1- KONSEP MINORITI MUSLIM MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN
| Sun, Apr 4 2010 02:37am MYT 1 | ||
|---|---|---|
|
syuhada jalani 5 Posts |
PENGENALAN Perkataan minoriti mempunyai pengertian yang berbeza
berdasarkan kepada unsur-unsur kepelbagaian sesebuah wilayah yang
lain, berbanding dengan sebuah negara dengan negara yang lain,
sebagaimana juga dengan suatu zaman dengan zaman yang lain di dalam
sejarah. Semua itu tentu sekali mempunyai perbezaan maksudnya yang
tersendiri. Beberapa kelompok minoriti contohnya, hidup dalam
secara bertaburan di dalam sesebuah negara atau kawasan yang
tertentu, manakala yang lainnya pula tertumpu di sesuatu bahagian
atau kawasan yang tertentu, bagi membentuk sebuah kelompok majoriti
di bahagian atau kawasan tertentu di dalam sesebuah negara (Pirzada
1980:67). Istilah minoriti di dalam beberapa kes yang tertentu atau
dirujuk bermaksud sesuatu kelompok atau kumpulan nasional, etnik
atau kumpulan-kumpulan ras yang mempunyai perbezaan tertentu dengan
kelompok majoriti di dalam sesebuah negara. Di dalam beberapa kes
yang lain pula, ia digunapakai untuk merujuk kepada sesuatu
kumpulan bahasa atau kelompok agama. Di beberapa buah negara lain
pula istilah minoriti digunakan dengan membawa suatu gambaran yang
negatif, sama ada untuk menunjukkan ciri-ciri seperti nasional,
etnik, bentuk bahasa ataupun kumpulan atau kelompok yang berbeza
daripada kelompok asal negara tersebut. Berdasarkan kenyataan ini,
Prof. D.P.O’Connell memberikan pengertian minoriti seperti berikut:
Kumpulan rakyat di dalam sesebuah kerajaan, yang mereka itu dikira
berdasarkan sama ada melalui perkiraan ras, bahasa ataupun agama
dan biasanya ketiga-tiga unsur itu membentuk elemen dalam sesuatu
komuniti. Unsur kumpulan minoriti tersebut tentu sekali agak
berbeza daripada unsur-unsur milikan kelompok majoriti di dalam
negara berkenaan (Pirzada 1980:67). A.K. Brohi (1980:31) pula, di
dalam membahaskan persoalan minoriti telah memberikan jawapan
beliau sendiri mengenai definisi minoriti seperti berikut iaitu:
“Minoriti” itu merupakan suatu anggaran daripada sesebuah kelompok
penduduk yang mempunyai ciri yang agak nyata berbeza. Perbezaan
ini, biasanya melihat kepada unsur seperti; ras/jenis kaum, agama
bahasa ataupun orientasi etnik mereka yang melambangkan mereka
sebagai suatu unsur milikan yang nyatanya berbeza dan berlawanan
dengan sesuatu kumpulan majoriti negara tersebut. Keadaan ini
(dianggap minoriti) dan dikira begitu bilamana sesuatu kumpulan
majoriti ataupun kumpulan yang dominan yang mendiami atau menduduki
sesebuah negara itu membuat perbandingan antara diri mereka dengan
kelompok minoriti dan seterusnya melihat bahawa di sana terdapat
perbezaan yang agak ketara dan nyata. Dalam situasi seperti ini,
ada negara yang bertindak mengambil langkah untuk mempertahankan
sesuatu kelompok minoriti dan memberi serta memperuntukkan
undang-undang tertentu bagi mendiami ataupun berada di dalam
sesuatu kumpulan majoriti di dalam sesebuah negara tersebut. Ada
pula negara yang memberi status kerakyatan di samping
memperuntukkan sesuatu kawasan yang tertentu untuk mereka. Walau
