Falsafah dan konsep minority Muslim

Fri, Jan 15 2010 12:29pm MYT 1
Samsul  Adabi
Samsul Adabi
170 Posts

Falsafah dan konsep minority Muslim


Oleh



SAMSU ADABI MAMAT

(Penggunaan dan Salinan/ copy Tulisan ini hanya dibenarkan dengan kebenaran Penulis sahaja)




PENDAHULUAN


Berbicara mengenai maksud dan pengertian ‘minoriti Muslim’, kelihatannya ungkapan ini adalah hasil paduan daripada dua perkataan; ‘minoriti’ dan ‘Muslim’. Perkataan minoriti itu merupakan suatu kalimah yang umum, lalu dibataskan atau dihadkan serta dikhususkan pula dengan kalimah ‘Muslim’.




PENGERTIAN MINORITI SECARA UMUM

Di dalam banyak rujukan, perbincangan mengenai pengertian minoriti yang ditemui banyak ditumpukan terhadap erti minoriti yang dibahas berdasarkan international legal instruments. Daripada kesemua jenis-jenis pengertian yang dibahaskan itu menunjukkan bahawa tidak ada suatu definisi umum yang diterima sepenuhnya mengenai istilah ‘minoriti’.

* Kepelbagaian sesuatu bentuk sejarah, ekonomi dan asas-asas sosial sesebuah masyarakat di seluruh dunia ini, mungkin merupakan suatu halangan di dalam proses memberikan huraian yang tepat mengenai konsep-konsep umum ataupun definisi umum kepada ‘minoriti’ ini.

* Kalimah minoriti juga mempunyai perbezaan erti berdasarkan kepada unsur kepelbagaian suatu wilayah ke wilayah yang lain, daripada sebuah negara kepada sesebuah negara yang lain. Kalimah ini juga tentu sekali mempunyai perbezaan daripada suatu period/tahap/zaman kepada suatu period yang lain di dalam sejarah. Perkataan minoriti ini tentu sekali mempunyai perbezaan maksud yang tersendiri.

* Beberapa kelompok minoriti contohnya, hidup secara berselerak/bertaburan di dalam sesebuah negara, manakala yang lain-lain pula tertumpu di sesuatu bahagian yang tertentu, membentuk suatu kelompok majoriti di dalam bahagian-bahagian tertentu di dalam sesebuah negara (S.S.Pirzada 1980 : 67).

* Istilah ‘minoriti’ di dalam beberapa kes diaplikasikan atau dirujuk kepada maksud; “sesuatu kelompok atau kumpulan nasional, etnik atau kumpulan-kumpulan ras yang mempunyai perbezaan-perbezaan tertentu dengan kelompok majoriti di dalam sesebuah negara”. Di dalam beberapa kes yang lain pula, ia digunapakai untuk merujuk kepada, “sesuatu kumpulan bahasa ataupun kelompok-kelompok agama”.

* Di beberapa negara lain pula, istilah minoriti digunakan dengan membawa suatu gambaran kepada suatu maksud yang negatif,[i] sama ada untuk menunjukkan kepada, “ciri-ciri seperti nasional, etnik, bentuk bahasa ataupun kumpulan atau kelompok yang berbeza daripada kelompok asal negara berkenaan”. Berdasarkan kenyataan ini, Prof. D.P. O’Connell memberikan pengertian minoriti sebagai :

* [i] Dimaksudkan dengan negatif di sini ialah bahawa sesuatu kelompok minoriti di dalam negara berkenaan dipandang sebagai kelompok yang daif atau hina yang mana nilai yang dipegang oleh kelompok minoriti ini, seperti nilai agama, amalan, adat dan sebagainya amat nadir dan berbeza sekali dengan kelompok majoriti negara terbabit, lantas ia menjadi suatu budaya yang asing.

