KESENIAN ISLAM DALAM ASPEK PERSENJATAAN TENTERA ISLAM

Mon, Mar 1 2010 05:57pm MYT 1
noor hashita
noor hashita
3 Posts

DISEDIAKAN OLEH: NOOR HASHITA BINTI OMAR (A117850)

1.0 PENGENALAN

Kesenian Islam adalah kesinambungan daripada kesenian pada zaman silam yang telah berkembang dan dicorakkan oleh konsep tauhid yang tinggi kepada Allah S.W.T. Kesenian Islam memiliki khazanah sejarahnya yang tersendiri dan unik. Kesenian Islam dikatakan telah berkembang sejak zaman Nabi Daud A.S dan puteranya Nabi Sulaiman A.S dan terus berkembang di zaman Nabi Muhammad S.A.W dan di zaman selepas kewafatan Baginda sehingga kini. Kesenian Islam terus berkembang di dalam bentuk dan falsafahnya yang berorientasikan sumber Islam yang menitikberatkan kesejajaran dengan tuntutan tauhid dan syara’.

Oleh yang demikian, lukisan dan ukiran yang dibenarkan dihadkan dengan persetujuan ulama’ kepada bentuk biasa kerana terdapat perhubungan yang rapi antara bentuk-bentuk haiwan dan manusia serta penyembahan berhala sebagaimana yang didapati pada zaman lampau dan masa kini. Antara hasil kesenian Islam yang agung yang dapat dilihat sehingga ke hari ini ialah melalui seni bina bangunan seperti yang terdapat pada istana atau masjid yang terdapat dalam sesebuah tamadun seperti Taj Mahal, Alhambra, Qutb Minar dan lain-lain.

Selain itu, kesenian Islam juga dapat dilihat dalam aspek ketenteraan khususnya seni yang terdapat pada peralatan dan persenjataan perang. Antara aspek yang berkaitan dengan ketenteraan ini termasuklah dari sudut persenjataan, kenderaan dan lain-lain lagi. Dari aspek persenjataan orang Islam menggunakan senjata seperti panah, tombak, lembing dan juga pedang. Panah merupakan salah satu jenis senjata lama atau tradisionalyang digunakan untuk berperang. Kebiasaannya tentera berkuda menggunakan panah sebagai senjata untuk berperang kerana bersesuaian dengan pergerakan mereka. Selain daripada anak panah, tombak dan lembing juga merupakan senjata utama yang digunakan untuk berperang selain pedang yang merupakan senjata utama ketika berperang. Manakala dari aspek kenderaan pula, orang Arab berperang menggunakan kuda tetapi terdapat juga mereka yang tidak menggunakan tunggangan ketika berperang.

2.0 KESENIAN DALAM SENJATA KETENTERAAN

Ukiran yang terdapat pada senjata merupakan salah satu aspek kesenian yang dapat dilihat dalam bidang pertukangan dan perusahaan besi dan logam. Seni ukir Islam terdiri daripada pelbagai cabang seperti seni bina, seni khat dan seni lukis. Seni ukir berkembang seiring dengan seni-seni yang lain sehingga kini. Malah ada pendapat mengatakan bahawa seni khat dan seni ukir tidak berbeza kerana kemasyhuran seni khat juga merupakan hasil kemajuan seni ukirnya.

Istilah senjata dan baju perisai adalah istilah yang sering agak terbatas diterapkan pada persenjataan daripada tempoh Mamluk (1250-1517) di Mesir dan Syria, empayar Uthmaniyah (1299-1922), Parsi dan India di bawah kekuasaan Mughal (1526-1858). Salah satu daripada ciri-ciri utama persenjataan dalam Islam dibandingkan dengan peralatan orang-orang Eropah adalah persenjataan Islam lebih ringan dan agak kecil. Hal ini disebabkan untuk memudahkan pergerakan tentera Islam ketika menentang musuh (http://www.metmuseum.org/toah/hd/isaa/hd_isaa.htm (20/01/10)).