bagaimanapun, biasanya seseorang ahli daripada kelompok minoriti
itu secara umumnya adalah tidak mempunyai kuasa yang boleh
mempengaruhi sama ada dalam bidang kuasa pentadbiran, pembentukan
undang-undang dan sebagainya yang digunakan oleh negara tersebut
(Brohi 1980:31). Kettani (1986:1) telah membawakan suatu definisi
yang dipetik daripada kamus Webster’s Seventh New Collegiate
Dictionary yang mendefinisikan minoriti itu sebagai: “ Suatu
bahagian daripada suatu penduduk/ rakyat yang mempunyai perbezaan
dalam beberapa ciri kepada mereka juga berbeza layanannya”. Walau
bagaimanapun, kata beliau, definisi ini tidak mencukupi untuk
menerangkan proses kewujudan sesuatu kelompok minoriti itu. Sebagai
contoh, suatu perkara yang nyata bahawa sesuatu faktor yang
mendorong kepada pembentukan sesuatu kelompok minoriti itu adalah
disebabkan oleh wujudnya di kalangan sesuatu kelompok rakyat dalam
sesebuah negara, dan mereka ini mempunyai “cirri yang berbeza”
daripada penduduk asal Negara berkenaan. Oleh itu, sesuatu kelompok
penduduk dalam situasi sebegini secara jelasnya boleh diistilahkan
sebagai suatu kelompok minoriti semata-mata kerana wujudnya unsur
“ciri yang berbeza” itu. Ciri yang berbeza ini seterusnya membawa
kepada perbezaan layanan. Selain unsur “ciri yang berbeza” , suatu
ciri lain yang turut menjadi ukuran adalah kemungkinan ukuran dalam
bentuk fizikal, seperti unsur warna kulit. Contohnya, perbezaan
layanan yang diberikan oleh kelompok majoriti di Amerika Syarikat
terhadap kelompok “berkulit hitam” di Morocco, sebagai contonya,
tidak wujud, walaupun ramai orang Morocco adalah berkulit hitam.
Suatu keadaan yang sama, mungkin wujud apabila wujudnya perbezaan
dalam bentuk “perbezaan bahasa”. Dalam persekitaran orang Islam
yang sebenarnya, suatu perbezaan dalam aspek bahasa tidak ada
kaitan langsung untuk dianggap sebagai minoriti dan diberikan
layanan yang berbeza. Sebagai contohnya, pada zaman awal empayar
kerajaan “Uthmaniyyah”, prinsip seperti ini begitu kuat sekali
dipertahankan (mempraktikkan satu bahasa sahaja). Oleh itu, pada
zaman tersebut tidak akan terdapat penggunaan bahasa kelompok
minoriti ( Kettani 1986:1). Dari sudut yang lain pula, sesuatu
kelompok rakyat mungkin boleh dipertimbangkan sebagai kelompok
minoriti walaupun mereka banyak dari segi bilangannya di dalam
sesebuah negara atau wilayah, tetapi mereka masih menjadi bahan
kepada perbezaan layanan oleh kelompok yang lebih kecil daripada
mereka tetapi mereka merupakan kelompok yang cukup berpengaruh
(Kettani 1986:1). MINORITI MUSLIM : SATU PENGERTIAN Minoriti Muslim
tidak banyak berbeza dengan minoriti umum. Menurut Ali Kettani,
minoriti Muslim ialah sekumpulan orang Islam yang tinggal tanpa
diberi hak dalam entiti politik sebuah Negara bukan Islam (Kettani
1979:241). Beliau menambah lagi bahawa sukar untuk memutuskan
pengertian minoriti Muslim yang sebenar, ini kerana dalam sesebuah
negara, umat Islam menjadi kuat dalam politik dan sosial. Keadaan
seperti inilah yang berlaku terhadap orang Islam Mughul di India.
Minoriti Muslim merupakan salah satu entiti dalam minoriti dunia.