* Maksud minoriti yang negatif ini lebih jelas lagi ialah sebagaimana yang digunakan untuk menunjukkan kepada golongan gay dan juga homoseksual di dalam sesebuah negara yang berkenaan (mereka dianggap sebagai 'minoriti baru') sebagaimana yang pernah dibicarakan dalam majalah Kurier Unesco Minoriti (8),1993, hlm.8

* Kumpulan-kumpulan nasional di dalam sesebuah kerajaan, yang mana mereka itu dikira berdasarkan melalui sama ada perkiraan ras, bahasa ataupun agama dan biasanya kesemua ketiga-tiga unsur itu membentuk eleman-eleman di dalam sesuatu komuniti. Unsur-unsur kumpulan minoriti tadi pula, tentu sekali agak berbeza daripada unsur-unsur milikan kelompok majoriti negara berkenaan” (S.S.Pirzada 1980 : 67)

* “Minoriti’ itu, merupakan suatu anggaran daripada sesekelompok penduduk yang mempunyai ciri-ciri yang agak nyata berbeza. Perbezaan ini, biasanya melihat kepada unsur-unsur seperti; ras/jenis kaum mereka, agama, bahasa ataupun orientasi etnik yang memberi tanda kepada mereka[i] sebagai suatu unsur milikan yang nyatanya berbeza dan berlawanan dengan sesuatu kumpulan majoriti negara itu.

[i] Iaitu sesuatu unsur atau budaya yang menjadi pengenalan kepada kelompok itu, contohnya ‘pakai songkok/ketayap’ biasanya merupakan pengenalan kepada masyarakat Islam.

* Keadaan ini (dianggap minoriti) dikira begitu bilamana sesuatu grup majoriti ataupun kumpulan yang dominan yang mendiami atau menduduki sesebuah negara tadi membuat perbandingan antara diri mereka dengan kelompok minoriti dan seterusnya melihat bahawa di sana terdapat perbezaan yang agak nyata (A.K. Brohi 1980 : 31)

* Dalam situasi ini, ada negara yang bertindak mengambil langkah untuk mempertahankan sesuatu kelompok minoriti itu dan memberikan serta memperuntukkan undang-undang tertentu bagi mendiami ataupun menduduki di dalam sesuatu kumpulan majoriti di dalam sesebuah negara. Ada pula negara yang memberi status kerakyatan di samping memperuntukkan sesuatu kawasan yang tertentu untuk mereka.

* Walau bagaimanapun, biasanya seseorang ahli daripada kelompok minoriti itu secara umumnya adalah tidak mempunyai kuasa yang boleh mempengaruhi sama ada di dalam bidangkuasa pentadbiran dan kuasa pembentukan undang-undang yang digunakan oleh negara berkenaan (A.K.Brohi 1980 : 31)

* Kettani (1986:1) membawa suatu definasi yang dipetik daripada kamus Webster’s Seventh New Collegiate Dictionary yang mendefinisikan minoriti itu sebagai: “Suatu bahagian daripada suatu penduduk/rakyat yang mempunyai perbezaan di dalam beberapa karekter dan mereka selalu menjadi bahan perbezaan layanan”.

* Walau bagaimanapun, kata beliau, definisi ini tidak mencukupi untuk menerangkan proses kewujudan sesuatu minoriti itu. Sebagai contoh, suatu perkara yang nyata ialah bahawa sesuatu faktor yang mendorong kepada pembentukan sesuatu minoriti itu ialah disebabkan oleh wujudnya di kalangan sesuatu kelompok rakyat dalam sesebuah negara, dan mereka ini mempunyai ‘karekter-karekter yang berbeza’ daripada penduduk asal negara itu.

* Oleh itu sesuatu kelompok penduduk dalam situasi sebegini secara jelasnya boleh diistilahkan mereka sebagai suatu kelompok minoriti semata-mata kerana wujudnya unsur ‘karekter-karekter yang berbeza’ tadi. Karekter yang berbeza ini seterusnya membawa kepada perbezaan layanan.

* Selain daripada unsur ‘karekter yang berbeza’, sesuatu ciri lain pula yang menjadi ukuran ialah mungkin juga ukuran dalam bentuk fizikal, seperti unsur warna kulit. Contohnya, perbezaan layanan oleh kelompok majoriti di Amerika Syarikat terhadap kelompok ‘warna kulit hitam’, maka munculah apa yang dikatakan minoriti kulit hitam itu.