Ukiran yang terdapat pada senjata Islam adalah bebas daripada motif bunga dan binatang. Ia sering dihiasi dengan tulisan kaligrafi. Pelukis atau ahli seni Islam sering menjadikan kata-kata Rasulullah s.a.w. (hadis) untuk mengilhamkan lakaran mereka. Oleh yang demikian, persenjataan Islam seringkali dihiasi dengan pelbagai ayat Al-Quran dan doa-doa yang berfungsi sebagai ungkapan kesolehan sebagai pertahanan yang kuat dalam bentuk azimat atau hanya sebagai hiasan yang menyenangkan secara visual (http://www.metmuseum.org/toah/hd/isaa/hd_isaa.htm (20/01/10)).

Senjata dan perisai yang berkualiti hanya boleh dikenakan oleh tentera elit. Oleh itu, potongan-potongan yang terbaik sering dihasilkan di bengkel-bengkel kerajaan dan dipelihara sebagai khazanah kerajaan. Hal ini diketahui bahawa pada awal zaman Islam, penguasa sering menyimpan koleksi senjata dan perisai. Antara contoh yang paling penting dalam hal ini adalah pemuliharaan senjata Nabi oleh Bani Umayyah dan Abbasiyah, terutamanya pedang peninggalan Nabi yang digunakan dalam perlantikan khalifah yang baru dan sering dibawa oleh khalifah sebagai simbol keturunan rohani dan politik daripada Nabi (Alexander 1985: 296).

Di samping itu, empayar Mughal juga merupakan sebuah empayar yang mempunyai kesenian yang sangat sinonim dengan persenjataan. Kebanyakan maharaja Mughal dari India memiliki senjata yang indah seperti yang tercatat hingga ke hari ini. Sebagai contoh, semua senjata yang dimiliki oleh Maharaja Akbar (1556-1605) mempunyai kedudukan dan ternama. Hal ini termasuklah 30 bilah pedang yang setiapnya mempunyai kegunaan yang khusus, setiap satunya adalah berbeza bagi beliau (Alexander 1985: 297).

Pada zaman Uthmaniyah, kerja seperti menempa dan mengukir besi gangsa, perak dan pelbagai barangan logam lain adalah sedikit. Namun, pada yang sama kerajaan Uthmaniyah sangat produktif dalam menghasilkan peralatan perang. Pedang pada zaman Uthmaniyah sangat terkenal dengan proses pembuatannya yang menggunakan besi keluli yang berkualiti tinggi dan ia telah menjadi model dalam pembuatan senjata bagi tentera berkuda Eropah. Malah, cara penghasilan senjata Uthmaniyah yang menggunakan besi keluli yang berkualiti tinggi telah menjamin keunggulan senjata dalam empayar tersebut (Aslanapa 1971: 330).

3.0 JENIS-JENIS PERSENJATAAN DALAM KETENTERAAN ISLAM

3.1 Baju besi (baju zirah)

Pakaian perisai untuk perlindungan badan biasanya ialah baju besi, dalam bahasa Arabnya (dir‘, jamak duru‘). Umumnya, sard atau zard digunakan pada baju perisai atau dengan beberapa bentuk kata-kata sarada atau zarada digunakan dalam pembuatan baju perisai ini. Pada zaman klasik Rom, perisai badan ditambah dengan plat besi kecil yang dijahit pada baju atau pakaian kulit sebagai perlindungan. Baju perisai ini juga telah digunakan oleh tentera Rom sejak tahun ke-3M dan ketika penaklukan Islam dan ianya adalah perisai badan bagi tentera Byzantin dan Sasan. Sumber-sumber pada zaman awal telah memperakui baju perisai sebagai salah satu daripada kelengkapan ketenteraan Islam. Pada tahun 142H/762M, Ibrahim bin Abd Allah, seorang pemberontak Ali telah terbunuh apabila beliau telah melonggarkan baju perisainya (qaba’ zarad) kerana kepanasan lalu terkena panah sesat (Kennedy 2001: 168).

Selain daripada dir‘, perkataan jawshan juga dikenali sebagai baju perisai iaitu pada masa al-hutamiya. Jawshan bermaksud ‘pelapis dada’ tetapi sinonim dengan orang Parsi sebagai baju perisai dan juga mungkin bermaksud perisai badan. Al-Harith bin Surayj telah ditawarkan dengan pilihan antara baju perisai (jawshan) dengan 100 000 dirham, beliau telah memilih jawshan kerana ianya dianggap barang paling berharga pada waktu itu (Kennedy 2001: 169).