Jumlah minoriti Muslim di seluruh dunia iaitu kira-kira 300 juta
daripada jumlah keseluruhan umat Islam sebanyak 900 juta (Amadaou
1980:1). Mereka yang hidup di negara bukan Islam ini sukar untuk
diramalkan nasib mereka, akan tetapi apa yang jelas hak mereka ini
dinafikan oleh kumpulan majoriti. Keadaan ini boleh dilihat di
beberapa buah negara seperti Albania, Palestin, Sepanyol, Afrika
Selatan, India dan lainnya. Bercakap mengenai sejarah, Islam
sendiri lahir daripada minoriti iaitu minoriti seorang manusia yang
bernama Muhammad (s.a.w.). Baginda Muhammad dalam usaha menyebarkan
Islam kepada masyarakat Arab pada masa itu telah dihina, ditekan,
dipulaukan dan sampai kepada peringkat ancaman bunuh. Namun atas
kesungguhan perjuangan baginda dan perlindungan oleh Allah maka
Islam dapat mengatasi rintangan tersebut dan berjaya menjadi
majoriti pada peringkat kemudiannya, khususnya di Madinah. Namun
Islam tidak menafikan hak kumpulan minoriti. Setelah Islam menjadi
majoriti, ia member hak kepada golongan minoriti untuk mengamalkan
apa jua bentuk acara tanpa sebarang kecaman. Dalam sejarah period
keagungan Islam sendiri, daripada pemerintahan Rasulullah (s.a.w.),
zaman al-Khulafa’ al-Rasyidin hinggalah zaman kerajaan Abbasiyyah,
isu minoriti-majoriti pada umumnya tidaklah menjadi permasalahan
sosial atau negara. Ini kerana setiap minoriti (bukan dalam erti
kata minoriti yang sedang diperbincangkan) diberi kebebasan
mengamalkan adat resam dan budaya mereka sendiri selagi ia tidak
menceroboh hak orang lain. Tindakan kerajaan Abbasiyah terhadap
golongan Alawiyyun tidak seharusnya disalah ertikan sebagai
penindasan majoriti ke atas minoriti, sebaliknya ia merupakan
pergolakan politik semata-mata dan bukannya menggambarkan
pertentangan budaya yang menghalang suatu golongan daripada
mengamalkan budaya atau adat resam mereka. Minoriti yang lahir pada
abad ke-20, dapat diperhatikan lahir daripada penjajahan atau
menekan sesuatu bangsa atau kumpulan yang kuat ke atas golongan
yang lemah sungguhpun sesuatu bangsa atau kumpulan yang dijajah
tersebut adalah majoriti dari segi angka dan teguh dari segi
struktur budaya sebelum penjajahan. Bangsa Melayu Patani dan bangsa
Moro di Mindanao, sungguhpun mereka merupakan majoriti dari segi
angka, menjadi minoriti akibat dari penjajahan dan asimilasi
paksaan. Selain daripada itu minoriti juga lahir daripada
penjajahan ke atas tempat atau kawasan yang terasing daripada
suasana asal mereka; akibat daripada menjadi terasing di tempat
lain, mereka menjadi tersisih atau terpencil dalam sebuah
masyarakat yang lebih besar. Masyarakat Melayu Afrika Selatan
umpamanya boleh dikategorikan sebagai minoriti akibat daripada
penghijrahan, atau lebih tepat mereka merupakan tahanan-tahanan
politik British atau Belanda yang dibuang negeri. Daripada beberapa
pengertian yang diutarakan di atas jelaslah bahawa persoalan
minoriti-majoriti telah lama diperkatakan oleh masyarakat global
dan isu ini masih lagi diperdebatkan sehingga ke hari ini.
Persoalannya sejauh manakah isu ini dapat ditangani dengan baik
oleh pihak yang menggelarkan dirinya sebagai majoriti. Apa yang
jelas berlaku di hadapan mata kita, kaum minoriti sentiasa terdedah
dengan ancaman, siksaan, pembunuhan dan apa yang dipanggil sebagai
‘ethnic cleansing’ jelas menunjukkan isu ini masih tidak ditangani,
jauh lagi untuk diselesaikan. Dengan beberapa paparan pengertian
mengenai minoriti, diharapkan ia dapat memberi sedikit gambaran
terhadap minoriti dan membantu untuk memahami pengertian mahupun
konsep minoriti Muslim itu sendiri. MINORITI: PENGERTIANNYA DARI
PERSPEKTIF AL-QURAN
••
26. dan ingatlah ketika
kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut
orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu
tempat bermustautin dan diperkuatkanNya kamu Dengan pertolonganNya,
serta dikurniakanNya kamu dari rezeki Yang baik-baik, supaya kamu
bersyukur. (surah al-Anfal,ayat 26). Dalam al-Quran, istilah ضعف di
sebut sebanyak 49 kali dalam 20 surah. Ayat diatas menurut tafsir
Ibnu Kasir menerangkan bahawa Allah S.W.T mengingatkan
hamba-hambanya yang mukmin terhadap nikmat yang telah
dilimpahkan-Nya kepada mereka dan kebajikan-Nya kepada mereka. Pada
awalnya mereka berjumlah minoriti, kemudian Allah menjadikan mereka
sebagai golongan majoriti; dan pada mulanya mereka lemah lagi dalam
keadaan dicekam rasa takut, kemudian Allah menguatkan mereka dan
menolong mereka. Mereka pada mulanya miskin lagi papa, kemudian
Allah member mereka rezeki dari barang-barang yang baik (halal).