* Namun begitu, ciri yang sama (warna kulit) adalah disedari secara menyeluruh tidak punyai kaitan untuk dijadikan sebab kepada ‘perbezaan layanan’ di dalam environment orang Islam. Kelompok minoriti kulit hitam di Morocco, sebagai contoh, tidak wujud, walaupun ramai orang Morocco adalah berkulit hitam.

* Suatu keadaan yang sama, mungkin wujud apabila wujudnya perbezaan dalam bentuk ‘perbezaan bahasa’ sebagaimana yang diutarakan sebelum ini. Di dalam invironment orang Islam yang sebenar, suatu perbezaan dalam aspek bahasa juga adalah tidak ada kaitan (irrelevan.) untuk dianggap sebagai minoriti dan untuk diberikan layanan yang berbeza.

* Sebagai contoh, dalam zaman-zaman awal empayar Uthmaniyyah, prinsip seperti ini adalah begitu kuat sekali dipertahankan (mempraktikkan satu bahasa sahaja). Oleh itu, di zaman-zaman tersebut tidak akan terdapat penggunaan bahasa kelompok minoriti (Kettani 1986:1)

* Dari sudut yang lain pula, sesuatu kelompok rakyat mungkin boleh dipertimbangkan sebagai kelompok minoriti walaupun mereka banyak dari segi bilangannya di dalam sesebuah negara atau wilayah, tetapi mereka masih menjadi bahan kepada perbezaan layanan oleh kelompok yang lebih kecil daripada mereka tetapi merupakan kelompok yang cukup berpengaruh (Kettani 1986:1)

* MINORITI: PENGERTIAN DARI ASPEK PERUNDANGAN

* Pada tahun 1967, suatu majlis perwakilan yang dilantik telah diberikan kuasa untuk memulakan satu kajian terhadap implementasi kepada Atricle 27 daripada perkara sivil dan perjanjian rasmi hak-hak Politik.

* Di dalam perakuan berikutnya daripada suatu perwakilan kuasa mengenai kebebasan manusia, ekonomi dan sosialnya yang telah dibuat melalui Resolusi 1418-XLVI (6.6.69), di mana pada tahun 1971 Francesco Capotorti yang telah dilantik melalui majlis perwakilan itu telah mengemukakan laporan beliau yang telah diserahkan pada bulan Jun 1977.

* Laporan berkenaan juga dimasukkan sama dengan komentar-komentar dari pihak-pihak Kerajaan. Definisi yang dikemukakan melalui laporan ini telah dianggap sebagai suatu definisi yang ‘berbentuk menyeluruh/ lengkap’ (comprehensive study), berbentuk sejarah dan juga berbentuk conceptual mengenai perlindungan antarabangsa terhadap minoriti. Laporan ini telah menawarkan suatu definisi baru minoriti. Minoriti adalah;

* Suatu kelompok yang ‘lemah’/kurang dari segi bilangannya berbanding penduduk tetap di dalam negara itu. Mereka berada dalam suatu posisi yang non-dominan, mempunyai perbezaan-perbezaan sama ada dari segi jenis etnik, agama-agama, karekter-karekter bahasa mereka juga berbeza dengan penduduk tempatan.

* Mereka juga menunjukkan suatu perasaan kesatuan/solidariti ataupun komited dan bersungguh-sungguh di dalam memelihara dan mempertahankan budaya, agama asal/agama tradisi mereka ataupun bahasa yang mereka miliki ” (James Fawcett 1996: 24)

* Claire Palley (1996: 37) ketika menulis suatu tajuk Constitutional Law and Minority telah mengemukakan persoalan, “Apakah itu minoriti?” Kemudian beliau sendiri memberi jawapan yang diertikan sebagaimana berikut:

* "Mana-mana kumpulan ras, suku, kelompok penutur bahasa-bahasa tertentu, kelompok agama, kasta ataupun suatu kelompok nasional yang berada bersama suatu ‘bangsa kerajaan’ (bangsa yang dominan di negara berkenaan) dan mereka ini pula tidak berada dalam pengendalian (di luar kawalan) oleh sesuatu jentera politik kerajaan berkenaan.

Please login or sign up to post on this network.
Click here to sign up.

Meet New Friends. Add site Increase your website traffic with Attracta.com Active Search Results Contextual Links