Penggunaan baju perisai badan telah digunakan secara meluas oleh tentera Islam, ianya merupakan produk paling berharga pada waktu itu. Sejajar dengan perisai badan bagi tentera, teknologi ini kemudiannya berkembang kepada penciptaan perisai bagi kuda tunggangan. Mujaffaf adalah perkataan Arab yang bermakna perisai kuda dan kadang-kadang ianya diertikan sebagai tentera yang menunggang kuda tersebut. Contohnya pada 83H/702M, Abd Malik bin al-Muhallab, digambarkan sebagai mujaffaf, sedangkan tentera-tentera berkuda Sham tidak mempunyai perisai pada kudanya. Dalam peperangan Pass, perbezaaan telah dilihat antara mujaffaf al-Khayl (tentera berkuda berperisai) dengan mujarida (tentera berkuda tanpa perisai) (Kennedy 2001: 170).

Keseluruhannya, kelengkapan bagi pakaian perisai adalah sangat baik. Setidak-tidaknya ia dilengkapi dengan pelindung kepala, baju besi penahan dada samada dibahagian hadapan mahupun belakang dan perisai tangan. Malah, pakain besi pada bahagian kaki juga turut didapati seperti penahan lutut dan sebaginya. Pada abad ke-16 dan ke-17, kebanyakan corak di Parsi dan Turki ditatahkan dengan corak yang agak jarang dan lapang (Kuhnel 1970:194).

3.2 Pelindung kepala (Helmet)

Selain daripada penggunaan baju perisai, pelindung kepala atau dikenali sebagai helmet juga merupakan antara kelengkapan perlindungan yang sangat penting bagi pasukan tentera. Di dalam bahasa Arab, pelindung kepala dikenali sebagai bayda yang bermaksud sebiji telur. Tentera-tentera Sham di Siffin telah dilengkapi dengan lembing (rimah), perisai (daraq) dan helmet (bayd). Bayda sebagaimana yang digambarkan oleh Abu ‘Ubayda ialah sebuah helmet besi yang dibentuk seperti tulang tengkorak kepala, dimana ditepinya diletakkan paku-paku. Khalid al-Barbari, yang menentang pembenrontak ‘Ali di Madinah pada 169H/786M, digambarkan mempunyai sebentuk hidung di helmetnya (anf al-bayda), sebilah pedang dan cokmar yang diikat pada tali pinggangnya (Kennedy 2001: 170).

Kelengkapan lain yang digunakan sebagai pelindung kepala juga ialah mighfar. Perkataan mighfar kadang kala diistilahkan sebagai sebahagian dari baju besi atau fabrik yang diikat di tepi helmet dan digantung kebawah untuk melindungi leher. Biasanya, pada zaman awal, ia bermakna tudung kepala baju besi yang menutup bahagian tepi dan belakang kepala. Menurut al-Nadr bin Shumayl (meninggal 203-204H/818-820M) mighfar ialah bahagian dari baju besi iaitu seperti seseorang meletakkannya diatas kepala (dibawah helmet) dan mighfar tersebut juga menutupi bahunya (Kennedy 2001: 170).

Selain itu, pada akhir abad ke-15, topi berbentuk serban telah dibuat untuk tentera Uthmaniyah atau untuk pasaran negara Parsi. Topi serban ini diperbuat daripada aloi dan besi. Terdapat perubahan dari sudut pembuatan topi perang. Topi ini dilengkapi dengan engsel yang dapat membuka penutup topi ini dengan mudah tanpa menanggalkannya (http://www.scribd.com/doc/2763852/Sejarah-Seni-Pakaian-Dalam-Islam (24/01/10)).

Sementara itu, tentera Mughal juga mempunyai pakaiannya yang tersendiri. Sebagai contoh, tentera Mughal juga menggunakan helmet atau disebut juga sebagai khud yang digunakan di kepala untuk melindungi kepala. Khud ini diperbuat daripada besi damaskus dan terdapat dalam pelbagai bentuk seperti kulah zirah (http://www.scribd.com/doc/2763852/Sejarah-Seni-Pakaian-Dalam-Islam (24/01/10)).