Kemudian Allah memerintahkan mereka untuk bersyukur kepada-Nya,
mentaati-Nya, dan mengerjakan semua yang diperintahkan-Nya kepada
mereka. Demikianlah keadaan orang-orang mukmin dalam periode Mekah.
Mereka minoriti, dicekam rasa takut, tertindas, dan selalu
dibayangi oleh rasa takut diculik oleh orang-orang Musyrikin dari
berbagai kawasan, baik mereka orang Musyrik ataupun orang Majusi
atau orang Romawi, kerana semuanya adalah musuh-musuh mereka.
Demikian itu kerana jumlah kaum Muslim sedikit dan tidak mempunyai
kekuatan. Demikianlah keadaan mereka selama itu, hingga Allah
mengizinkan mereka untuk berhijrah ke Madinah, lalu Allah
memberikan tempat tinggal kepada mereka di Madinah, dan menjadikan
penduduknya senang kepada mereka, memberikan tempat, dan menolong
mereka dalam Perang Badar dan peperangan lainnya. Bahkan penduduk
Madinah dengan harta mereka yang pelbagai serta mereka rela
mengorbankan jiwa dan raga mereka demi ketaatan kepada Allah dan
Rasul-Nya. Qatadah ibnu Di’amah As-Sudusi rahimahullah telah
mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya:
26. dan ingatlah
ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, (Mekah).
(Al-Anfal: 26) Kabilah Arab ini pada mulanya adalah manusia yang
paling rendah, kehidupannya melarat, perutnya lapar, dan miskin
pakaian serta paling jelas kesesatannya. Orang yang hidup di antara
mereka kehidupannya celaka dan melarat, dan orang yang mati dari
mereka dijerumuskan kedalam neraka; mereka dimakan dan tidak
mendapat makan. Demi Allah, kami belum pernah mendengar bahawa di
masa itu ada penduduk bumi yang lebih buruk kedudukannya daripada
mereka. Kemudian hal itu berakhir setelah Allah menurunkan agama
Islam kepada mereka. Maka berkat agama Islam itulah Allah
menguatkan mereka hingga dipengaruhi di seluruh negeri, dan melalui
Islamlah Allah meluaskan rezeki mereka serta menjadikan mereka
raja-raja di atas semua manusia. Berkat Islam pula Allah memberikan
banyak hal kepada mereka, seperti yang kalian lihat sendiri. Kerana
itu, bersyukurlah kalian kepada Allah atas nikmat-nikmat-Nya kerana
sesungguhnya Tuhan kalian Yang memberikan nikmat suka kepada
perbuatan bersyukur, dan orang-orang yang bersyukur selalu beroleh
tambahan nikmat dari Allah (Tafsir huraian Ibnu Kasir). KONSEP
UMMAH Dalam al-Quran, istilah ummah disebut sebanyak 64 kali dalam
24 surah. Dalam frekuensi sebanyak itu, ummah mengandungi sejumlah
erti, umpamanya bangsa (nation), masyarakat atau kelompok
masyarakat (community), agama (religion), atau kelompok Satau
itukata ummah itu mempunyai empat pengertian iaitu pertama, membawa
erti bangsa, rakyat, “kaum yang hidup bersatu padu atas dasar
iman”. Kedua, diertikan sebagai penganut suatu agama atau nabi.
Ketiga, khalayak ramai. Dan keempat, umum, seluruh, umat manusia.
Sementara itu, di dalam al-Quran sendiri terdapat istilah-istilah
lain yang menunjukkan kepada konsep yang hampir serupa. Istilah
Inggeris nation atau bangsa umpamanya, disebut dalam al-Quran
dengan ummah;clan atau marga disebut sebagai ‘asyirah dan sya’b.
People atau rakyat dirujukkan dengan kata-kata ahl, unas, al-‘abd,
nas, qawm, dan syu’ub (kata plural dari sya’b). Sementara Tribe
atau suku disebut dalam al-Quran dengan istilah-istilah ‘asyirah,
qabil, raht, dan asbath. Sementara itu kita tidak memperoleh
padanan dari kata society yang sering menjadi padanan kata
“masyarakat” (lihat Hanna E. Kassis, A Concordance of the Quran).
