal 1994). Para pemerintah pula telah tertarik dengan jaket panjang yang dipakai oleh wakil-wakil negara asing, dan beberapa jubah daripada kain chintz berbunga yang diimport, separuhnya terhias dengan air serbuk mas, masih ada lagi di Sumatera Selatan. Sultan-sultan lain dari Pulau Jawa dan Borneo pula tertarik kepada kain baldu yang sangat sesuai untuk pakaian rasmi serta kain dari bulu kambing yang dihias dengan sulaman biku emas. Walaubagaimanapun, jubah dipakai oleh guru-guru agama dan pedagang-pedagang asing di seluruh Asia Tenggara. Begitu juga dengan jenis-jenis pakaian lama, jubah orang lelaki Singihe dibuat daripada benang abaka dari serat sejenis pohon pisang hutan (Maxwell 2003a pp.310-312)

Bagi kaum wanita juga abad ke-19 adalah suatu masa apabila dorongan untuk menutup bahagian tubuh badan nampaknya tidak menunjukkan kesan yang sama. Sesetengah wanita dari golongan atasan, seperti puteri-puteri di Mindanao telah memakai baju berlengan panjang sementara inang-inang mereka masih mendedahkan bahu (Hamilton 1998).

Manakala gaya seluar sama ada panjang atau pendek telah diilhamkan oleh dunia Islam di Asia Tengah dan India di bawah pemerintahan Mughal, Negeri Cina dan Barat. Kepelbagaian pengaruh yang dapat dilihat pada kepelbagaian seluar yang dipakai di seluruh rantau termasuk seluar atau salwar yang longgar dan celana atau seluar cina yang lurus dan sempit. Maka nama-nama Melayu yang diberikan kepada berbagai jenis seluar menunjukkan betapa banyaknya contoh dan sumber pengaruh yang masih dipakai sehingga ke hari ini (Selvanayaga, 1990).

Seluar dipakai oleh kaum lelaki, manakala kaum wanita jarang sekali memakai seluar. Selain daripada wanita Acheh yang memakai seluar panjang yang bersulaman pada lipatan kaki seluar dan pesak-pesaknya, kaum wanita masyarakat Donggo di kawasan pelabuhan Bima di pulau Sumbawa juga menjahit seluar longgar dari kain benang kapas buatan tangan. Terdapat juga bukti bertulis di mana seluar di pakai di Negeri Perak. Keadaan ini berlaku apabila wujudnya pertalian sejarah dengan Acheh yang berkuasa pada ketika itu.

Putera-putera Raja Jawa jarang memakai seluar berbanding raja-raja di Asia Tenggara, tetapi apabila mereka memakainya ia diperbuat daripada kain patola, yang ditenun dari benang sutera mengikut cara yang kompleks untuk menghasilkan benang-benang pakan bercorak ikat yang digunakan untuk membuat seluar di Jawa iaitu pakaian yang tidak sepenting baju.

Sebaliknya, istana-istana raja Islam bersifat antarabangsa dari sudut visi dan cita rasanya. Tekstil-tekstil yang eksotik terutama yang didatangkan dari India adalah barang yang terpenting dalam perdagangan Asia Tenggara. Negara-negara Islam yang berkembang di kawasan pinggir pantai dan muara sungai di rantau ini menguasai hampir keseluruhan perdagangan barang-barang mewah sehinggalah kuasa mereka dirampas oleh syarikat-syarikat dagang Eropah. Walaupun kuasa berpindah,tetapi kain India terutamanya kain benang kapas bercorak dan bewarna masih didagangkan di Asia Tenggara (Selvanayaga,1966).

Golongan bangsawan dan orang kaya yang berada merupakan pelanggan penting yang membeli tekstil-tekstil yang paling mahal dan terhias dari India. Kain patola antik dari Gurajat masih ada dalam simpanan keluarga-keluarga bangsawan, dari Indonesia sehinggalah ke Pantai Timur Malaysia. Ada beberapa corak yang sangat digemari termasuk yang menggambarkan motif-motif gajah dan harimau. Dinasti-dinasti dan puak-puak yang berkuasa biasanya berada pada kedudukan yang membolehkan mereka mengatur perjalanan barang-barang mewah dari sumber antarabangsanya sehingga ke tempat yang dituju dan orang-orang yang setia kepada mereka dihadiahkan kain-kain yang sangat dihargai.

Tekstil chintz yang terang warnanya dari timur dan barat juga mendapat permintaan yang tinggi. Kain chintz dihiasi dengan mencetak atau melukis bahan mordant ke atas permukaan kain tenunan benang kapas yang halus untuk menghasilkan kain yang beranika warna apabila dicelup dengan celupan India yang sangat terkenal itu. Corak-corak kain chintz yang dapat dihasilkan dengan cara ini sangat banyak sekali dan masyarakat Islam yang kaya gemar memakai kain yang dianggap bergaya pada zamannya.

Hiasan dinding dari kain bergambar pokok bunga palampore yang indah dan sangat popular di Eropah dan sangat popular di Asia Tenggara. Kegemaran-kegemaran pada hiasan yang indah diperlihatkan kepada masyarakat di negara-negara lain yang menggambarkan gantungan kain yang beralun, jambang bunga yang berkerawang dan susunan bunga yang berkelok-kelok telah menular ke istana di Asia Tenggara. Kain chintz yang bercorak telah diimport untuk hiasan, pakaian dan untuk ditatap dan disimpan semata-mata sebagai harta yang eksotik dan berharga (Sheppard,1972).