3.3 Pedang dan belati

Semasa zaman Abbasiyah (750M-1258M) terutamanya, telah ditetapkan siapa yang boleh menerima hadiah mengikut jenis tertentu, contohnya, pedagang tidak diberikan senjata malah mereka diberi jubah penghormatan dan pada zaman Abbasiyah juga telah ditentukan golongan yang boleh membawa senjata. Hanya golongan yang mempunyai kedudukan yang tinggi sahaja yang dibenarkan untuk memiliki pedang tetapi di dalam kumpulan ini pula hanya pedang tertentu sahaja yang boleh digunakan oleh individu tertentu. Seorang askar biasa tidak boleh menggunakan pedang yang bertakhtakan emas dan perak, hanya Khalifah sahaja yang berhak menggunakan pedang seperti Nabi (Alexander 1985: 296).

Selain itu, dapat dilihat juga bahawa setaiap askar-askar Nasiriyyah wajib menggunakan pedang sewaktu berperang. Antara pedang yang terkenal adalah pedang Boabdil yang dijaga dan dipelihara namanya hingga ke hari ini. Pedang ini adalah milik raja terakhir Granada. Pedang Boabdil ini dihiasi dengan baik sekali pada hulu dan sarungnya dengan kerawang yang berjalin dan dengan multi-warna cloisonné (Kuhnel 1970: 189).

Manakala pedang yang dihasilkan oleh orang Parsi sering memaparkan ukiran motto yang diukir sendiri dari tangan mereka, Isfahan Asad-Allah iaitu nama yang sangat terkenal yang sering digunakan oleh tukang besi pada abad ke-19. Sementara itu, pedang orang Turki pula pada umumnya mempunyai bentuk yang sama dan selalunya sukar dibezakan dengan pedang-pedang orang Parsi (Kuhnel 1970: 189).

Belati juga merupakan salah satu daripada senjata yang digunakan oleh tentera-tentera Islam semasa perang. Ia juga adalah sebagai alatan perang jarak dekat yang sangat berbahaya. Belati banyak diguna pakai oleh tentera berkuda Nasiriyyah sewaktu dalam peperangan.


3.4 Kapak dan cokmar

Cokmar, hanya sering dimaksudkan sebagai simbol kekuasaan. Pada awalnya, ia dibuat daripada bahan yang keras dan berbonjol serta kadang-kadang batang cokmar ini dipenuhi dengan hiasan corak. Selain itu, terdapat beratus ukiran yang sangat mengagumkan pada besi kapak yang dibuat di Parsi pada abad ke-16 hingga abad ke-18, sesetengah daripadanya bermotifkan lukisan rajah. Bentuk kapak ini lebih bercirikan kepada kesenian Mamluk di Mesir yang mana lenturan matanya adalah sangat cantik dan dihiasi dengan ukiran dan hiasan corak yang bertakhtakan emas, terdapat juga sesetengah daripadanya dihiasi dengan kerawang (Kuhnel 1970: 193).

3.5 Perisai

Di Mesir, perisai bulat atau bundar dicipta sepenuhnya dengan mengambil corak yang bertatahkan gangsa semasa zaman Mamluk, sedangkan di Parsi, mereka telah menghiasinya dengan corak yang berbeza mengikut bahan. Selain itu, mereka juga menonjolkan tombol perisai agar lebih bulat dengan cara memasukkan paku besi ke dalam tudung perisai yang dibuat daripada kayu yang dilitupi dengan kayu dan dicat. Pada kemuncak abad ke-16, beberapa himpunan potongan besi telah diawetkan dengan emas intarsia dalam reka bentuk yang sangat sempurna untuk digayakan. Sebagai contoh, logam perisai orang-orang Turki dan India adalah sangat bagus. Begitu juga dengan orang Moor yang selalunya menggunakan anyaman buluh atau kulit pada tombol besi (Kuhnel 1970: 197).