Sarjana Barat yang serius membahaskan pengertian ummah antara lain
adalah W. Montgomery Watt, misalnya dalam bukunya Muhammad at
Madina (1956, 1972). Bahasan yang dibahaskan oleh Watt inilah yang
agak menarik Ali Syariati, seorang cendekiawan mujahid Iran yang
tersohor, untuk mengupas istilah ummah secara sosiologi dan
epistimologi. Sudah tentu ia bukan membahas istilah itu lantaran
Watt, melainkan dalam rangka menjelaskan salah satu aspek penting
dalam ideologi Syi’ah, iaitu keharusan adanya imamah dalam ummah,
dalam bukunya al- Ummah wa al- Imamah. Analisis Watt hanya
dijadikan titik tolak oleh Syariati, kerana ahli sejarah politik
dan teologi Islam asal Inggeris itu mengajukan pertanyaan ilmiah,
seperti yang dihuraikan kembali oleh Syariati, iaitu “Sesungguhnya
manusia, sepanjang sejarah dan bumi mana pun, hidup berkelompok.
Maka, apakah nama yang diberikan kepada kelompok manusia ini, yang
mereka buat dan di dalamnya mereka hidup?” Selanjutnya,
“Sesungguhnya, nama yang dibataskan untuk suatu kelompok dapat
mengungkapkan pandangan kelompok itu, gambarannya tentang hidup
bermasyarakat dan diketahuinya secara jelas, mengapa manusia itu
berkelompok”. Tetapi kembali kepada pokok persoalan, apa nama yang
diberikan untuk berkelompok itu? Di situ Syariati menampilkan
beberapa istilah yang di antaranya berasal dari al-Quran, iaitu:
qabilah, qawm, sya’b, thabaqah, mujtama atau jamiah, jama’ah dan
thaifah. Ia juga membandingkannya dengan beberapa istilah Inggeris,
iaitu: nation, strata, class, atau social, race, mass dan society.
PERKATAAN MUSLIM YANG DISAMBUNGKAN DENGAN PERKATAAN MINORITI
Istilah Muslim merupakan “suatu perkataan Arab yang membawa maksud
seseorang yang menyerahkan dirinya kepada Allah, iaitu menerima
Islam. Perkataan ini kadang-kadang dieja dengan Moslem – suatu
kalimah dalam bentuk bahasa Parsi. Kalimah Musulman juga merupakan
suatu kalimah yang selalu digunakan untuk membawa maksud Muslim
(Philips 1963:24). Perkataan “Muslim” digunakan untuk menggambarkan
sesiapa sahaja yang mengakui Muhammad s.a.w. putera Abdullah
sebagai Rasul Allah yang terakhir serta memegang ajaran baginda
sebagai suatu kebenaran ataupun pegangan, tanpa mengira /
mengendahkan sedalam manakah mereka tahu mengenai ajaran Islam
ataupun tanpa mengira sama ada mereka mampu untuk hidup berdasarkan
kepada ajaran itu. Pengakuan sebagai Muslim ini sudah cukup untuk
menimbulkan perasaan “mesra” dengan semua orang Islam yang
berkongsi kepercayaan yang sama. Seseorang individu itu harus
menganggap dan menyedari serta mengambil berat terhadap seorang
Muslim yang lain sehingga menganggapnya sebagai sebahagian daripada
“Ummah Muslim” seluruh dunia ini di mana sahaja mereka berada.