Kebanyakan kain-kain berbunga digunakan untuk membuat jubah dan tunik lelaki dan wanita. Kain-kain ini kemudiannya diganti tempatnya dengan kain-kain yang serupa coraknya iaitu buatan kilang di Eropah. Jubah-jubah direka dengan saiz yang longgar supaya corak-corak pada kain jelas dilihat. Sementara tunik dipakai secara meluas oleh lelaki dan wanita di negara-negara Islam Asia Tenggara, jenis kain yang digunakan dan gaya potongannya berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain.

Perdagangan serantau juga membolehkan kain-kain tempatan yang bermutu dieksport, batik jawa dan kain berpetak bugis adalah jenis tekstil yang sangat digemari. Kedua-dua jenis kain ini digunakan untuk membuat pakaian dan kadangkala ia digerus dengan kulit siput kowri untuk mengilatkan permukaan kain dan dihiasi pula dengan air serbuk emas, seperti kain chintz. Bahkan di Pulau Jawa patola India dihiasi dengan air serbuk emas (Sheppard,1972).

Istana-istana Islam memainkan peranan yang penting dalam pemindahan corak-corak antarabangsa kepada tekstil tempatan. Pergantungan raja-raja pada perdagangan laut untuk keuntungan dan idea-idea baru serta penguasaan mereka terhadap pusat-pusat entrepot di mana barangan tempatan dari kawasan pedalaman dikumpulkan menjadikan mereka penghubung ekonomi dan kebudayaan di antara dunia antarabnagsa dan Asia Tenggara yang lebih lama usianya.

Perdagangan sutera dengan Negara Cina dan mungkin juga teknik menenun dewangga yang berkait rapat dengannya telah mengubah tekstil-tekstil orang Islam di Filipina dari penggunaan bahan sayuran yang malap warnanya yang dihasilkan oleh jiran-jirannya kepada sutera yang berkilauan warnanya (Sheppard,1972)

Terdapat juga tekstil yang mengalami perubahan yang dramatik. Contohnya songket mewah Sumatera Selatan telah digabungkan tradisi nenek moyang yang penuh dengan makhluk-makhluk mitosnya, warisan Buddha di Sriwijaya dan corak-corak yang diperkenalkan melalui perdagangan sehingga terbentuk penyatuan. Ada sebahagian nama sesuatu corak itu menunjukkan hubungan yang telah lenyap ditelan masa (Sheppard,1972).

PENUTUP

Tekstil-tekstil Asia Tenggara kekal sebagai lambang inovasi dan tentangan terhadap perubahan. Sudah berzaman-zaman ia kekal sebagai bahan dagangan yang penting tetapi tekstil juga mencapai kedudukan yang menarik akibat daripada aktiviti perdagangan itu. Fabrik-fabrik yang paling mewah telah menjadi lambang kekayaan dan kedudukan sosial yang tinggi. Namun, sesetengah tekstil yang paling hebat terdiri daripada kain-kain tenunan biasa yang dibuat dengan alat tenunan yang sederhana.

Tekstil Islam di Asia Tenggara adalah satu kiasan untuk zaman perdagangan apabila pusat-pusat kebudayaan dan perniagaan rantau ini memainkan peranan penting. Negeri-negeri Islam di sini menghubungkan dunia luar antarabangsa dengan masyarakat-masyarakat tempatan di kawasan pedalaman. Tekstil-tekstil mereka telah menyerap banyak unsur antarabangsa sementara mengekalkan dengan bentuk, fungsi dan teknik-teknik yang baik.

Tekstil kekal sebagai lambang kemahiran-kemahiran yang paling bermutu rantau ini sungguhpun pembuatnya memandang ke arah dunia luas untuk mendapatkan ilham. Sesungguhnya ciri keislaman tekstil-tekstil tersebut pada motif dan maknanya adalah halus sifatnya dan berbagai cara daya tarikannya,walaupun corak-corak yang digabungkan adalah imej keislaman yang unggul seperti seni khat Arab.

RUJUKAN

Artikel Muzium Kesenian Islam.

Ensiklopedia Kesenian Islam, Jilid1-10.

Irwan, John and Hall, Margaret. 1979. Splendid Symbols-Textiles and Tradition in Indonesia.

Washinton : The Textile in Washington Museum.

Raffles, Thomas Stamford. 1817. The History of Jawa. London. Parbury and Allen.

Rodgers , Susan. 1985. Power and Gold. : Jewelery from Indonesia, Malaysia and the

Philippines. Geneva dan Barbier- Muller Museum.

Shellabear, W.G (1977). Sejarah Melayu. Kuala Lumpur : Fajar Bakti.

Wheatley, paul. 1961. The Golden Khersonese: Studies in Historical Geoghrafy of the Malay peninsular before A.D 1500. Universiti Malaya. Kuala Lumpur.

Winsteadt, R.O. 1925. Malay Industries Part 1: Art and Craft” dalam R. J Wilkinson

(Penyunting). Papers and Malay subjects. Kuala Lumpur : Government Press.

Please login or sign up to post on this network.
Click here to sign up.

Meet New Friends. Add site Increase your website traffic with Attracta.com Active Search Results Contextual Links