3.6 Tali pinggang dan tali pengawal kuda

Butang dan tali pinggang pedang dan belati dilengkapi dengan banyak hiasan pada besi dan ukiran yang terdapat pada kedua-duanya. Di Parsi terutamanya pada zaman Safavid, mereka menghiasi kedua-duanya dengan hiasan yang sangat mewah seperti hiasan abstrak dan lukisan rajah. Manakala di Turki, biasanya disadurkan dengan emas dan ditatahkan juga dengan batu permata atau lapisan cat yang berkilat. Sementara itu, tali pengawal kuda di Turki sering dihiasi dengan ukiran perak beserta intan palsu (Kuhnel 1970: 197).

3.7 Gendang

Penggunaan gendang dalam pasukan ketenteraan adalah diragui. Namun, terdapat satu lukisan yang dilukis pada tahun 1237 menunjukkan bahawa pasukan tentera menggunakan gendang pada ketika itu. Malah, terdapat pelbagai saiz yang digunakan. Pada awalnya, bermula pada abad ke-12 terdapat tulisan animasi Kufi yang besar yang menjadi ukiran di sekeliling gendang tersebut. Gendang kecil yang mempunyai bentuk yang sama juga digunakan oleh penunggang kuda Mamluk pada abad ke-14 hingga abad ke-15 (Kuhnel 1970: 197).

3.8 Panah

Pasukan pemanah merupakan pasukan yang tinggi kedudukannya dalam tentera Islam. Pasukan pemanah tentera Islam menggunakan kuda sebaliknya tentera pemanah di Eropah tidak menggunakan kuda. Manakala bentuk busur yang digunakan oleh tentera Islam adalah melentik yang mana ia mempunyai kuasa penahan yang lebih tinggi dan kuat. Oleh itu, perlu ada kepakaran teknik yang tinggi untuk membuatnya. Manakala tali yang digunakan untuk busur panah ialah kulit tetapi busur yang baik talinya dibuat daripada sutera kerana ia lebih lembut,halus dan tidak mudah putus. Kebiasaanyan anak panah dibuat daripada buluh atau kayu dan matanya dibentuk dalam pelbagai bentuk. Manakala di belakang anak panah dilekatkan bulu burung supaya ia menjadi lebih tepat.

4.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, adalah merupakan sebahagian daripada fitrah manusia bahawa ia suka melihat perkara-perkara yang indah. Oleh kerana Islam itu adalah ad-Din al-fitrah (satu panduan hidup mengikut fitrah) maka didapati Islam menggalakkan seni dan ciptaan yang indah. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, ‘Allah itu indah dan sukakan keindahan’. Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud, ‘Keindahan itu menenangkan segala hati dan ubat untuk luka, sesungguhnya keindahan perhiasan dan kebahagiaan hidup’ (Sulaiman 1997: 180).

Melalui daya usaha seni kreatif, apa yang ada di dunia ini boleh diubah dan direka bentuk menjadi sesuatu yang lebih bermanfaat, berharga dan berguna untuk keperluan manusia. Setiap manusia mempunyai daya imaginasi dan kreativiti yang tersendiri menurut akal pamikirannya yang mana melaluinya manusia mampu mencipta sesuatu yang bernilai dan berguna untuk keperluan diri, keluarga masyarakat, bangsa dan agama.

5.0 RUJUKAN

Alexander, David & Howard Ricketts. 1985. Treasures of Islam. Avon: Artlines Editions.

Aslanapa, Oktay. 1971. Turkish Art and Architecture. London: Fabor and Feber Limted 3 Queen Square.

Kennedy, H. 2001. The Armies of the Caliphs:Military and Society in the Early Islamic State. New York: Routledge.

Kuhnel, Ernst. 1970. Islamic Art. London: G. Bell & Son.

Sulaiman Noordin. 1997. Sains Menurut Perspektif Islam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

http://www.metmuseum.org/toah/hd/isaa/hd_isaa.htm (20/01/10)

http://www.scribd.com/doc/2763852/Sejarah-Seni-Pakaian-Dalam-Islam(24/01/10)

Please login or sign up to post on this network.
Click here to sign up.

Meet New Friends. Add site Increase your website traffic with Attracta.com Active Search Results Contextual Links