Selain istilah ini, tidak ada lagi istilah lain yang sesuai untuk
menggambarkan definisi minoriti Muslim ini (Kettani 1986:2). Tidak
terdapat definisi “Muslim” lain yang lebih sesuai dalam mempelajari
perkara berkaitan Minoriti Muslim, terutamanya apabila berhadapan
dengan pandangan yang didasarkan kepada suatu asas ekstrim yang
keras atau berat yang kita temui mengenai ungkapan “Muslim” ini
pada masa lalu mahupun kini. Berkesinambungan daripada definisi
tadi, maka ungkapan “Minoriti Muslim” memberikan suatu makna
sebagaimana berikut: Minoriti Muslim menunjukkan atau menggambarkan
suatu kumpulan orang Muslim yang tinggal atau hidup di dalam suatu
entiti politik di sesebuah negara atau kerajaan daripada beberapa
bilangan (kecil dari segi bilangan) dan mendapat layanan yang
kurang baik berbanding dengan non-Muslim di negara berkenaan
(Kettani 1979:5). Walau bagaimanapun, istilah yang diberikan itu
agak susah untuk dipertahankan dalam penggunaan ekspresi makna
seumpama ini. Semenjak wujudnya kes bahawa sesuatu komuniti Muslim
mungkin dari segi bilangan mereka sedikit tetapi kuat atau berkuasa
dari segi politik dan sosial. Dalam kes sedemikian, kumpulan yang
kecil dari segi bilangannya ini tidak boleh dianggap sebagai
kumpulan minoriti. Sebagai contohnya, keadaan ini boleh disamakan
dengan orang Muslim Mughal di India. Dari suatu segi yang lain
pula, sebuah komuniti Muslim mungkin dari segi bilangan mereka
adalah banyak berbanding orang non-Muslim tetapi berkemungkinan
peranan mereka dikurangkan kepada suatu posisi yang kurang penting
dan kurang berkesan berbanding orang non-Muslim yang cukup berkuasa
dan lebih menyerlah daripada mereka di negara yang berkaitan. Dalam
kes seumpama ini, orang Muslim atau komuniti Muslim berkenaan
seharusnya dianggap sebagai kelompok minoriti juga. Kes sebegini
terjadi sebagaimana Muslim di Sicily sewaktu mereka diserang oleh
orang Norman pada tahun 1061 M, dan kes lagi yang serupa ialah di
Ethiopia dan Tanzania. Mengikut landasan yang sama, Lubnan juga
mungkin boleh dimasukkan ke dalam kategori ini. Oleh yang demikian,
kekuatan jumlah sesebuah komuniti selalunya bukanlah merupakan
suatu faktor penentu kepada siapakah kumpulan minoriti itu (Kettani
1979: 6). KESIMPULAN Perbincangan mengenai minoriti Muslim ini
sebenarnya amat penting sekali terutamanya bagi memahami konsep
minoriti Muslim itu sendiri. Hal ini kerana rata-rata orang
menganggap bahawa minoriti itu hanyalah suatu kelompok kecil dalam
sesebuah negara, sedangkan keadaan yang sebenarnya tidaklah
sebegitu. Dalam perbahasan mengenai minoriti ini, didapati bahawa
tidak ada suatu definisi umum yang diterima sepenuhnya mengenai
istilah minoriti. Perkataan minoriti mempunyai erti yang berbeza
berdasarkan kepada unsur kepelbagaian suatu wilayah dengan wilayah
yang lain, suatu zaman dengan zaman yang lain, satu kelompok dengan
kelompok yang lain dan sebagainya. Di samping itu, mereka pula
merupakan sekelompok penduduk yang mempunyai ciri atau watak yang
agak nyata berbeza berbanding penduduk majoriti, sehinggakan mereka
menjadi bahan kepada perbezaan layanan tersebut. Suatu penentu
seterusnya terhadap konsep minoriti itu adalah perkiraan “posisi
kuasa” sesuatu kelompok itu, sama ada mereka berkuasa atau tidak
dalam politik, pentadbiran, ekonomi, sosial dan sebagainya di dalam
negara itu. Dalam perbincangan mengenai kalimah Muslim pula,
istilah yang diterima pakai untuk kita menilai sama ada rakyat di
sesebuah negara itu Muslim atau tidak, adalah memadai dengan
penentuan ucapan syahadah iaitu; mengakui tiada tuhan selain Allah,
dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Dengan pengakuan itu,
maka orang itu dianggap sebagai Muslim tanpa mengira banyak atau
sedikit amalan mereka. Sekiranya mereka tinggal di negara bukan
Islam dan jumlah mereka sedikit serta mereka mendapat perbezaan
layanan daripada pihak pemerintah negara tersebut, maka mereka itu
bolehlah digelar sebagai minoriti Muslim. Namun pun begitu,
walaupun jumlah mereka sedikit tetapi mereka membentuk suatu posisi
kuasa yang tertentu sehingga negara yang mereka duduki mengiktiraf
mereka sebagai kumpulan elit negara serta memberi layanan yang
istimewa kepada mereka. Dalam situasi seperti ini kelompok Muslim
sebegini tidak lagi boleh dianggap sebagai kelompok minoriti. NAMA:
SITI SUHADA BINTI JALANI TUTORIAL: 11.00 PG - 12.00 TGH HARI (RABU)
|
|
Viewing 1 - 1 of 1
Please login or sign up to post on this network.
Click here to sign up.